Category: Fiqh Semasa

  • Protes Dengan Hati Selemah-Lemah Iman

    Bayangkan… Ada seorang lelaki telah membunuh bapa saudara yang kita sayangi. Tiba-tiba lelaki itu muncul di pintu rumah kita. Adakah kita menyambutnya dengan penuh hangat dan mesra?

    Nabi kita, Nabi Muhammad SAW pernah diuji dengan kehilangan bapa saudaranya, penghulu para syuhada’ iaitu Sayyidina Hamzah R.A.

    Sayyidina Hamzah R.A. telah dibunuh dengan kejam oleh Wahsyi bin Harb Al-Habasyi dalam peperangan Uhud. Setelah Wahsyi memeluk Islam, Nabi menerimanya sebagai Muslim, namun baginda tetap berkata dengan tegas:

    “Adakah engkau Wahsyi? Adakah engkau yang membunuh Hamzah? Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 4072)

    Jangan muncul di hadapanku. Aku tidak boleh memandang wajahmu.

    Itu pendirian Nabi terhadap seorang pembunuh yang telah membunuh insan yang dicintainya. Walaupun Wahsyi telah bertaubat, luka itu tetap dirasai.

    Nabi tidak mampu melihat wajah orang yang menumpahkan darah keluarganya, meskipun dia sudah mengucap syahadah.

    Nabi memaafkan tetapi tidak melupakan.

    Nabi tidak berdendam. Tetapi Nabi berpegang teguh pada prinsip.

    Nabi tidak menormalisasi kejahatan dan tidak meraikan pelaku dosa besar walaupun dia telah bertaubat dan masuk Islam.

    Jika begitu sikap Nabi terhadap seorang Muslim yang mempunyai sejarah melakukan pembunuhan, bagaimana pula pendirian kita sebagai umat Islam terhadap orang Kafir yang terus menerus bersekongkol dalam pembantaian dan pertumpahan darah umat Palestin, membiayai penjajahan dan menghina kesucian Masjid al-Aqsa?

    Adakah wajar kita bersikap lunak dan mesra dengan pelaku kezaliman?

    Akal yang waras pastinya tidak sanggup melihat wajah pembunuh saudara kita. Apatah lagi tersenyum menyambutnya dan beramah mesra.

    Atas nama maslahat, kuasa politik dan pengaruh ekonomi, Trump telah dijulang dan disambut meriah dengan tarian.

    Malah ada ahli akademik dan cerdik pandai yang ‘try hard’ sungguh membawa segala dalil untuk mengabsahkan sambutan hangat PMX terhadap Trump.

    Tak perlu segala kata-kata hikmah yang bertujuan menyedapkan hati atas tindakan itu.

    Cukup hati nurani yang hidup, yang terluka dan tidak redha akannya.

    Bawalah segala petikan kitab dan hujah maslahat serta kepentingan politik, ia tidak sama sekali dapat memadamkan fakta bahawa tangan Trump telah berlumuran dengan darah umat.

    Andai diplomasi itu perlu demi kepentingan negara, cukup sekadar perbincangan di meja rundingan yang bermaruah dan tegas berprinsip, bukan dengan pesta sambutan yang berlebihan.

    Sambutan yang penuh keghairahan juga tidak menggambarkan bantahan dan kebencian kita terhadap genosid yang didanainya.

    Demi menjaga periuk nasi negara, kita sanggup mengendeng ngendeng, mengipas dan mengampu musuh.

    Luntur maruah dan habis segala prinsip ummah.

    Betapa lemahnya jiwa kita yang dikaburi materialistik dan dunia.

    Lemahnya kita apabila tidak memegang kuasa.

    Kita dipegang dan diperkotak-katikkan oleh mereka.

    Dalam kelemahan ini, jangan terus hilang iman.

    Tetaplah di jiwamu ada rasa resah, marah dan tidak redha.

    Nabi SAW telah bersabda:

    Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya; yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim, 49 dan Ahmad, 11514)

    Jika ada rasa resah, marah dan tidak redha, ketahuilah imanmu masih ada.

    Dalam kelemahan ini juga, tetaplah berjihad dengan segala kudrat. Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah berkata:

    “Tahap pertama jihad ialah mengingkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap ini ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam”. (Risalah Taalim)

    Jika hati rasa tenteram dan bahagia melihat keramahan dengan musuh Islam ini dan langsung tiada rasa marah dan resah, ukurlah di manakah tahap iman dan jihad kita?

    Berhujahlah semahunya untuk menjustifikasikan kemesraan dengan musuh Islam sebagai diplomasi, strategi licik dan sebagainya. Ia tetap tidak dapat memadamkan kemarahan dan sensitiviti umat.

    Senyuman diplomasi tidak sama sekali dapat membasuh darah syuhada’ yang telah tumpah membasahi bumi Palestin.

    Ingatlah firman Allah:

    “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat Kembali”. (Surah Ali Imran, ayat 28).

    Semoga tulisan ini menjadi bukti di hadapan Allah bahawa aku telah melaksanakan protes dengan hati atas apa yang telah aku lihat.

    Sesungguhnya aku memohon keampunan dari Allah atas segala kelemahanku.

    Ustazah Dr Nur Fatin Halil,

    Penyelidik MUIS

  • Istilah Maqasid Syariah SepatutnyaDigunakan Dengan Lebih Berhati-hati

    Istilah maqasid syariah sepatutnya digunakan dengan lebih berhati-hati, bukan sekadar membenarkan keputusan politik

    Mana-mana pemimpin yang mengkhianati umatnya samada dengan persekongkolan dengan pihak luar atau seumpamanya, hakikatnya telah hilang keabsahannya (mandat dan syar’iyyah) sebagai pemimpin.

    Oleh itu mana-mana keputusan yang dibuatnya ketika ini tidak akan benar-benar berdiri atas syariah, apatah lagi mendakwa ia menepati maqasid syariah.

    Keputusan yang paling menepati maqasid syariah hari ini adalah yang membawa umat kepada mendokong perjuangan umat mempertahankan jatidiri dan tanah suci mereka, tidak berkompromi dalam apa jua tawaran pihak musuh yang hanya merugikan pihak pembebasan.

    Saya sendiri berpandangan bahawa :

    “Apabila berlakunya perselisihan pandangan, maka rujuklah ahli tsughur (para mujahidin), kerana pandangan mereka lebih mendapat hidayah.

    Wallahua’lam bissawaab.

    Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
    Setiausaha Agung
    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • Wakil MUIS Ditemu Bual NHK Japan Berhubung Isu Bon Odori

    Hari Selasa, 15 Julai 2025 bersamaan dengan 19 Muharram 1447H, Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) terus melakar pencapaian bermakna apabila salah seorang penyelidiknya diberi peluang untuk menyampaikan pandangan hukum berkaitan penyertaan umat Islam dalam sambutan Bon Odori kepada stesen televisyen antarabangsa terkemuka NHK Japan

    Temu bual eksklusif ini merupakan sebahagian daripada dokumentari khas NHK yang membincangkan pandangan rakyat Malaysia terhadap perayaan Bon Odori, sebuah acara kebudayaan Jepun yang kini semakin mendapat perhatian di negara ini. Turut ditemu bual dalam dokumentari tersebut ialah YAB Menteri Besar Selangor, menjadikan liputan ini lebih menyeluruh dan berwibawa.

    Menariknya, pihak NHK telah menemui artikel yang ditulis oleh wakil MUIS pada tahun lalu berkaitan isu ini (rujuk artikel penuh di sini: https://muis.org.my/v47/…/bon-odori-2024-toleransi-muslim…/), dan seterusnya menghubungi pihak MUIS untuk mengadakan sesi temu bual lanjut.

    Dalam sesi tersebut, wakil MUIS menjelaskan bahawa meskipun terdapat perbezaan pandangan ulama dalam isu hukum menyertai Bon Odori antara yang mengharuskan dan yang mengharamkan , umat Islam perlu bertindak dengan kesedaran dan kejelasan prinsip. Walaupun ada dakwaan bahawa unsur pemujaan roh nenek moyang tidak lagi menjadi sebahagian daripada sambutan moden Bon Odori, asas dan falsafah asal sambutan itu tetap perlu diambil kira.

    Ujarnya lagi, penyertaan umat Islam dalam acara silang budaya seperti Bon Odori hanya boleh dipertimbangkan jika tiada unsur syirik, percampuran bebas lelaki dan wanita, makanan dan minuman haram, atau hiburan melalaikan. Namun, memandangkan sukar untuk mencapai suasana ideal tersebut, beliau lebih cenderung kepada pandangan agar umat Islam menjauhi perayaan ini sebagai langkah ihtiyat bagi menjaga akidah dan identiti Muslim.

    Beliau turut menegaskan bahawa seorang Muslim sejati seharusnya memiliki jati diri dan identiti yang jelas, dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur luar yang boleh melemahkan nilai keislaman.

    MUIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NHK Japan atas ruang dialog yang diberikan, serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada wakil penyelidik atas usaha menyampaikan kefahaman Islam dengan hujah dan pendekatan wasatiyyah.

    “Setiap pandangan dan tulisan kita, walaupun ringkas, boleh memberi impak yang jauh lebih besar daripada yang disangka,” ujar beliau.

    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • Mengapa Mati Lemas Dianggap Syahid?

    Salam takziah buat keluarga mangsa tragedi kemalangan menyayat hati yang mengorbankan enam sekeluarga di Sungai Korok, Jitra baru-baru ini.

    Semoga Allah memberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran khususnya kepada anak sulung keluarga ini yang tidak terlibat dalam kemalangan untuk menghadapi saat-saat getir.

    Mudah-mudahan mereka yang terkorban dikurniakan ganjaran syahid oleh Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

    الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

    “Orang yang mati syahid itu ada lima: orang yang mati kerana taun, sakit perut, tenggelam, orang yang tertimpa runtuhan atau jatuh bangunan dan yang gugur di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Hadis ini menjelaskan bahawa terdapat golongan tertentu yang dikira sebagai syahid akhirat. Antaranya orang yang mati akibat wabak (al-mat’ʿun), mati kerana penyakit perut (al-mabtun) dan termasuk juga yang mati tenggelam atau lemas (al-ghariq).

    Mereka ini mendapat ganjaran syahid akhirat, iaitu diberi pahala syahid tetapi masih diurus seperti jenazah biasa (dimandikan, dikafankan dan disolatkan).

    Ini berbeza dengan syahid kubra (syahid sebenar dunia akhirat) iaitu mereka yang mati berperang di jalan Allah dengan niat yang Ikhlas. Mereka bukan sahaja diberi pahala syahid di sisi Allah, malah jenazahnya tidak perlu dimandikan dan dikafankan.

    Mengapa Kematian Lemas atau Tenggelam Dianggap Syahid?

    Barangkali timbul persoalan: Jika mati tenggelam diberi ganjaran syahid, mengapa terdapat doa Nabi SAW yang menyebut agar kita berlindung daripada mati tenggelam?

    Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:

    اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ، وَالْحَرَقِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا

    “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kematian akibat runtuhan, terjatuh dari tempat tinggi, tenggelam, terbakar dan mati kerana gigitan (binatang berbisa).”(Riwayat Abu Daud & al-Nasa’ie)

    Menurut al-Munawi dalam Fayd al-Qadir, Nabi SAW memohon perlindungan daripada kematian-kematian yang menyayat hati ini kerana:

    • Ia menyakitkan dan mencemaskan, hingga seseorang mungkin tidak mampu mengekalkan keimanan pada saat-saat akhir.

    • Ia berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Kemungkinan tinggi seseorang tidak sempat bertaubat, menulis wasiat, menyelesaikan hutang atau mengucap syahadah.

    • Boleh jadi kematian ini menjadi laluan syaitan menghasut dan menyesatkan seseorang dalam detik sakaratul maut yang genting.

    Dari sudut sains, kematian akibat lemas berlaku kerana kegagalan sistem pernafasan mendapatkan oksigen, satu keadaan dikenali sebagai hipoksia iaitu kekurangan oksigen pada tisu badan, khususnya otak dan jantung.

    Mangsa yang tenggelam menahan nafas apabila terperangkap dalam air. Apabila tidak tahan, dia terpaksa menarik nafas, lalu air masuk ke saluran pernafasan. Ini menghalang oksigen daripada sampai ke paru-paru dan dalam beberapa minit, mangsa akan hilang kesedaran dan akhirnya mengalami kematian otak.

    Kematian ini amat menyeksakan secara fizikal dan psikologi. Dada terasa sesak, otak seperti “terbakar” dan timbul rasa panik yang melampau. Disebabkan faktor inilah yang membuatkan Rasulullah memohon perlindungan daripadanya dan Allah menjanjikan pahala syahid kepada sesiapa yang diuji dengan kematian yang sangat berat seperti ini.

    Kesimpulannya, Islam tidak menyuruh kita mencari maut secara sengaja semata-mata untuk memperoleh gelaran syahid. Bahkan, mendedahkan diri kepada bahaya adalah berdosa.

    Kita tidak berdoa agar mati lemas supaya mendapat pahala syahid, namun, jika seseorang mendapat musibah tanpa disengajakan seperti lemas dalam kemalangan, maka Allah dengan rahmat-Nya mengurniakan pahala syahid akhirat sebagai balasan atas beratnya ujian itu.

    Syahid adalah impian setiap mukmin sejati. Kita tidak dianjur untuk berdoa agar mati dengan cara tertentu, namun kita berdoa agar kematian dalam keadaan husnul khatimah.

    Justeru, Rasululllah SAW mengajar kita untuk sentiasa berniat dan berdoa agar mati dalam keadaan syahid, bukan meminta mati mengejut, tetapi mengharapkan kesudahan yang terbaik di sisi-Nya.

    Semoga Allah menerima mereka yang terkorban dalam tragedi Sungai Korok sebagai golongan yang syahid di sisi-Nya dan menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran besar buat kita yang masih hidup.

    #SehariSatuAyat

    #MUIS

    #IslamWasatiy

    Ustazah Dr. Nur Fatin Halil
    Ketua Unit Penyelidikan
    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • Ketaatan Kepada Tuhan Tak Perlu Statistik dan Penjelasan

    Dalam Islam, hukum ditentukan oleh wahyu, bukan semata-mata oleh logik akal, statistik perubatan atau dapatan daripada eksperimen sains.

