Welcome to WordPress. This is your first post. Edit or delete it, then start writing!
Author: admin
-
JENAYAH LIWAT MENURUT ISLAM: ANCAMAN LAKNAT DAN HUKUMAN BERAT

Ditulis oleh: Ustazah Dr Nur Fatin Halil (Ketua Penyelidikan MUIS)
Sungguh jijik rasanya melihat gambar lelaki-lelaki bertuala yang ditangkap di spa songsang tempoh hari.
Namun, tambah jijik apabila ada segolongan manusia yang menjadi pembela kepada kumpulan terlaknat ini.
Ya, kita memang membenci ‘perlakuan’ terkutuk itu, bukan membenci ‘pelakunya’. Namun pelakunya tetap layak mendapat hukuman kerana telah melakukan larangan Allah.
Bahkan di bawah undang-undang sivil Malaysia, Seksyen 377A Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai “persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii”, yang merujuk “mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.”
Justeru, jelas perbuatan liwat dan homoseksual adalah satu jenayah di negara kita dan boleh dihukum.
Namun, para pembela gejala songsang ini berusaha untuk mengabsahkan perlakuan tidak bermoral dengan memutar belit dan mentafsir semula undang-undang sivil, berhujah atas nama hak asasi manusia, ruang privasi dan sebagainya.
Buatlah apa sahaja untuk memansuhkan bidang kuasa mahkamah Syariah dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan hukuman liwat. Yang pasti, semuanya tidak dapat memadam hakikat bahawa liwat tetap satu jenayah dan menyalahi hukum Syarak.
Seseorang itu mungkin boleh lari daripada peraturan manusia. Tetapi seorang Muslim tidak boleh lari dan sentiasa tertakluk kepada undang-undang Syariah.
Undang-undang Syariah adalah undang-undang dan peraturan Allah. Ia adalah berdasarkan apa yang disuruh dan dilarang oleh Allah. Jika Allah tak bagi buat, itulah undang-undangnya. Siapa yang buat juga, dia telah melakukan jenayah!
Justeru, isu ini tidak bergantung pada wujud atau tidaknya mangsa liwat yang tampil membuat aduan, barulah pelakunya dikenakan tindakan.
Isu ruang privasi juga tidak wujud kerana bumi ini milik Allah. Berlarilah ke mana pun untuk melakukan maksiat, secara tersembunyi atau terbuka, tetaplah dia berpijak di bumi Allah.
Sesuatu larangan dan perintah Allah juga tidak dinilai semata-mata melalui manfaat atau mudaratnya. Seorang Muslim menjauhi perbuatan liwat bukan hanya kerana takutkan penyakit, meskipun menyedari wujudnya kesan buruk daripada perbuatan itu.
Ini bermakna, sekiranya pada suatu hari nanti penyakit yang dikaitkan dengan perbuatan liwat seperti HIV tidak lagi wujud, atau sekalipun pakar perubatan menemui penawarnya, larangan terhadap liwat tetap kekal dan tidak dimansuhkan kerana dalil pengharamannya adalah qat’ie iaitu jelas, putus, pasti dan tidak mengandungi sebarang kemungkinan maksud lain.
Apakah Dalil Pengharaman Liwat?
Antara dalil pengharaman liwat adalah firman Allah SWT:
Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” (Surah al-Syu’ara’: 165-166)
Allah SWT berfirman lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. (Surah al-Naml: 55)
Dalam ayat Allah SWT yang lain:
Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?” (Surah Al-A’raf :80)
Ayat-ayat al-Quran ini menjelaskan bahawa perlakuan hubungan sejenis adalah satu perbuatan keji yang melampaui batas serta mendatangkan akibat yang buruk. Lihatlah bagaimana Allah telah membinasakan kaum Lut kerana melakukan amalan songsang ini. Ini merupakan bukti kukuh bahawa liwat adalah larangan Allah yang mengundang kemurkaan-Nya.
Al-Khattabī dalam Maʿālim al-Sunan menjelaskan bahawa kerasnya hukuman terhadap kaum Nabi Luṭ adalah kerana para ulama merujuk kepada makna yang tersirat di sebalik azab dan hukuman yang Allah timpakan ke atas mereka, iaitu batu yang dihujankan ke atas kaum Luṭ sehingga mereka hancur binasa semuanya.
Azab kedua ialah diterbalikkan bumi tempat duduk mereka iaitu perkampungan Sadum itu. Kini tempat tersebut adalah Laut Mati di persisiran Palestin dan Jordan.
Azab diterbalikkan itu sesuai dengan perbuatan mereka yang terbalik dan songsang. Begitulah biasanya sesuatu balasan itu mengikut jenis amal dan perbuatan.
Dalil larangan liwat daripada hadis pula antaranya sabda Nabi SAW:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا
Maksudnya: “Allah telah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Lut, (baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (Hadis riwayat Ahmad, no. 2913)
Menurut Imam Al-Nawawi, setiap kali perkataan ‘la’ana’ (dilaknat) muncul dalam nas atau teks syarak, ia menunjukkan ‘tahrīm’ iaitu pengharaman terhadap perkara yang dikaitkan dengan laknat itu. Oleh itu, perbuatan kaum Lut atau liwat iaitu perbuatan memasukkan zakar ke dalam dubur seseorang, sama ada lelaki atau perempuan adalah haram dan dilarang.
