PERANAN FIQH MUNAKAHAT DALAM MENANGANI KONFLIK SEKSUAL DALAM RUMAH TANGGA

Di dalam perhubungan suami isteri, bukan semata kepuasan fizikal, malah ia berkait rapat dengan kefahaman akidah, ibadah dan tujuan perkahwinan. Fitrah ini perlu diurus sebaiknya. Fiqh munakahat merangkumi hukum-hakam perkahwinan, adab-adab dalam hubungan suami isteri, serta peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak berdasarkan panduan syarak. Manakala pendidikan seksualiti pula membentuk kefahaman dengan adab dan tanggungjawab tentang fitrah hubungan antara lelaki dan wanita, berpandukan maqasid syariah.
Bahkan, hubungan intim dalam perkahwinan dianggap sebagai pahala jika diniatkan sebagai ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak. Nabi S.A.W ada menyebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zarr al-Ghifari R.A:
وَبُضْعُ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، قِيلَ: فِي شَهْوَتِهِ صَدَقَةٌ؟ قَالَ: لَوْ وُضِعَ فِي الْحَرَامِ، أَلَيْسَ كَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ ذَلِكَ إِنْ وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ
Maksudnya: Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah ? Baginda menjawab: Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa ? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri) maka dia mendapat pahala.
Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (227)
Firman Allah SWT:
“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik.” (Surah al-Nisa’: 19)
Ini menunjukkan bahawa hubungan dalam perkahwinan mestilah mengikut adab dan syariat, bukan semata-mata hawa nafsu. Pengabaian akhlak dan tanggungjawab dalam perhubungan boleh mengakibatkan penderaan emosi dan seksual dalam sesebuah rumah tangga itu.
Pendidikan seksualiti dalam Islam bukan satu bentuk eksploitasi syahwat, sebaliknya suatu pendidikan yang bertujuan memelihara maruah dan kesucian diri. Ia dapat memelihara keturunan dan akal. Islam adalah agama menyeluruh merangkumi aspek bersuci, haid, nifas, dan larangan hubungan ketika tidak suci, dan hak-hak suami isteri.
Penyelesaian terhadap isu hubungan suami isteri boleh bermula dari akar iaitu pembinaan suasana Islami dalam keluarga seperti amalan ibadah bersama, komunikasi yang jujur dan penuh adab, ibadah Pendidikan berterusan tentang hak dan tanggungjawab, berkonsultasi mengenai masaalah rumah tangga dengan pihak yang berautoriti.
Pendidikan seksualiti Islam seperti membimbing anak-anak mengenali batas aurat, adab pergaulan, sentuhan selamat, serta tanggungjawab hamba Allah untuk menjauhi dosa besar seperti zina dan sumbang mahram adalah wajar di dalam membendung isu ini.
Adapun trend moden seperti “healing” tanpa bimbingan syarak perlulah diwaspadai kerana dikhuatiri akan membuka ruang perangkap liberal dan kebebasan tanpa batas. Keseimbangan rumah tangga tidak hanya bergantung kepada emosi atau motivasi semata. Ia perlu dibina atas ilmu dan bimbingan syariah. Hidup dalam bersyariat akan membawa ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah). Dan rahmat sesama ahli keluarga (rahmah).
Panduan dari Islam ini bukan untuk mengongkong fitrah manusia, tetapi untuk membimbing manusia.
Ustazah Dr. Nasyitah Farhanah
Penyelidik MUIS
Be the first to comment.
