PENZINAAN SEMAKIN BERLELUASA, ISLAM BUKAN SOLUSI KEDUA
Realiti Berleluasanya Zina Sejak Zaman Dahulu Hingga Kini
Zina, sebuah kalimat yang menggerunkan bagi orang Islam kerana peri buruk perbuatan tersebut, namun ia adalah antara dosa yang paling banyak dilakukan oleh manusia. Bagaimana tidak, apabila dunia hari ini tidak sama dengan dunia dahulu. Dunia kini adalah dunia tanpa sempadan. Bermacam-macam perkara diperlihatkan tanpa sempadan. Bahkan munusia boleh bertemu sesama mereka tanpa batas dan pada bila-bila masa.
Melihat hal ini, tidak dapat disembunyikan lagi bahawa dosa zina hari ini turut disokong oleh perkembangan teknologi. Manusia asalnya umpama kain putih, namun apabila mereka dicemari oleh kekotoran dosa-dosa yang pelbagai, maka mereka pun melakukan kesalahan. Mereka menyalahgunakan teknologi untuk memenuhi keinginan nafsu dan syahawat.
Dosa zina semakin berleluasa dan kadar kelahiran anak luar nikah semakin meningkat. Malah tidak cukup dengan itu, pada zaman ini manusia kembali melakukan dosa yang diluar tabi’e sepertimana yang telah dilakukan oleh kaum Nabi Luth AS. Tidak berpeluk tubuh, sebaliknya baginda AS telah bekerja keras menyelamatkan kaumnya, tetapi baginda tidak dihiraukan, sehinggalah Allah SWT membinasakan kaum Nabi Luth AS dengan azab dan hukuman yang dahsyat.
Dalam konteks Malaysia, pada era dahulu sebelum berkembangnya teknologi digital, isu kelahiran anak luar nikah sudah pun ada. Namun ia tidak seteruk zaman kini yang kita sedang lihat. Budaya Melayu dahulu yang sangat menitik beratkan penjagaan adat serta adab di antara pergaulan lelaki dan perempuan, menjadikan anak bangsa melayu terdahulu terselamat daripada terjatuh ke dalam lembah penzinaan yang jijik.
Kesan Zina Pada Peringkat Individu Hingga Masyarakat
Kita dapat melihat dengan jelas kesan keburukan bagi sesuatu masalah, apabila ia sudah berakar bermula peringkat individu hinggalah kepada masyarakat sejagat.
Apabila jumlah individu yang terlibat dengan gejala Zina meningkat, ia akan membentuk suatu masalah besar yang bersifat kolektif. Masyarakat yang terdiri daripada individu-individu yang buruk akhlak, akan menjadi seteru kepada masyarakat yang harmoni. Tidak cukup dengan itu, ia akan melahirkan generasi yang tidak stabil, bahkan mewarisi sifat negatif yang dilakukan oleh mereka. Contoh bagaimana bermulanya korupsi individu mampu mengakibatkan korupsi dalam skop yang lebih besar.
1. Individu Muslim
Seseorang yang pada asalnya sekadar ingin mencuba dosa, akhirnya terperangkap di dalam relung permasalahan yang tidak berkesudahan. Dosa zina menghalang pelakunya berjaya keluar daripada perbuatan keji tersebut. Kerana itu, dikatakan bahawa mereka yang melakukan hubungan sulit dengan satu pasangan, akan mula bertukar-tukar pasangan yang lain. Di sinilah bermulanya jangkitan HIV, AID dan seumpamanya.
2. Keluarga Muslim
Implikasi buruk daripada penzinaan adalah kelahiran anak luar nikah. Bayangkan apabila beribu-ribu orang terlibat dengan zina, maka semakin mustahil kadar peningkatan kelahiran anak luar nikah dapat dibendung. Bayangkan bagaimanakah porak perandanya institusi keluarga pada hari ini, jika bayi yang lahir hari demi hari adalah berada pada status yang tidak sah taraf. Kerana itulah, agama Islam sangat mementingkan kemuliaan maruah (hifzul ‘Irdh) dan menjaga keturunan (hifzul nasal).
