Baitul MaqdisDunia IslamIlmiahKolumnisUmumUtama

Apakah Permintaan Roh Para Syuhada’ Kepada Allah SWT?

Nasib Umat Islam Sepanjang Zaman

Takdir telah menentukan bahawa kita sedang hidup di akhir zaman. Maka hari ini, kita telah menyaksikan bahawa ramai orang Islam yang telah terkorban sejak zaman berzaman. Pada tanggal 29 Januari 1258M, empayar Abbasiah telah jatuh hampir sepenuhnya. Tentera Mongol telah meranapkan kota Baghdad dalam sekelip mata, sehingga tragedi ini dicatatkan oleh Ibnu Battuta di dalam Ar-Rihlah, “seramai 24 000 orang ulama syahid dibunuh”. Ketika di puncak kejatuhan, Khalifah al-Mustahim Billah telah keluar daripada istana dan menyerahkan dirinya kepada Hulagu Khan setelah 10 000 orang lelaki yang mempertahankannya dibunuh dan 7000 orang ulama’ dipenggal hidup-hidup”.

Dan hari ini, kita menyaksikan perkara yang sama, iaitu pengumuman jumlah angka kematian umat Islam di Syiria dan Palestin. Pengarah Pertahanan Awam Syria, Syeikh Raed al-Saleh telah menyatakan, “50 tahanan telah dijatuhi hukuman mati setiap hari di Penjara Sednaya”. Ini menandakan kira-kira 250,000 tahanan telah dihukum mati oleh rejim sejak bermulanya revolusi Syria.

Mengapa Orang Islam Dibunuh?

Allah SWT berfirman:

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

“Dan mereka menyiksa orang-orang mukmin itu hanya karena (orang-orang mukmin itu) beriman kepada Allah yang Maha Perkasa, Maha Terpuji” (Surah Al-Buruj, ayat 8)

Orang-orang mukmin itu yang diceritakan di dalam surah tersebut disiksa dan dihukum bakar bukan karena melakukan perkara keburukan-keburukan yang membuat raja tersebut murka sehingga menghukumnya. Namun tidak ada sebab lain melainkan karena mereka beriman kepada Allah.

Demikianlah sunnatullah yang akan terus terjadi di alam semesta ini, bahwasanya orang-orang yang berbuat kebaikan akan dimusuhi. Mereka akan dimusuhi oleh orang-orang buruk, yang berlawanan dengan kebaikan tersebut.

Oleh kerana itu, agama ini juga dijaga dengan Syi’ar Jihad agar umat Islam teguh dan melawan musuh serta mempertahankan tanah air. Namun, apa yang berlaku sekarang, adalah perpecahan di antara negara-negara arab Islam yang hanya merugikan nasib umat Islam yang sedang ditindas. Hal ini digambarkan, bahawa seakan-akan para pemimpin arab berkata,

قادة العرب يقولون, “اتفقنا على ألا نتفق”

Yang bermaksud, “ para pemimpin arab berkata, sesungguhnya kami telah bersepakat untuk tidak bersepakat”.

Justeru, yang terjadi adalah jumlah peningkatan angka umat Islam yang terkorban terus meningkat saban hari.

Apakah Permintaan Para Syuhada’ Kepada Allah SWT?

Namun, Allah SWT tidak akan sesekali menyia-nyiakan nyawa hamba-hambanya yang terkorban. Sebaliknya Allah SWT memberikan ganjaran dan kelebihan yang tidak ada tolok bandingnya kepada para Syuhada’ sehingga mengatasi kedudukan orang yang mati selain dalam keadaan Syahid. Di dalam Sahih Muslim, dinyatakan sebuah hadith iaitu,

قَالَ: سَأَلْنَا عَبْدَ اللهِ عَنْ هَذِهِ الْآيَةِ: {وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ} [آل عمران: 169] قَالَ: أَمَا إِنَّا قَدْ سَأَلْنَا عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ، لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ، تَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمُ اطِّلَاعَةً، فَقَالَ: هَلْ تَشْتَهُونَ شَيْئًا؟ قَالُوا: أَيَّ شَيْءٍ نَشْتَهِي وَنَحْنُ نَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْنَا، فَفَعَلَ ذَلِكَ بِهِمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَلَمَّا رَأَوْا أَنَّهُمْ لَنْ يُتْرَكُوا مِنْ أَنْ يُسْأَلُوا، قَالُوا: يَا رَبِّ، نُرِيدُ أَنْ تَرُدَّ أَرْوَاحَنَا فِي أَجْسَادِنَا حَتَّى نُقْتَلَ فِي سَبِيلِكَ مَرَّةً أُخْرَى، فَلَمَّا رَأَى أَنْ لَيْسَ لَهُمْ حَاجَةٌ تُرِكُوا.