Liwat juga telah menjadi satu perlakuan yang telah mencapai kesepakatan di kalangan ulama mengenai pengharamannya. Menurut Ibn Qudāmah dalam kitabnya Al-Mughnī, terdapat ijmāʿ iaitu kesepakatan atau konsensus dalam kalangan ulama mengenai pengharaman perbuatan liwat.
Justeru, perbuatan liwat bukanlah satu jenayah yang ringan dan boleh dipandang enteng.
Tambahan lagi, hukuman bagi pelaku liwat teramat berat.
Apakah hukuman syarak bagi pelaku liwat?
Benarkah peliwat boleh dihukum bunuh?
Hukuman Syarak Bagi Pelaku LiwatDalam sebuah ḥadis Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
مَن وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Luṭ, maka bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perbuatan itu ke atasnya.” (Sunan Ibn Mājah, Kitāb al-Ḥudūd, no. 2561)
Hadis ini menunjukkan bahawa hukuman bagi perbuatan kaum Nabi Luṭ, atau sesiapa yang melakukan liwaṭ dan perbuatan homoseksual adalah hukuman mati. Namun begitu, Abdul Rahman al-Maliki dalam kitabnya Nizam al-‘Uqubat berpendapat, terdapat khilaf iaitu perbezaan pandangan di kalangan ulama mengenai kaedah pelaksanaan hukuman mati terhadap peliwat.
Ibn al-Qayyim pula berpendapat bahawa liwaṭ merupakan antara dosa yang paling berat di dunia dan di akhirat, serta termasuk dalam kategori dosa yang menerima hukuman paling berat.
Perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai jenis hukuman bagi liwaṭ adalah seperti berikut:
- Pandangan Abu Bakr al-Siddiq, Ali ibn Abi Talib, Khalid ibn al-Walid, Abdullah ibn al-Zubayr, Abdullah ibn Abbas, Jabir ibn Zayd, Abdullah ibn Ma’mar, al-Zuhri, Rabi’ah ibn Abi Abd al-Rahman, Malik, Ishaq ibn Rahawayh dan Imam Ahmad ibn Hanbal ialah bahawa hukuman bagi liwāṭ lebih berat daripada hukuman bagi zina, iaitu hukuman mati dalam semua keadaan, sama ada pelaku itu sudah berkahwin ataupun belum.
- Pandangan ‘Ata ibn Abi Rabah, Hasan al-Basri, Sa‘id ibn al-Musayyib, Ibrahim al-Nakha‘i, Qatadah, al-Awza‘i, Abu Yusuf dan Imam Ahmad (dalam satu riwayat lain) ialah bahawa hukuman bagi liwāṭ adalah sama seperti hukuman bagi zina.
- Menurut al-Ḥakam dan Imam Abu Ḥanifah, hukuman bagi liwaṭ, selain daripada zina, ialah ta‘zīr. Ta‘zīr ialah hukuman yang ditentukan mengikut budi bicara hakim berdasarkan keadaan dan butiran kes.
- Ibn Hazm juga mengklasifikasikan hukuman bagi liwāṭ sebagai ta‘zīr. Beliau menganggap homoseksual sebagai satu perbuatan yang boleh dihukum namun tidak mencapai tahap hukuman ḥudud seperti zina.
- ʿAlī bin Abī Ṭālib RA berkata bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan liwat hendaklah dibakar dengan api.
- Menurut ʿAbdullāh bin ʿAbbās RA, pelaku liwat hendaklah dijatuhkan dari bangunan yang paling tinggi di kawasan tersebut dengan kepala menghala ke bawah, dan apabila sampai ke tanah, mereka hendaklah direjam.
- ʿUmar bin al-Khaṭṭāb (semoga Allah meredainya) dan ʿUthmān bin ʿAffān (semoga Allah meredainya) pula dikatakan berpendapat bahawa pelaku liwat hendaklah dihukum bunuh dengan meruntuhkan tembok ke atas mereka sehingga mati.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, liwat telah dikategorikan sebagai perbuatan yang menyerupai zina dan hukumannya adalah seperti hukuman zina. Liwat dianggap seperti persetubuhan tetapi berlaku di dubur, baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan.
Menurut mazhab Syafie, hukuman liwat adalah hukuman zina bagi pihak pelaku sekiranya wujud bukti atau pengakuan. Sekiranya pelaku seorang muhsan (telah berkahwin), dia akan direjam sehingga mati. Sekiranya pelakunya bujang, dia akan disebat sebanyak 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun.
Berdasarkan huraian ini, kita menginsafi bahawa hukuman terhadap perbuatan laknat ini sememangnya termaktub dalam Syariah, namun penguatkuasaannya masih belum dapat dilaksanakan. Masyarakat juga belum benar-benar bersedia menerima dana memahami disebabkan tahap kesedaran yang masih rendah, di samping struktur perundangan negara yang menghadkan pelaksanaan hukuman Syariah dalam bidang kuasa yang sangat terhad.
Pelaksanaan penuh undang-undang Syariah berhubung kesalahan seperti liwaṭ juga masih terbatas kerana bidang kuasa jenayah Syariah terhad kepada negeri-negeri dan hukuman yang dibenarkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
Liwat merupakan kesalahan jenayah dalam peruntukan Syariah di Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Kelantan. Walaubagaimanapun, negeri Perak, Terengganu dan Pahang tiada peruntukan bagi kesalahan liwat. Manakala negeri Selangor menggunakan peruntukan kesalahan hubungan jenis antara orang yang sama jantina untuk kesalahan liwat.
Dalam konteks semasa, beberapa peruntukan dalam undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan yang menguatkuasakan hukuman terhadap perbuatan seksual songsang seperti liwat sebenarnya sudah sejajar dengan prinsip umum Syariah yang melarang perilaku tersebut.
Namun demikian, adalah wajar untuk diusulkan agar peruntukan undang-undang sivil di peringkat Persekutuan diperkukuhkan dan digubal hukuman yang lebih berat dan selaras dengan prinsip syariah, agar dapat dilaksanakan Syariat dalam kerangka perlembagaan sedia ada.
Justeru, prinsip dan hukuman Islam terhadap perilaku seksual songsang kekal dapat ditegakkan dalam ruang lingkup perundangan Malaysia yang sah menurut Perlembagaan Persekutuan, selagi mana ia digubal dan dilaksanakan mengikut saluran perundangan yang ditetapkan.
Perjuangan untuk menegakkan undang-undang Syariah perlu diteruskan agar perintah dan kehendak Allah dapat dilaksanakan di atas muka bumi ini. Dengan mematuhi ketetapan Syariah, kita berusaha menghindarkan diri daripada kemurkaan Allah, sekali gus membawa kepada kesejahteraan negara yang berada dalam naungan keredaan-Nya.
Kemungkaran yang berlaku secara terbuka wajib dicegah agar tidak bermaharajalela. Setiap Muslim bertanggungjawab menolak dan memerangi kemungkaran ini, bukannya menganggap remeh apatah lagi membelanya.
Takutlah terhadap azab-Nya yang apabila turun, ia menimpa seluruh masyarakat, bukan hanya golongan yang melakukan larangan tersebut. Jika kita tidak bersama memerangi perbuatan yang dilaknat ini, kita juga turut sama dibinasakan bersama mereka yang dilaknat Allah.
Allah SWT berfirman:Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Anfal: 25)
Buat semua Muslim yang terlibat dalam tangkapan spa songsang ini, ittaqullah! Takutlah kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya sementara masih ada masa dan nyawa.
Rujukan:
Al-Quran Al-KarimAbd al-Rahman Al-Mālikī. (1995). Niẓām al-ʿUqūbāt. Beirut: Dār al-Ummah.
Al-Khaṭṭābī. (2009). Maʿālim al-Sunan Sharḥ Sunan Abī Dāwūd. Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Khin, Muṣtafā, Muṣṭafā Al-Bughā & cAlī Al-Sharbajī. (2011). Al-Fiqh Al-Manhajī ʿAla Madhhab al-Imām Al-Shāfiʿī. (1992). Damyik: Dār al-Qalam.
Al-Nawawī, Abū Zakariyā Maḥyuddīn Yaḥya bin Sharaf. (2010). Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-cArabī.Al-Sarakhsī, Shams al-Dīn Abī Bakr. (1993). Al-Mabsūṭ. Beirut: Dār al-Macrifah.
Al-Shawkānī, Muḥammad bin ʿAlī. (1987). Al-Darārī al-Muḍiyyah Sharḥ al-Durar al- Bahiyyah fī al-Masā’il al-Fiqhiyyah. Dār al-Āthār.
Ibn al-Qayyim, al-Jawziyyah. (1983). Rawḍat al-muḥibbīn wa nuzhat al-mushtāqīn. Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Ibn al-Qayyim, al-Jawziyyah. (2019). al-Dāʾ wa al-Dawāʾ: al-Jawāb al-Kāfī li-Man Saʾala ʿan al-Dawāʾ al-Shāfī. Beirut: al-Maktabah al-ʿAṣriyyah.
Ibn Qudāmah, cAbdullāh ibn Aḥmad. (1996). Al-Mughnī. Riyadh: Dār cAlāmul Kutub.
Laws of Malaysia. (2015). Penal code (Act 574). Retrieved from: https://www.rcrc- resilience-southeastasia.org/wp-content/uploads/2017/12/Penal-Code-Act- 574.pdf
Nasohah, Z., Zakaria, Z. I., & Kusrin, Z. M. (2022). Cabaran penyeragaman undang- undang jenayah syariah di Malaysia. International Journal of Islamic Thought, 22, 146-159.
-
Protes Dengan Hati Selemah-Lemah Iman

Bayangkan… Ada seorang lelaki telah membunuh bapa saudara yang kita sayangi. Tiba-tiba lelaki itu muncul di pintu rumah kita. Adakah kita menyambutnya dengan penuh hangat dan mesra?
Nabi kita, Nabi Muhammad SAW pernah diuji dengan kehilangan bapa saudaranya, penghulu para syuhada’ iaitu Sayyidina Hamzah R.A.
Sayyidina Hamzah R.A. telah dibunuh dengan kejam oleh Wahsyi bin Harb Al-Habasyi dalam peperangan Uhud. Setelah Wahsyi memeluk Islam, Nabi menerimanya sebagai Muslim, namun baginda tetap berkata dengan tegas:
“Adakah engkau Wahsyi? Adakah engkau yang membunuh Hamzah? Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 4072)
Jangan muncul di hadapanku. Aku tidak boleh memandang wajahmu.
Itu pendirian Nabi terhadap seorang pembunuh yang telah membunuh insan yang dicintainya. Walaupun Wahsyi telah bertaubat, luka itu tetap dirasai.
Nabi tidak mampu melihat wajah orang yang menumpahkan darah keluarganya, meskipun dia sudah mengucap syahadah.
Nabi memaafkan tetapi tidak melupakan.
Nabi tidak berdendam. Tetapi Nabi berpegang teguh pada prinsip.
Nabi tidak menormalisasi kejahatan dan tidak meraikan pelaku dosa besar walaupun dia telah bertaubat dan masuk Islam.
Jika begitu sikap Nabi terhadap seorang Muslim yang mempunyai sejarah melakukan pembunuhan, bagaimana pula pendirian kita sebagai umat Islam terhadap orang Kafir yang terus menerus bersekongkol dalam pembantaian dan pertumpahan darah umat Palestin, membiayai penjajahan dan menghina kesucian Masjid al-Aqsa?
Adakah wajar kita bersikap lunak dan mesra dengan pelaku kezaliman?
Akal yang waras pastinya tidak sanggup melihat wajah pembunuh saudara kita. Apatah lagi tersenyum menyambutnya dan beramah mesra.
Atas nama maslahat, kuasa politik dan pengaruh ekonomi, Trump telah dijulang dan disambut meriah dengan tarian.
Malah ada ahli akademik dan cerdik pandai yang ‘try hard’ sungguh membawa segala dalil untuk mengabsahkan sambutan hangat PMX terhadap Trump.
Tak perlu segala kata-kata hikmah yang bertujuan menyedapkan hati atas tindakan itu.
Cukup hati nurani yang hidup, yang terluka dan tidak redha akannya.
Bawalah segala petikan kitab dan hujah maslahat serta kepentingan politik, ia tidak sama sekali dapat memadamkan fakta bahawa tangan Trump telah berlumuran dengan darah umat.
Andai diplomasi itu perlu demi kepentingan negara, cukup sekadar perbincangan di meja rundingan yang bermaruah dan tegas berprinsip, bukan dengan pesta sambutan yang berlebihan.
Sambutan yang penuh keghairahan juga tidak menggambarkan bantahan dan kebencian kita terhadap genosid yang didanainya.
Demi menjaga periuk nasi negara, kita sanggup mengendeng ngendeng, mengipas dan mengampu musuh.
Luntur maruah dan habis segala prinsip ummah.
Betapa lemahnya jiwa kita yang dikaburi materialistik dan dunia.
Lemahnya kita apabila tidak memegang kuasa.
Kita dipegang dan diperkotak-katikkan oleh mereka.
Dalam kelemahan ini, jangan terus hilang iman.
Tetaplah di jiwamu ada rasa resah, marah dan tidak redha.
Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya; yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim, 49 dan Ahmad, 11514)
Jika ada rasa resah, marah dan tidak redha, ketahuilah imanmu masih ada.
Dalam kelemahan ini juga, tetaplah berjihad dengan segala kudrat. Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah berkata:
“Tahap pertama jihad ialah mengingkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap ini ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam”. (Risalah Taalim)
Jika hati rasa tenteram dan bahagia melihat keramahan dengan musuh Islam ini dan langsung tiada rasa marah dan resah, ukurlah di manakah tahap iman dan jihad kita?
Berhujahlah semahunya untuk menjustifikasikan kemesraan dengan musuh Islam sebagai diplomasi, strategi licik dan sebagainya. Ia tetap tidak dapat memadamkan kemarahan dan sensitiviti umat.
Senyuman diplomasi tidak sama sekali dapat membasuh darah syuhada’ yang telah tumpah membasahi bumi Palestin.
Ingatlah firman Allah:
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat Kembali”. (Surah Ali Imran, ayat 28).
Semoga tulisan ini menjadi bukti di hadapan Allah bahawa aku telah melaksanakan protes dengan hati atas apa yang telah aku lihat.
Sesungguhnya aku memohon keampunan dari Allah atas segala kelemahanku.
Ustazah Dr Nur Fatin Halil,
Penyelidik MUIS
-
Hentikan Normalisasi Wanita Menjadi Pelaris

Kisah 1
Saya masuk ke sebuah kedai sukan. Kemudian terdengar dengan kuat suara staf wanita dengan begitu gemalai suaranya memanggil salah seorang pembeli lelaki di situ. Sangat jelas “abannnng… tunggu kejap ye..” sambil pergi cari barang di stor. Kali kedua, kali ni sampai ada pembeli lain pun pandang staf perempuan tu “abannnggg… takdelah saiz tu”. Diakhiri dengan gelak yang tak berapa lawak tu. Akhirnya, kami keluar kedai. Kuno sangat ke jika gunakan formaliti dengan para pembeli lebih-lebih lagi yang berlainan jenis? Atau barang tak laku nanti jika tiada unsur memujuk atau suara memukau?
Kisah 2
Lalu di TT, sukan permotoran sedang bersedia di litar perlumbaan (lokasi: Malaysia). Saya sampai berkali-kali fikir, serendah itukah maruah wanita yang kerjanya memegang payung untuk setiap pelumba di garisan permulaan. Memang ‘tak boleh’ lelaki ke tukang pegang payung? Akan ada kesan ke kalau lelaki yang jadi tukang pegang payung?
Dari kedua-dua kisah dan mungkin kisah lain yang berlaku dalam realiti kehidupan kita. Interaksi dunia hari ni menjarah dan memaksa wanita sehingga seolah-olah menjadi alat pelaris. Belum lagi sebut tentang hubungan haram sekerja dan lain-lain. Lebih menyedihkan ada kebanyakan wanita sendiri rasa ‘normal’ dengan perkara ni.
Islam datang meletakkan wanita di tempat mulia. Syariat Islam datang dengan batas-batas Wasatiyyah yang menjaga Iffah (kehormatan) dan Izzah (kemuliaan) diri seorang wanita.
Ada garis panduan dalam berinteraksi dengan lawan jenis, ada garis panduan wanita bekerja. Semuanya lengkap.
Perhatikan dalam Surah Al-Ahzab: 32
إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
Wanita muslimah perlu meneladani para isteri-isteri Nabi dalam segenap aspek kehidupan kerana merekalah contoh terbaik yang realistik untuk para muslimah dalam kehidupan. Berhentilah menjadikan pempengaruh yang berkiblatkan taghut sebagai contoh.
Wanita ini Allah ciptakan sebagai makhluk yang sangat unik. Macam magnet, jika kita menjadi wanita berakhlak, kita akan jadi seperti bunga yang sedap dipandang, berhati-hati untuk disentuh. Jika kita menjadi wanita yang tidak berakhlak (terpengaruh dengan kebebasan barat), maka banyaklah mata dan hati yang berniat jahat untuk merosakkannya.
Nota penting dari Ayat 32 Surah Al-Ahzab:
1) Contohi para isteri nabi dan sahabiyah secara syumul (telusuri sirah sahabiyyah). Bukan pilih-pilih ikut citarasa dan nafsu.
2) Jika perlu berinteraksi dengan lawan jenis, pilih nada dan perkataan yang formal, sesuai dengan luhur budaya melayu Islam. Tidak perlu kepada melunakkan atau menggunakan bahasa badan. Jelas, padat dan meyakinkan.
3) Tutup ruang fitnah. Tiada istilah ‘hanya sekadar kerja’. Hukum pekerjaan untuk wanita boleh jatuh haram sekiranya membuka ruang fitnah.
4) Hidup sebagai satu ummah. Protes dan rasa jijik dengan perbuatan tidak bermaruah. Jangan sokong. Tunjukkan jalan untuk bertaubat.
5) Lazimi zikir al-Mathurat dan doa pendinding.
Semoga Allah meredhai dan memelihara zuriat keturunan kita dari fitnah akhir zaman.
Mulakan dengan diri kita untuk berubah ke arah lebih baik.
Ustazah Abiidah Fadzlan Shahidi,
Penyelidik MUIS
-
Mendidik Akhlak Remaja Tanggungjawab Siapa?

Remaja adalah pelapis masa hadapan negara. Namun, mereka kini hanyut dengan arus hedonisme, liberalisme dan kebebasan palsu yang menjerat akal dan jiwa. Budaya Barat mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup sehingga menghakis identiti Islam remaja.
Kita berhadapan dengan generasi yang celik teknologi tetapi gagal mengawal nafsu. Di sinilah bermulanya krisis kepincangan fitrah dan akhlak.
Mendidik remaja bukanlah tugas individu, tetapi tanggungjawab kolektif: keluarga, guru, masyarakat dan negara. Namun, apabila setiap pihak disibukkan dengan “tugas teknikal”, pendidikan berunsurkan rohani dan kasih sayang kian hilang.
Apabila mendidik para sahabat, Rasulullah memberikan fokus, perhatian dan menitikberatkan keadaan para sahabat agar mereka tidak merasa jemu. Baginda juga matang, bijaksana dan kreatif ketika berhadapan dengan murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah perbezaan aras kognitif.
Asas syariat seperti pendidikan solat, menjaga adab pergaulan dan menjaga pandangan perlu diperkenalkan sejak usia kecil melalui pendekatan berhikmah. Pendidikan solat yang digariskan Islam menunjukkan nasihat berulang kali, bimbingan kasih sayang dan penegasan disiplin perlu selari dalam Pendidikan anak. Islam telah memberikan panduan kepada ibu bapa bukan sahaja mengenai tatacara mengisi jiwa anak, malah pada tatacara mengisi masa lapang anak agar membentuk khalifah yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
Tugas guru bukan sekadar penyampaikan ilmu, malah membimbing jiwa. Namun sistem pendidikan moden sering membataskan masa guru untuk berinteraksi dengan murid. Silibus pendidikan perlu ditambahbaik ke arah kesepaduan agama dan psikologi perkembangan remaja agar lebih dekat dengan realiti remaja. Kesedaran tentang Pendidikan seksualiti diintegrasikan dengan pengurusan nafsu amat sesuai diberi kepada murid sekolah atas faktor peningkatan gejala sosial masa kini.
Penggunaan media massa mesti dikawal dengan berhikmah. Jadual penggunaan gajet, dan penapisan kandungan media berunsur pornografi menjadi keperluan mendesak.Tanggungjawab ini perlu digalas oleh ibu bapa, guru, kerajaan, penggubal polisi dan masyarakat.
Membina kembali akhlak remaja bukan kerja sehari dan bukan tugas satu pihak. Ia tanggungjawab ummah dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.
Ustazah Dr Nasyitah Farhanah
Penyelidik MUIS -
Sanjungi juga para wira yang mula-mula hidupkan isu Palestin sejak lebih 20 tahun yang lalu
Saya ucapkan tahniah kepada para peserta Sumud Flotilla dan selamat pulang ke tanah air. Moga usaha anda dikira sebagai salah satu jalan-jalan pembebasan P pada masa akan datang. Mudah-mudahan ia dikira sebagai jih4d walau apa jua martabatnya.
Saya juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa:
Jasa mereka yang telah bertungkus lumus menghidupkan agenda pembebasan P di Malaysia sejak sekian lama, yang memakan masa, tenaga, keringat dan cita-cita mereka, sewajarnya lebih dihargai dan disanjung sebagai wira negara.
Merekalah yang mula menghidupkan isu P dalam rangka pembebasan, melangkaui isu kemanusiaan. Hakikatnya isu kemanusiaan tidak akan mampu berdiri seteguh ini, sehebat ini, jika bukan kerana di dalam lubuk hati para pejuang P dan umat Islam, bahawa isu P adalah isu akidah dan perjuangan agama.
Tapi apakan daya, manusia hanya melihat apa yang zahir, ‘wow’, dan ‘berimpak besar’, berbanding kerja yang ‘dilihat’ runcit, pelan-pelan, dan berjangka masa panjang.
Namun tak mengapa, sepanjang sejarah perkenalan saya dengan mereka, para pejuang ini sudah biasa tidak di’highlight’ atau dimasyhurkan. Mereka hidup dengan mudah dan sederhana, berdiri atas tujuan agama, punyai visi yang jelas dan gerakerja tersusun, jaringan yang cukup luas, dan kekuatan jiwa yang kental untuk teruskan kerja-kerja mereka, walau apa badai jua yang mendatang.
Mudah-mudahan kita terus tetap dan teguh mengangkat panji perjuangan ini, tanpa tersilau dengan sebarang ‘pertempuran tepian’ yang hanya memecahbelahkan ummah daripada kesatuan membebaskan bumi P yang mulia.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Setiausaha Agung
Muafakat Ilmuwan Islam -
Multaqa Asatizah MUIS Zon Sabah
Rabu, 8 Oktober 2025 – Malam tadi telah berlangsung program Multaqa Asatizah MUIS di sebuah dewan serbaguna di Kota Kinabalu. Program ini dijalankan khusus bagi peringkat zon Sabah yang telah menghimpunkan sekitar 10 orang asatizah daripada negeri Sabah, dan sebahagian lagi mengikuti secara atas talian. Sesi kali ini disampaikan khas daripada Dato Haji Zamri Bin Hashim, Yang Di Pertua Muafakat Ilmuwan Islam (MUIS)
Pertemuan ringkas dan padat selama dua jam ini diadakan bagi membincangkan mengenai kerangka kefahaman Islam Wasatiy buat para asatizah yang diyakini banyak menyumbang ke dalam masyarakat samada melalui medan-medan kuliah awam, universiti, sektor-sektor swasta dan sebagainya.
Pihak MUIS mengucapkan terima kasih kepada para hadirin bagi menjayakan majlis tersebut.
-
Hidangan arak tidak sepatutnya berlaku dalam majlis rasmi kerajaan
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan hidangan arak dalam sebuah majlis makan malam besar anjuran agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Majlis sebegini amat bertentangan dengan hukum syarak, norma masyarakat tanah air, hatta etika rasmi dalam kerajaan hari ini.
HIDANGAN ARAK DALAM SESUATU MAJLIS.
1. Dalam Islam, hukum berkaitan arak adalah sangat jelas dan tunta , tidak hanya meliputi perbuatan meminumnya, tetapi juga melibatkan segala aktiviti yang berkaitan dengan arak, termasuk menghidangnya.
2. Secara tegas, hukum menghidang arak bagi seorang Muslim adalah haram.
Dalil Al-Quran
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ} Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Ma’idah: 90)
Dalil Hadis
Rasulullah SAW secara khusus melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak. Golongan-golongan ini termasuklah yang menghidang arak. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:
{لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشْرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَاةُ لَهُ.}
“Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini sepuluh golongan: Pembuatnya (pemerah), orang yang meminta diperahkan untuknya, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkannya (penghidang/saqi), penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat Al-Tirmizi)
”Saqi” bermaksud – Orang yang Menuang/Menghidang arak.
Dalam hadis di atas adalah golongan yang keenam yang dilaknat ialah “saqiha” (سَاقِيهَا), iaitu orang yang menuangkan arak atau menghidangkan arak kepada peminum. Ini menunjukkan bahawa perbuatan menghidang arak kepada orang lain, walaupun orang yang menghidang itu tidak meminumnya, adalah perbuatan maksiat dan dilarang keras oleh Islam.
HUKUM DUDUK DALAM MAJLIS ATAU JAMUAN YANG ADA HIDANGAN ARAK.
Hukumnya haram walaupun tidak meminumnya.
1. Dalil umum Al-Quran .
Bersandarkan kepada prinsip umum dalam Islam, iaitu menjauhi majlis-majlis maksiat dan larangan bersama orang zalim.
{وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ}
“Dan apabila engkau melihat orang-orang memperkatakan (dan mengejek-ejek) ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan perkara yang lain. Dan jika syaitan menyebabkan engkau lupa (akan larangan itu), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu sesudah engkau teringat.” (Surah Al-An’am: 68)
Ulama menafsirkan ayat ini merangkumi perbuatan duduk bersama orang yang melakukan kemungkaran secara terang-terangan, seperti meminum arak, kerana ia dikira bersetuju atau meredhai maksiat tersebut.
2. Dalil dari Sunnah
Larangan Duduk di Hidangan Arak.
Diriwayatkan dari Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
{مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ}
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.” (Riwayat At-Tirmizi dan Ahmad, dinilai hasan oleh sebahagian ulama)
Kehadiran seorang Muslim dalam majlis arak, walaupun tidak minum, boleh ditafsirkan sebagai meredhai (persetujuan secara diam) terhadap perbuatan maksiat yang berlaku. Redha (persetujuan) kepada kemaksiatan adalah haram.
TINJAUAN UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN NEGARA
1. Berdasarkan kepada undang-undang dan pekeliling sedia ada di Malaysia, khususnya yang berkaitan dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah tidak dibenarkan dan dianggap melanggar peraturan serta sensitiviti.
1.1 Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.
Peraturan paling jelas berhubung mengawal perbelanjaan dan etika keraian rasmi kerajaan ialah Pekeliling Perbendaharaan (sebelum ini dikenali sebagai Peraturan Mengenai Keraian Rasmi).
1.1.1 WP 5.1 Peraturan Mengenai Keraian Rasmi (Perbelanjaan Bagi Keraian Rasmi)
Pekeliling ini lazimnya menggariskan peruntukan kewangan dan tatacara penganjuran majlis rasmi. Salah satu peruntukan penting dalam pekeliling tersebut menyatakan dengan jelas bahawa hidangan minuman keras adalah tidak dibenarkan dalam majlis keraian rasmi Kerajaan Persekutuan.
Tujuan larangan ini adalah untuk memastikan majlis rasmi kerajaan mematuhi etika dan norma yang sesuai, seiring dengan status Islam sebagai agama Persekutuan dan demi menghormati sensitiviti majoriti Muslim di negara ini.
2. Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun tiada akta persekutuan yang secara mutlak melarang hidangan arak dalam semua majlis kerajaan, dasar ini disokong oleh kerangka undang-undang tertinggi negara.
2.1 Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan:
Perkara ini menetapkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan.” Ini membawa implikasi bahawa dasar dan pelaksanaan yang melibatkan agensi kerajaan Persekutuan mestilah menghormati prinsip dan nilai Islam sebagai agama rasmi negara.
2.2 Menghidangkan arak dalam acara rasmi dianggap bercanggah dengan roh peruntukan ini.
PROTOKOL DAN ETIKA RASMI NEGARA.
Tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan juga dilihat sebagai melanggar Protokol dan Istiadat Negara kerana ia tidak menghormati Perlembagaan dan sensitiviti umat Islam. Majlis rasmi kerajaan sepatutnya mematuhi standard moral dan etika yang tinggi yang selaras dengan nilai-nilai masyarakat Malaysia.
SIKAP MUSLIM DAN WARGA NEGARA
1. Bagi seorang Muslim sepatutnya berpendirian jelas apabila ada dalil yang jelas dari Al-Quran mahupun hadis-hadis sahih , disokong pula dengan semangat perlembagaan Negara dan peraturan sedia ada sepatutnya bersatu padu menolak perbuatan ini, melangkaui sempadan blok politik, NGO mahupun kumpulan. Wajib membentuk satu pendirian sebagai satu ummah iaitu ummah fadhilah.
2. Bagi warga negara yang bukan Islam, isu menghidang arak adalah melibatkan undang- undang, peraturan dan identiti negara.
Semoga Allah kurniakan kita negara aman damai dan diredhai Allau jua.
SS Dato Haji Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
YDP Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) -
Istilah Maqasid Syariah SepatutnyaDigunakan Dengan Lebih Berhati-hati

Istilah maqasid syariah sepatutnya digunakan dengan lebih berhati-hati, bukan sekadar membenarkan keputusan politik
Mana-mana pemimpin yang mengkhianati umatnya samada dengan persekongkolan dengan pihak luar atau seumpamanya, hakikatnya telah hilang keabsahannya (mandat dan syar’iyyah) sebagai pemimpin.
Oleh itu mana-mana keputusan yang dibuatnya ketika ini tidak akan benar-benar berdiri atas syariah, apatah lagi mendakwa ia menepati maqasid syariah.
Keputusan yang paling menepati maqasid syariah hari ini adalah yang membawa umat kepada mendokong perjuangan umat mempertahankan jatidiri dan tanah suci mereka, tidak berkompromi dalam apa jua tawaran pihak musuh yang hanya merugikan pihak pembebasan.
Saya sendiri berpandangan bahawa :
“Apabila berlakunya perselisihan pandangan, maka rujuklah ahli tsughur (para mujahidin), kerana pandangan mereka lebih mendapat hidayah.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) -
Lembutkan Hati Dengan Al-Quran

Sayyid Qutb dalam karyanya menukilkan kisah bagaimana al-Walid ibn Mughirah, seorang pembesar Qurasyh yang tersohor memberikan reaksinya mengenai al-Quran. Beliau pada suatu hari diminta oleh Abu Jahal untuk memberikan pandangan tentang al-Quran. Setelah mendengar al-Quran, al-Walid berkata:
صبأ والله الوليد، ولتصبون قريش كلها
Maksudnya: Sesungguhnya (aku) al-Walid telah terpukau (mendengar al-Quran ini), dan pasti Quraysh akan terpukau mendengarnya.
Reaksi al-Walid ini membuatkan Abu Jahal kecewa. Al-Walid adalah tokoh Quraysh yang hebat. Bukan sahaja beliau hebat, anak beliau Khalid al-Walid juga adalah tokoh Islam yang terkemuka. Namun, apabila mendengar bacaan al-Quran ini, al-Walid menjadi tersentuh dengan keindahan al-Quran.
Ibn Hisham pula meriwayatkan kisah bagaimana ‘Utbah ibn Rabiah, seorang pembesar Qurasyh yang datang menawarkan kepada Rasulullah ﷺ harta serta pangkat dengan harapan supaya Rasulullah ﷺ berhenti daripada berdakwah.
Setelah selesai dari segala tawaran tersebut, Rasulullah ﷺ membacakan kepada beliau potongan ayat dari surah Fussilat. Sehinggalah apabila Rasulullah ﷺ membaca ayat sujud (sujud sajdah), Utbah turut sujud bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ. Lihatlah bagaimana Utbah yang pada awalnya datang untuk menghentikan dakwah Rasulullah ﷺ, akhirnya sujud bersama Rasulullah ﷺ setelah mendengar al-Quran.
Al-Bukhari pula meriwayatkan kisah bagaimana Rasulullah ﷺ surah al-Najm di hadapan khalayak ramai. Abdulullah ibn Mas’ud yang menyaksikan peristiwa ini berkata:
أن النبي صلى الله عليه وسلم قرأ بالنجم فسجد، فلم يبق أحد إلا سجد
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ membaca surah al-Najm, lalu Baginda sujud dan tidak ada seorang Quraysh yang mendengar surah tersebut melainkan sujud bersama Baginda.”
Begitu juga kisah Saidina Umar yang popular yang mendengar Surah Taha sehingga menjadi punca kepada keislaman beliau.
Perhatikan insiden-insiden yang direkodkan dalam Sirah Rasul ﷺ ini, bagaimana manusia yang keras hatinya boleh terpukau dan terpesona dengan al-Quran. Hati mereka turut lunak menghayati maksud yang ingin disampaikan.
Ingatlah kata-kata Yahya bin Muaz, seorang tokoh sufi yang terkemuka pada kurun ketiga. Kata beliau:
دواء القلب خمسة أشياء: قراءة القرآن بالتفكر، وخلاء البطن، وقيام الليل، والتضرع عند السحر، ومجالسة الصالحين
“Penawar hati itu ada lima: Membaca al-Quran sambil bertafakkur, mengosongkan perut, qiamullail, berdoa penuh khusyuk di sepertiga malam dan bergaul bersama orang-orang yang soleh.” (al-Azkar, al-Imam al-Nawawi)
Semoga Allah membimbing kita
Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi AzmiTimbalan YDP
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)