    Sebagai contoh, zina dan perlakuan homoseksual adalah dua perbuatan yang dilarang dalam Islam. Kedua-duanya diharamkan secara qat‘ie (pasti), berdasarkan dalil-dalil yang jelas dan terang daripada Al-Quran dan Sunnah, disokong oleh ijmak (konsensus) para ulama.

    Pengharaman zina dan homoseksual bukan atas dasar perlakuan ini mendatangkan kesan buruk dari kesihatan semata-mata. Sebagai contoh zina mengundang penyakit sifilis dan pelaku homoseksual menghidap HIV.

    Benar, ia haram kerana kemudaratan yang terhasil dan manusia tidak boleh mendedahkan diri kepada kemudaratan. Tambahan lagi perlakuan sumbang ini tidak selari dengan Maqasid Syariah yang memelihara nasab dan maruah.

    Namun, perlu ditegaskan bahawa, tanpa ada kesan buruk yang mendatang pun, larangan Allah tetap perlu ditinggalkan tanpa banyak soal.

    Seorang Mukmin yang benar tidak menjauhi zina dan homoseksualiti kerana takut sifilis dan HIV. Tetapi Mukmin yang benar meninggalkan segala larangan kerana takut Allah.

    Apa yang Allah perintahkan kita taat. Apa yang dilarang kita tinggalkan. Sami’na wa ato’na. Kami dengar dan kami taat.

    Firman Allah SWT:

    “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) dalam urusan mereka.” (Surah al-Ahzab: 36)

    Semua perintah dan larangan Allah tidak bersyarat kepada wujudnya manfaat dan mudarat. Walaupun sains moden dan kajian perubatan mendapati pelbagai kesan buruk daripada zina dan homoseksualiti, pengharamannya telah ditetapkan Allah sebelum semua itu diketahui manusia. Apatah lagi setelah kita mengetahui mudarat di sebaliknya, ia semakin menambah keyakinan dan meneguhkan keimanan.

    Justeru, elemen terpenting dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu sosial terutamanya zina, homoseksualiti dan LGBT yang semakin berleluasa kini adalah menyuburkan rasa bertuhan dalam diri individu bermula dari kecil lagi. Pendekatan agama sebenarnya adalah pendekatan yang paling ampuh dalam mendepani segala permasalahan sosial.

    Bukankah kita semua berpegang dengan prinsip mencegah lebih baik daripada merawat? Kita tidak mahu “sudah terhantuk baru terngadah”. Pendidikan awal, kempen kesedaran, abstinen (menahan diri) dan pengurusan nafsu adalah perkara utama yang wajib diperkasakan.

    Usaha yang hanya memfokuskan kepada rawatan dan intervensi terhadap pesakit seperti pemberian pil pencegah kehamilan kepada wanita yang aktif berzina dan pemberian PrEP kepada pelaku homoseksual hanyalah satu usaha responsif dan bersifat jangka pendek terhadap gejala ini. Bahkan ia berpotensi meningkatkan lagi risiko dan menggalakkan maksiat ini untuk terus berleluasa.

    Bukan itu sahaja, jika kita hanya menegaskan keburukan zina dan homoseksualiti dari sudut kesihatan semata-mata, suatu masa nanti, pastinya ada golongan yang sentiasa mencari jalan untuk menghalalkan perbuatan ini. Kemungkinan terdapat pihak yang berjaya menemui penawar penyakit kelamin dan HIV. Ketika tiada lagi penyakit ini di dunia, adakah zina dan homoseksualiti sudah menjadi halal?

    Kesimpulannya, seorang Muslim tidak menunggu bukti kerosakan untuk taat. Ketaatan kita bukan kerana takut mudarat, tetapi kerana yakin bahawa perintah Allah itu benar dan larangan-Nya pasti mengandungi hikmah walau belum difahami.

    Inilah didikan dan pendirian yang perlu kita terapkan kepada anak-anak kita. Rawatlah segala permasalahan dari akar umbi iman, bukan rawatan yang sekadar di permukaan.

    Hukum syarak yang muktamad juga tidak tunduk kepada perubahan zaman atau hujah golongan liberal yang memperjuangkan hak asasi manusia.

    Ayuh kita nyatakan sokongan kepada Menteri Agama kita yang menyatakan pendirian beliau dalam menolak normalisasi maksiat. Di media-media sosial liberal terutamanya yang berbahasa Inggeris, beliau dihentam teruk atas nama kebebasan melakukan maksiat.

    Katakan TIDAK kepada normalisasi maksiat.

    Kenyataan YBhg. Dato’ Setia Dr. Naim: https://www.facebook.com/share/p/1BoYacBGWN/

    Semoga Allah memelihara kita semua.

    #SehariSatuAyat

    #MUIS

    #IslamWasatiy

    Ustazah Dr. Nur Fatin Halil
    Ketua Unit Penyelidikan
    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • Pelajar Maut Dalam Kemalangan Mendapat Syahid Akhirat

    Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi, boleh dikategorikan sebagai syahid akhirat.

    Namun, kesimpulan ini berdasarkan pandangan ulama, adalah berhubung kematian bukan berpunca daripada kecuaian sendiri. Para ulama memberikan pelbagai pandangan mengenai orang yang terbunuh akibat kemalangan jalan raya dan secara dasarnya ia bergantung kepada sebab berlaku kejadian itu sama ada akibat kecuaian sendiri atau menjadi mangsa kecuaian orang lain.

    Dalam hal ini, terdapat ulama berpendapat kematian seorang penuntut ilmu dalam perjalanan akibat kemalangan yang bukan berpunca daripada kecuaiannya sendiri dan mempunyai tujuan menuntut ilmu, boleh dikiaskan sebagai kematian syahid akhirat, sebagaimana mati akibat ditimpa bangunan atau lemas.
    Merujuk kes tragedi kemalangan UPSI ini, pelajar terkorban termasuk dalam kematian bukan kecuaian sendiri.

    Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA berkaitan kematian syahid akhirat,

    عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:

    “الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”
    Katanya, sabda Rasulullah itu bermaksud ‘orang yang mati syahid lima golongan iaitu mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah. (Riwayat al-Bukhari, 653).

    Pandangan Para Ulama’

    Shaikh Abd al-Rahman al-‘Asimi turut menyatakan antara golongan yang mendapat syahid akhirat ialah orang yang mati ketika sedang menuntut ilmu, sama ada melalui penulisan, pengajaran atau menghadiri majlis ilmu.

    Imam al-Suyuti dan Imam al-Ajhuri pula menyatakan bilangannya sehingga 30 golongan dan di antaranya juga ialah orang yang keluar mencari nafkah untuk orang di bawah tanggungannya,

    قال الإمام الأجهوري في «حاشية الروض المربع» (٣/٥٥):
    “وَقِيلَ: أَنْوَاعُ الشَّهَادَةِ تَزِيدُ عَلَى ثَلَاثِينَ نَوْعًا، مِنْهَا: الْغَرِيقُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْمَهْدُومُ، وَالْمَطْعُونُ، وَالْمُدَافِعُ عَنْ دِينِهِ أَوْ نَفْسِهِ أَوْ مَالِهِ، وَالْمُرَابِطُ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِوَجَعِ النِّفَاسِ، وَالْمُحْتَسَبُ الْخَارِجُ لِطَلَبِ الْمَعِيشَةِ لِعِيَالِهِ، وَالْمَقْتُولُ دُونَ جَارِهِ، وَغَيْرُ ذَلِكَ.”

    Dikatakan: Jenis-jenis kesyahidan itu melebihi tiga puluh jenis, antaranya: orang yang mati lemas, mati kerana penyakit perut, mati tertimbus, mati kerana wabak, orang yang mempertahankan agama, diri atau hartanya, orang yang bermurabit (berjaga di sempadan jihad), wanita yang meninggal kerana nifas, orang yang keluar mencari rezeki untuk keluarga secara ikhlas, orang yang dibunuh kerana mempertahankan jiran, dan selainnya.

    -Kitab Hasyiyah al-Raudh al-Murabba’, 3/55.

    Dalam Muwatta’ Imam Malik, juga dibawakan hadith yang menerangkan tentang hal ini,

    عنْ جَابِرِ بْنِ عَاتِكٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
    “الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللهِ: الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَةٌ، وَالْمُحْتَرِقُ شَهِيدٌ.”
    📚 [الموطأ، كتاب الجهاد، باب ما جاء في الشهادة، رقم الحديث: 987]

    Nabi SAW bersabda ‘orang yang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh iaitu korban wabak taun, mati kerana tenggelam, penderita penyakit radang paru-paru, mati kerana sakit perut, mati akibat tertimpa runtuhan, seorang wanita mati kerana melahirkan anak dan orang mati kebakaran (Riwayat Malik)

    Kesimpulan

    Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, mereka termasuk di dalam katogeri golongan yang mendapat kematian syahid akhirat. Marilah kita mendoakan mereka agar mendapat tempat yang tertinggi di dalam syurga, serta mendoakan ahli keluarga mereka agar diberikan kekuatan dan kesabaran tatkala menghadapi ujian sebegini.

    Wallahu’alam

    Dato’ Haji Zamri bin Hashim
    Pengerusi
    Muafakat Ilmuan Islam

  • Sambutan 10 Hari Pertama Zulhijjah Yang Kurang Diambil Berat: Apa Peranan Kita?

    Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah

    Apakah keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah ini? Mengapakah hari-hari ini tidak disambut dengan meriah sebagaimana hari-hari di bulan Ramadan disambut dan dinanti-nanti ketibaann ya? Sedangkan 10 hari pertama Zulhijjah ini adalah sangat istimewa di sisi Allah S.W.T. Amat sayang sekali kerana masih ramai di kalangan kita tidak menyedari akan kelebihan 10 awal Zulhijjah ini. Bahkan, ramai yang menyangkakan bahawa ibadah pada bulan Zuhijjah hanya berkisar ibadah haji dan korban semata-mata, menyebabkan hari-hari ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.

    Antara keistimewaan 10 hari permata Zulhijjah adalah: firman Allah dalam Surah al-Fajr ayat 1-2:

    وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2

    Maksudnya: Demi waktu fajar. Dan (demi) malam-malam yang sepuluh.

    Menurut Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubair, Mujahid dan ramai kalangan ulama salaf dan khalaf bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam ayat ini ialah sepuluh hari awal Zulhijjah (Tafsir Ibn Kathir). Allah S.W.T hanya bersumpah dengan sesuatu yang agung. Apabila Allah bersumpah dengan sepuluh hari Zulhijjah tersebut, pasti hari-hari ini adalah hari-hari yang mulia di sisi Allah.

    Rasulullah S.A.W pula bersabda:

    ما من أيَّامٍ العملُ الصَّالحُ فيهنَّ أحبُّ إلى اللهِ من هذه الأيَّامِ العشرِ. قالوا: يا رسولَ اللهِ ولا الجهادُ في سبيلِ اللهِ؟ فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ولا الجهادُ في سبيلِ اللهِ إلَّا رجل خرج بنفسِه ومالِه فلم يرجِعْ من ذلك بشيءٍ

    Maksudnya“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah, al-Tirmizi)

    Amalan soleh yang dimaksudkan dalam hadith ini merangkumi segala perkara baik yang disukai Allah seperti solat, puasa, sedekah, membaca al-Quran, zikir, berdoa, tolong-menolong, menuntut ilmu, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang susah dan sebagainya.

    Menurut al-Imam Ibn Hajar;

    والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره

    “Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.” (Fath al-Bari)

    Peranan terhadap diri

    Segala tindakan adalah bermula dengan kefahaman. Justeru, kita hendaklah mengkaji dan memahami kelebihan-kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah ini. Setelah kita meyakininya, hendaklah kita berdoa agar Allah memberikan kita kekuatan dan keazaman untuk beramal pada hari-hari yang mulia ini.

    10 hari pertama Zulhijjah ini sepatutnya menjadi medan untuk mengekalkan momentum ibadah dan taqwa daripada tarbiyah ketika bulan Ramadan. Jika semasa Ramadan, kita meletakkan sasaran qiyamullail, tilawah al-Quran dan sedekah, maka perkara yang sama perlu kita lakukan ketika 10 awal Zulhijjah ini. Ketika Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malam bagi mendapat lailatul Qadr, maka ketika 10 hari pertama Zulhijjah ini hendaklah kita berusaha sebaik mungkin melakukan amal soleh.

    Ketika hari Arafah, hendaklah kita berpuasa dan berdoa bersungguh-sungguh. Daripada Abi Qatadah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

    يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

    Maksudnya“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. (Riwayat Muslim)

    Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

    خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

    Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. (Riwayat al-Tirmizi)

    Kemuncaknya adalah ibadah korban. Allah S.W.T telah berfirman: 

    فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

    “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”(Al Khausar: 2)

    Kita perlu menyedari bahawa ibadah ketika bulan Zulhijjah ini tidak terhad kepada ibadah haji dan ibadah korban semata-mata. Akan tetapi, bagi mereka yang masih belum direzekikan untuk menunaikan haji dan melakukan ibadah korban, ketahuilah peluang keemasan untuk meraih pahala yang besar di sisi Allah terbuka luas pada hari-hari yang mulia ini.

    Peranan terhadap keluarga

    Sebagai ibu bapa, hari-hari kebesaran Islam ini hendaklah diterapkan ke dalam jiwa anak-anak sedari kecil. Ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh supaya menjadi ikutan anak-anak. Sebelum tiba bulan Zulhijjah lagi, anak-anak perlu dipersiapkan untuk menyambut ketibaan bulan Zulhijjah. Suasana rumah perlu dihidupkan dengan ruh ibadah sepanjang masa. Tahlil, Tasbih, Tahmid dan Takbir hendaklah diperbanyakkan, seperti dalam sabda Rasulullah s.a.w:

    Diriwayatkan dalam Musnad al-Imam Ahmad, daripada Ibnu Umar R.A, daripada Nabi S.A.W, baginda bersabda:

    مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إلِيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ أَوْ قَالَ: هَذِه الْأيَّامِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّسْبِيح وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ

    “Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakkanlah tahlil, takbir, dan tahmid kepada-Nya.” (Riwayat Imam Ahmad)

    Ketika tibanya 10 Zulhijjah pula (iaitu ketika Hari Raya Korban), anak-anak hendaklah dibawa melihat penyembelihan haiwan korban dan diterapkan makna pengorbanan yang sebenar. Alangkah sayangnya, hari raya Korban ini jika hanya disambut dengan bergembira semata-mata tanpa memahami makna disebalik pensyariatannya.

    Peranan terhadap masyarakat

    Kita boleh mencontohi masyarakat arab yang berlumba-lumba memberikan peringatan tentang kedatangan hari yang mulia ini. Pengalaman peribadi saya semasa belajar di Mesir menyaksikan sebelum tiba 1 Zulhijjah, rakan-rakan sekuliah berlumba-lumba memberikan tazkirah tentang kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah ini. Ketika 1 sehingga 9 Zulhijjah, suasana masyarakat adalah seperti suasana Ramadan, kami mendapati kedai-kedai makan agak lengang daripada biasa kerana rata-rata masyarakat berpuasa. Masing-masing sibuk menghidupkan hari-hari mulia ini dengan amalan soleh seperti membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, menambahkan solat-solat sunat dan lain-lain.

    Seharusnya budaya positif dari kalangan masyarakat Arab ini kita ambil dan terapkan dalam masyarakat kita yang masih kurang kesedaran tentang kelebihan-kelebihan 10 hari ini. Aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen sempena sambutan Zulhijjah hendaklah diperbanyakkan di semua peringkat samaada di masjid, sekolah atau kawasan kejiranan. Majlis berbuka puasa perdana boleh dianjurkan bagi meraikan mereka yang berpuasa sunat.

    Pempengaruh-pempengaruh di media sosial perlu lebih memperbanyakkan konten yang mengajak pengikut-pengikut mereka bersama-sama meningkatkan amal ibadah ketika 10 awal Zulhijjah ini.

    Bayangkan jika setiap dari kita memainkan peranan mengwara-warakan ketibaan bulan Zulhijjah ini, pastinya lebih ramai umat Islam yang akan cakna tentangnya, maka kesan baik dan positif akan dapat dirasakan dalam masyarakat. Masyarakat akan lebih dekat dengan Allah S.W.T, kemaksiatan pula akan berkurangan. Ini akhirnya akan menambahkan barakah dan rahmat Allah Taala ke dalam negara yang kita cintai. Wallahu A’lam Bissawab.

    Ustazah Raihana Zainal Abidin

    Penyelidik MUIS

  • Bulan Ramadan Mengembalikan Kita kepada Asas Wala’ dan Bara’

    MUIS menyatakan kegusaran terhadap insiden yang berlaku berkenaan isu kuil haram yang dibina atas tanah wakaf yang diwakafkan untuk pembinaan masjid.

    Insiden yang memberikan pulangan besar kepada pihak yang menceroboh tanah yang kini dimiliki oleh Jakel merupakan satu bentuk pengabaian terhadap penguatkuasaan undang-undang dan pencabulan kepada hak awam, di atas nama keharmonian dan hubungan sesama kaum.

    MUIS ingin menegaskan bahawa keharmonian negara hanya dicapai apabila negara Malaysia dihormati undang-undangnya dan diakui identiti kenegarannya berteras agama Islam, kepemimpinan Melayu dan institusi beraja.

    Apabila undang-undang boleh dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, hakikatnya negara ini akan kehilangan kedaulatannya dan inilah ancaman yang sebenar, yang bukan hanya meragut keharmonian, tetapi menghilangkan identiti sesebuah negara dan kedaulatannya.

    MUIS ingin mengingatkan kepada semua umat Islam khususnya pimpinan negara untuk merujuk sifat-sifat pengikut Muhammad SAW yang termaktub dalam dalam Al-Quran, yang menyifatkan kesetiaan dan kasih sayang kepada sesama mereka dan bertegas dengan golongan kafir.

    Sewajarnya bulan Ramadan mengembalikan kita kepada nilai-nilai wala’ dan bara’ yang makin pudar hari ini, kerana kerakusan permainan politik dan ahli politik yang hanya memikirkan masa depan politik mereka hingga mengabaikan masa depan negaranya sendiri.

    Ust Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
    Setiausaha Agung MUIS

  • Drama Islamik Disulami Kelucahan?

    1. Heboh baru-baru ini mengenai drama berunsur Islamik yang disulami dengan elemen kelucahan. Ketika ditanya mengenai isu ini, pengarahnya memberikan jawapan bahawa filem itu ingin sekadar membawa mesej agama.
    2. Pada hakikatnya, dalam membawa mesej Islam, unsur kelucahan sama sekali tidak diperlukan malah ia jelas bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri. Mesej Islam akan tetap sampai tanpa elemen kelucahan. Begitu juga Matlamat yang baik tidak menghalalkan cara.
    3. Mungkin juga babak ini merupakan elemen kontroversi terancang bagi bertujuan menarik penonton melalui konsep “bad marketing.” Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam. Rasulullah mengecam pengusaha sebegini yang menggunakan elemen kejelekan dalam produksi mereka. Sabda Rasulullah:

      إِنَّ التُجَّارَ يُبعَثُونَ يَومَ القِيَامَةِ فُجَّارًا ، إِلَّا مَن اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ

    “Sesungguhnya para pengusaha (peniaga) akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan “fujjar” (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.” (HR al-Tirmizi)

    1. Malah Rasulullah turut mengecam pengusaha yang menggunakan elemen lagha (sia-sia) dalam produk mereka apatah lagi mereka yang menggunakan unsur-unsur kelucahan yang menjengkelkan. Sabda Rasulullah:

    يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ، إِنَّ هَذَا الْبَيْعَ يَحْضُرُهُ اللَّغْوُ، وَالْحَلِفُ، فَشُوبُوهُ بِالصَّدَقَةِ

    “Wahai para peniaga, sesungguhnya perusahaan ini akan disertai dengan unsur lagha (sia-sia dan dosa) dan sumpah (bagi tujuan melariskan). Maka hapuskanlah ia dengan sedekah.” (HR Ahmad)

    1. Namun sekiranya elemen ini dimuatkan secara sengaja, adakah kita ingin mencari sumber pendapatan melalui jalan yang dicegah oleh Allah? Adakah makanan yang bakal menjadi darah daging kita ini, kita kaut hasilnya melalui elemen yang jelas dibenci oleh Rasulullah. Sumber yang haram akan pasti mengganggu ibadah dan doa kita. Sabda Rasulullah:

    ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

    “Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dipenuhi dengan sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan diterima? (HR Muslim).

    Semoga Allah membimbing kita.

    Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi

    Timbalan Pengerusi
    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • Mari Berpuasa di Bulan Rejab

    1. Timbul banyak persoalan mengenai hadis-hadis daif yang berlegar disekitar bulan Rejab. Al-Imam Ibn Hajar dan al-Imam al-Nawawi turut pernah menyuarakan tentang kewujudan lambakan hadis-hadis daif mengenai Rejab.

    2. Walaupun begitu, ia tidak menghalang kita dari berpuasa dalam bulan Rejab. Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi menampilkan satu hadis yang menunjukkan keharusan berpuasa dalam bulan Rejab.

    3. Hadis tersebut menceritakan dialog Rasulullah dengan Saidina Usamah dimana Usamah bertanya kepada Nabi mengapa Baginda banyak berpuasa dalam bulan Syaaban. Lalu Rasulullah menjawab:

    ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ،

    “Kerana bulan Sya’ban adalah bulan yang sering dilupakan oleh manusia berbanding bulan Rejab dan Ramadan.” (HR al-Nasa’i)

    4. Ketika mengulas mengenai hadis ini, al-Imam al-Syaukani menyatakan bahawa, lafaz Rasulullah ini seakan menunjukkan keharusan berpuasa pada bulan Rejab. Ini kerana manusia sering mengagungkan bulan Rejab dan Ramadan. Mereka banyak berpuasa pada bulan Rejab dan Ramadan tetapi tidak pada bulan Sya’ban. Lalu al-Imam al-Syaukani berkata:

    أَنَّ الْمُرَادَ أَنَّهُمْ يَغْفُلُونَ عَنْ تَعْظِيمِ شَعْبَانَ بِالصَّوْمِ كَمَا يُعَظِّمُونَ رَمَضَانَ وَرَجَبًا بِه

    “Maksudnya disini ialah manusia banyak yang leka daripada memuliakan bulan Syaaban dengan berpuasa seperti mana mereka memuliakan bulan Rejab dan Ramadan dengan berpuasa. (Nayl al-Autar)

    5. Pandangan yang sama dinyatakan oleh Darul Ifta Mesir (Majlis Fatwa Kebangsaan Mesir) yang menyatakan tiada masalah bagi umat Islam untuk meningkatkan amalan dan berpuasa dalam bulan Rejab. Kata mereka:

    ولكن هذا لا يمنع من التزود بالعمل الصالح في هذا الشهر المعظم،

    “(Benar terdapat hadis daif mengenai bulan Rejab) tetapi ia tidak menghalang kita daripada memperbanyakkan amal soleh dalam bulan yang dimuliakan ini.

    6. Sebagai Muslim, kita hendaklah berhati-hati dalam menerima hadis yang tersebar dalam media sosial. Dalam masa yang sama, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan amalan kerana Allah.

    Semoga Allah membimbing kita.

    Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi

    Timbalan Pengerusi

    Muafakat Ilmuan Islam