3. Masyarakat Muslim
Pada peringkat inilah, kemuncak kepada implikasi negatif daripada penzinaan. Mengapa? Syed Qutb Rahimahullah berkata, “
“Perlakuan zina mengandungi aspek pembunuhan dari pelbagai sudut. Zina merupakan perbuatan membunuh sejak dari awal lagi kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukan tempatnya yang sebenar. Ia kemudian diikuti pula oleh keinginan mahu menghindarkan diri daripada kesan-kesannya dengan membunuh janin sama ada sebelum atau selepas ia membentuk rupa dan sama ada sebelum ia dilahirkan atau selepas. Andai kata janin itu dibiarkan hidup sekalipun, ia biasanya akan dibiarkan hidup dalam satu kehidupan yang gelap atau kehidupan yang hina.
Dari sudut yang lain, zina merupakan satu pembunuhan kepada masyarakat kerana kemudahan memuaskan nafsu syahwat melalui zina menjadikan kehidupan secara suami isteri merupakan perkara sekunder, bukannya perkara yang perlu. Ia juga menjadikan keluarga sebagai suatu tanggungjawab yang tidak mustahak, sedangkan keluarga merupakan tapak semaian yang baik bagi anak-anak yang kecil, di mana fitrah dan didikan mereka tidak akan sihat dan betul melainkan apabila mereka dibelakan di sana. Tiada satu umat pun yang mana kejahatan zina dalam kalangan mereka tersebar luas melainkan umat itu tetap akan menuju ke arah keruntuhan dan kehancuran. Inilah yang berlaku sejak zaman purbakala hingga ke zaman moden.”
Lihat Fi Zilal al-Quran( 10/189)
Solusi Masalah Yang Berpandukan Nas Wahyu dan Aturan Syarak
1. Memberi perhatian terhadap pendidikan Seksual Islami
Islam menitikberatkan pendidikan seks pada peringkat awal usia kanak-kanak, berdasarkan nas wahyu dan panduan Syarak. Dr. Nasih Ulwan mengatakan bahawa topik pendidikan seksualiti perlu diambil berat oleh ibu bapa dan pendidik. Secara ringkasnya anak-anak ini mempunyai lima peringat umur yang perlu diambil tahu iaitu,
Peringkat pertama: usia 2-4 tahun
Peringkat kedua: umur antara 7-10 tahun usia Tamyiz
Peringkat ketiga: umur antara 10-14 tahun usia remaja
Peringkat keempat: 14-16 tahun usia baligh
Peringkat kelima: selepas peringkat baligh dan dewasa
Untuk huraian ini, in sha Allah kami akan kongsikan pada artikel akan datang. Cuma yang ingin diketengahkan di sini adalah, sebuah kesedaran buat kita bahawa usaha membendung generasi dan zuriat kita daripada terjebak ke dalam kancah penzinaan perlulah dilakukan dengan sangat teliti, bermula sejak peringkat awal lagi. Ia bermula dengan pendidikan Islam sejak seawal usia sekolah rendah, kemudian disulami dengan ilmu agama yang cukup, ditambah pula dengan kesedaran tentang bahaya zina dan budaya ‘couple’ serta menjaga menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan pada peringkat baligh. Usaha ini juga termasuk di dalam saranan agar menjauhi zina. Sepertimana firman Allah SWT,
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
Surah al-Isra’, 17:32
Berkata Ibn Kathir dalam Tafsir-nya bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Rujuk Tafsir al-Azim (5/72).
2. Memperkasakan institusi keluarga mengikut model keluarga Islam.
Konsep Baitul Muslim atau keluarga Muslim merupakan salah satu daripada keindahan Islam (Mahasinul Islam) yang sebenar. Sebuah institusi keluarga Muslim menjadi sebuah model keluarga yang ideal dan berkualiti untuk dicontohi oleh semua masyarakat. Kami percaya bahawa kejahilan adalah racun yang merosakkan, manakala ilmu agama adalah penawar bagi penyakit yang sedang berleluasa ini.
Oleh itu, langkah awal kepada pembentukan model keluarga Muslim yang berkualiti adalah dengan menghiasi pasangan suami isteri dengan majlis ilmu agama secara istiqomah. Di dalam majlis ilmu, pasangan suami isteri akan mempelajari bagaimanakah cara menjadi Muslim yang baik, seterusnya menjadi ibu bapa yang mampu melahirkan keturunan yang selamat daripada fitnah akhir zaman. Betapa pentingnya menjadi ibu bapa yang soleh dan solehah, kerana ia memberi kesan kepada pembentukkan akhlak dan akidah anak-anak. Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.“
(Riwayat al-Bukhari)
3. Membangkitkan semula kepentingan Amar Makruf dan Nahi Mungkar
Islam datang bukan untuk menghukum, tetapi menyelamatkan umatnya daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan. Kerana itu, sangat ditekankan untuk menyeru manusia dengan kasih dan sayang kepada yang dinasihati, baik dan ramah mesra dan jangan menggunakan kekerasan kerana Allah SWT telah befirman:
وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنْ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ
Maksudnya: Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. (Surah Luqman: 17)
Firman Allah taala lagi,
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).”
(Surah al-Imran: 104)
Adapun sebarang tindakan yang berbentuk hukuman, perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Mahkamah Syariah dan sebagainya. Dengan tertegaknya Amar Makruf dan Nahi Mungkar, manusia akan takut untuk berbuat kemaksiatan. Di samping melarang atau mencegah kemaksiatan, maka ia juga perlu diiringi menyuruhkan kepada Makruf seperti menyuburkan majlis-majlis ilmu agama, dan memudahkan proses khidmat nasihat atau kaunseling kepada mereka yang terlibat dengan gejala seks luar nikah.
Kesimpulan
Setelah kita menyedari betapa sukarnya untuk menghadapi fitnah akhir zaman ini, maka yang perlu dilakukan pada waktu sekarang adalah beramal. Ini adalah zaman untuk kita beramal dan proaktif, bukan lagi sekadar berteori dan berprasangka. Dalam konteks perbincangan yang panjang lebar tadi, yang dimaksudkan di sini adalah dengan mengerahkan semua kemampuan yang kita ada, bermula daripada diri dan keluarga kita sendiri, untuk menyelamatkan keturunan kita daripada kerosakan zina.
Ini adalah waktu beramal, bukannya lagi waktu sibuk mengkaji adakah umat ini benar-benar tenat. Hal ini kerana di sana terdapat suara yang membawa salah faham yang serius tentang tanggapan bahawa budaya seks luar nikah adalah normal. Jika normalisasi ini benar-benar berlaku, maka jelaslah bahawa racun pemikiran daripada budaya barat telah pun meresapkan ke dalam pemikiran bangsa kita khususnya.
Ingatlah pesanan Saidina Umar bin al-Khattab R.anhu yang mengatakan:
الرُّجُوعُ إِلَى الحَقِّ خَيرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي البَاطِلِ
Maksudnya: Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berterusan berada di dalam kebathilan.
Marilah kita sama-sama kembali kepada Islam yang sebenar melalui kefahaman yang sahih tanpa sebarang keraguan tetapi ia benar dari Tuhan Rabb al-‘Aalamin. Semoga Allah tautkan hati-hati kita untuk bersatu dalam membela agama Islam dengan penuh hikmah dan disulami dengan tatasusila yang tinggi serta akhlak yang terpuji.
Ustaz Fitri Adnan
Penyelidik MUIS