Pengkhianatan, Kedaulatan Negara dan Tuntutan Islam: Ibrah dari Isu Perisik Tentera

Isu penahanan beberapa pegawai risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini kerana disyaki membocorkan maklumat strategik kepada pihak luar merupakan suatu kejutan yang sangat mengecewakan. Lebih mendukacitakan apabila mereka yang terlibat adalah golongan yang sepatutnya berdiri sebagai benteng terakhir pertahanan negara, namun akhirnya tergoda dengan kepentingan peribadi dan menukar amanah besar kepada pengkhianatan yang hina.
Dalam konteks negara bangsa, tindakan sebegini tidak hanya meruntuhkan integriti ketenteraan, bahkan turut menggugat kedaulatan dan keselamatan seluruh rakyat. Dalam kaca mata Islam, hal ini bukan sekadar isu undang-undang atau disiplin ketenteraan, tetapi ia menyentuh persoalan amanah, iman, dan tanggungjawab terhadap agama serta tanah air.
Amanah Adalah Intipati Iman
Allah SWT telah mengingatkan kita dalam firman-Nya:

Ayat ini jelas menyatakan bahawa amanah bukanlah perkara kecil, malah ia adalah arahan langsung dari Allah. Tentera yang diamanahkan menjaga rahsia operasi negara hakikatnya sedang memikul amanah yang sangat besar. Tatkala amanah ini dikhianati, ia bukan sahaja mengkhianati manusia dan negara, tetapi juga melanggar perintah Allah.

Hadis ini memberi mesej keras: pengkhianatan terhadap amanah adalah tanda lunturnya iman. Maka, apabila pegawai perisikan memilih untuk menjual maklumat negara, hakikatnya mereka sedang menggadaikan iman mereka sendiri.
Bahaya Pengkhianatan dalam Sirah
Sejarah Islam memperlihatkan bagaimana bahaya pengkhianatan boleh menghancurkan umat. Dalam Perang Uhud, pasukan pemanah yang melanggar arahan Rasulullah SAW lalu meninggalkan posisi mereka demi ghulul (harta rampasan) menjadi punca besar tentera Islam hampir kalah. Walaupun sebahagian mereka tidak berniat jahat, pengabaian disiplin dan ketamakan seketika telah mengorbankan nyawa sahabat-sahabat mulia.
Lebih berat lagi ialah kisah pengkhianatan Bani Qurayzah di Madinah. Mereka yang sebelumnya terikat perjanjian dengan Rasulullah SAW berpaling tadah dan bersekongkol dengan musuh ketika Perang Ahzab. Tindakan mereka membuka ruang bahaya besar kepada umat Islam. Kesannya, mereka dihukum dengan tegas kerana mengkhianati negara Islam pada waktu itu.
Kedua-dua peristiwa ini memberikan pengajaran langsung: pengkhianatan dalaman jauh lebih berbahaya daripada serangan musuh luaran. Negara boleh tewas bukan kerana kekuatan lawan, tetapi kerana rapuhnya kesetiaan orang dalam.
Kedaulatan Negara dalam Perspektif Islam
Dalam tradisi Islam, menjaga kedaulatan negara bukanlah semata-mata isu politik, tetapi ia termasuk dalam bab hifz al-din wa al-watan (penjagaan agama dan tanah air). Ulama seperti al-Mawardi menekankan bahawa antara tujuan utama kepemimpinan (imāmah) ialah ḥirāsah al-dīn wa siyāsah al-dunyā, menjaga agama dan mengatur urusan dunia.
Apabila rahsia ketenteraan dibocorkan, ia tidak hanya membuka ruang kepada ancaman penyeludupan atau jenayah, tetapi boleh mengundang kuasa asing mencampuri urusan negara. Inilah yang membahayakan kedaulatan, sesuatu yang amat dititikberatkan dalam Islam.

Ayat ini mengingatkan bahawa kekuatan dan maruah umat bergantung kepada iman dan keteguhan mereka menjaga maruah negara. Jika kita sendiri yang meruntuhkannya melalui pengkhianatan, maka kita sedang memudahkan musuh menjajah dari dalam.
Langkah Tegas: Tuntutan Syara`
Dalam Islam, pengkhianatan dianggap sebagai dosa besar dan wajar dikenakan hukuman setimpal. Rasulullah SAW bersabda:

Maka, mereka yang berkhianat terhadap negara layak disamakan dengan sifat nifaq. Hukuman undang-undang negara wajar berjalan seiring dengan hukuman sosial iaitu penolakan masyarakat terhadap individu sebegini agar menjadi pengajaran.
Selain itu, institusi ketenteraan perlu memperkukuhkan kawalan integriti dan memperketat sistem pemeriksaan latar belakang pegawai, termasuk pengawasan harta dan gaya hidup mereka. Ini selaras dengan prinsip Islam yang menekankan sadd al-dharā’i’(menutup jalan-jalan kepada kemungkaran).
Pengajaran untuk Generasi Muda
Isu ini harus menjadi cermin buat kita, khususnya golongan muda. Pengkhianatan bukan bermula dengan niat besar menjual rahsia negara. Ia bermula dengan kelalaian kecil: ketamakan terhadap wang ringgit, kecuaian dalam menjaga amanah, atau menganggap tugas hanyalah sekadar kerja tanpa roh jihad.
Sedangkan dalam Islam, mempertahankan tanah air adalah sebahagian daripada jihad fi sabilillah. Rasulullah SAW bersabda:

Jika mempertahankan harta pun diganjari syahid, apatah lagi mempertahankan negara yang menampung agama, keluarga dan maruah kita bersama.
Makanya kesimpulannya di sini, pengkhianatan lima pegawai risikan ATM bukanlah isu kecil yang boleh ditutup dengan alasan “individu nakal”. Ia adalah cermin kepada betapa rapuhnya integriti apabila amanah dipandang remeh. Dalam Islam, pengkhianatan terhadap negara adalah dosa besar kerana ia menggadaikan keamanan, agama, dan nyawa rakyat.
Umat Islam di Malaysia perlu belajar daripada sirah dan mengambil sikap tegas:
* Pengkhianat mesti dihukum tanpa kompromi.
* Institusi negara mesti memperkukuhkan integriti dan sistem kawalan.
* Generasi muda mesti dididik bahawa mempertahankan tanah air adalah sebahagian daripada iman.
Akhirnya, marilah kita berpegang kepada doa Rasulullah SAW ketika menghadapi ancaman musuh:

Semoga Malaysia tetap aman berjasa, tenteram, dan dipelihara Allah daripada musuh luar dan pengkhianat dalam.
Meo Aksara
Penyelidik MUIS