Maksudnya: “Kami bertanya kepada Abdullah tentang ayat ini:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. [Ali Imran:169]

Dia (Abdullah) menjawab: Adapun kami telah bertanya tentang hal ini (kepada Nabi SAW), lalu Baginda SAW menjawab:

“Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arash. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh oranng yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu.

 Kemudian Allah SWT melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: “Apakah kalian inginkan sesuatu?”. Mereka menjawab: “Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?”. Allah SWT mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali.

 Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak lagi ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata, “Wahai Rabb kami! kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan”.[Riwayat Muslim (1887)]

Para syuhada’ meminta permohonan kepada Allah SWT agar diberikan peluang untuk hidup sekali lagi, untuk merasai semula bagaimana nikmatnya kesakitan ketika dibunuh oleh musuh lalu syahid. Ini menandakan bahawa kematian mereka sangat adalah sangat istimewa, dan kesakitan yang dialami hanyalah sementara, kerana nikmat syurga yang kekal abadi menanti mereka.

Keadaan Roh Orang Yang Mati Syahid

Persoalan berkaitan tempat roh orang mukmin berada telah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama’. Syeikh Badr al-Din al-‘Aini [Lihat: Umdah al-Qari, 112/14]. mengatakan bahawa ulama’ telah berselisih pendapat pada hal roh orang yang syahid. Telah berkata Ibn Batthal bahawa roh orang yang syahid ini diberi rezeki oleh Allah SWT berdasarkan beberapa hadith, antaranya:

Daripada Ka’ab bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang mukmin berterbangan di pohon Syurga sehingga Allah membangkitkannya ke dalam jasadnya pada hari Kiamat”. [Riwayat al-Nasa’ie (2073)]

Di dalam Riwayat Ahmad pula dan di dalam hadith ini terdapat tiga imam besar mazhab iaitu Imam Ahmad mendengar hadith ini daripada Imam al-Syafie dan Imam al-Syafie mendengar hadith ini daripada Imam Malik.

Daripada Ka’ab bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ يَعْلُقُ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يُرْجِعَهُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ يَبْعَثُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang mukmin tergantung di pohon Syurga sehingga Allah kembalikannya ke jasadnya pada hari ia dibangkitkan”. [Riwayat Ahmad (15778)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanadnya sahih dan perawi selepas daripada Imam al-Syafie menepati syarat Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim)]

Penutup

Di sebalik semua tragedi yang berlaku ini, terdapat hikmah yang dapat kita renungi bersama. Kematian mereka, menuntut kita untuk bersama-sama terus memberikan sokongan samada dalam bentuk wang mahupun tenaga. Ini adalah sebuah “tiupan wisel” kepada kita agar tidak lalai dengan kehidupan dunia, sehingga menyebabkan kita terjerumus ke dalam neraka sedangkan para syuhada’ meluru masuk ke dalam syurga.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar Allah SWT memberikan kemenangan kepada umat Islam, dan merahmati roh para syuhada’ yang terkorban.

اللْهُمَّ أّعِزَّ الإِسْلَامَ وَالـمُسْلِمِيْنَ وَأَذِلَّ الشِرْكَ وَالمشركين ,

وَدَمِّرْ أَعْدَاءَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ

اللْهُمَّ عَلَيْكَ بِهِمْ اللْهُمَّ أَرِنَا بِهِمْ عَجَاِئبَ قُدْرَتِكَ

اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحَورِهِمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ ،

Ya Allah ! Muliakan Islam dan kaum muslimin

Hinakan syirik dan kaum musyrikin

Hancurkanlah musuhmu dan musuh agama

Ya Allah! Engkau sahajalah yang mengalahkan mereka, tunjukkanlah kepada kami keajaiban kuasa Mu

Ya Allah! Kami jadikanMu di tengkok-tengkok mereka.

Kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka

Ustaz Fitri Adnan
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *