Munasabat Islam

PECUTAN TERAKHIR RAMADAN BERSAMA AL-QURAN

Hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, Ramadan akan meninggalkan kita. Adakah Ramadan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya? Jika belum cukup lagi, manfaatkanlah baki-baki Ramadan bersama dengan Al-Quran.

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan warna-warni ketaatan. Para salafussoleh sangat menitikberatkan masa yang terluang untuk dipenuhi dengan bacaan dan penghayatan ayat-ayat suci Al-Quran. Amalan memperbanyakkan bacaan dan mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadan juga merupakan adat kebiasaan para sahabat, tabi’in dan ulama salaf terdahulu.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ، كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فِيهِ فَرِيضَةً، كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ

“Sesiapa yang melakukan amalan sunat daripada perkara kebaikan di dalamnya (bulan Ramadan), sama seperti pahalanya melakukan amalan fardu di bulan-bulan lain. Sesiapa yang melakukan amalan fardu (di bulan Ramadan), sama seperti pahalanya menunaikan 70 amalan fardu di bulan-bulan yang lain” (Sahih Ibn Khuzaimah)

Antara ibadah yang digalakkan untuk diperbanyakkan di bulan Ramadan adalah membaca al-Quran. Ini kerana Rasulullah SAW juga bertadarus bersama Jibril di malam hari bulan Ramadan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa beliau berkata:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

“Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin” (Riwayat al-Bukhari)

Namun, tidak dinafikan di fasa akhir Ramadan timbul pelbagai cabaran kerana pada waktu inilah kita sibuk untuk melakukan persiapan hari raya dan sebagainya. Akan tetapi, segala aktiviti ini boleh disusun dengan baik kerana sudah tentu kita mahu menyantuni tetamu Ramadan sebaik mungkin pada tahun ini sekaligus memperolehi ganjaran istimewa di bulan yang mulia ini.

Oleh itu, kita perlu sentiasa bersemangat dan kuat di fasa akhir ini kerana berapa ramai yang bersungguh-sungguh di awal Ramadan sahaja, namun kecundang di fasa akhir. Selagi kita belum sampai ke garisan penamat jangan pernah berhenti untuk menyerah kalah. Semoga setiap amalan kebaikan yang kita lakukan di fasa akhir ini menjadikan kita istiqamah selepas ini khususnya bersama Al-Quran.

Ustazah Nabilah bt Mohd Zulkefli
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *