Mohon jaga sensitiviti orang Islam pada bulan Ramadan
1. Dalam bab menjaga hubungan sesama Muslim dan non Muslim, Sheikh al-Qardawi menegaskan bahawa golongan non Muslim dilarang untuk makan secara terbuka di dalam bulan Ramadan. Ini adalah bagi menjaga sensitiviti umat Islam. Kata beliau:
وعليهم ألا يظهروا الأكل والشرب في نهار رمضان ٬مراعاة لعواطف المسلمين
“Dan hendaklah (non Muslim) itu tidak menzahirkan makan dan minum pada siang bulan Ramadan bagi menjaga perasaan orang Islam.” (al-Qardawi, Ghayr Muslimin fi Mujtamak al-Islami)
2. Konsep ini pernah dibincangkan oleh al-Imam al-Ramli, tokoh ilmuan dalam Mazhab Syafi’i yang menegaskan bahawa tidak boleh bagi seorang Muslim menjual makanan kepada kafir zimmi dalam bulan Ramadan. Ini bagi mengelakkan pintu kerosakan lain dari terbuka. Kata beliau:
يَحْرُمُ عَلَى الْمُسْلِمِ أَنْ يَسْقِيَ الذِّمِّيَّ فِي رَمَضَانَ بِعِوَضٍ أَوْ غَيْرِهِ لِأَنَّ فِي ذَلِكَ إعَانَةً عَلَى مَعْصِيَةٍ
“Oleh yang demikian adalah haram bagi seorang Muslim untuk memberi minum kepada kafir zimmi pada bulan Ramadan kerana dengan demikian akan membantu kepada perkara maksiat yang lain.” (Futuhat al-Wahhab)
3. Pandangan ini melihat kepada golongan non Muslim itu juga terdedah kepada perkara-perkara furuk dalam perihal syarak. Namun kita tidak menghalang mereka dari makan di siang Ramadan. Kata al-Imam al-Ramli:
وَيُؤَيِّدُ ذَلِكَ مَا صَرَّحُوا بِهِ مِنْ حُرْمَةِ بَيْعِ الطَّعَامِ لِلْكَافِرِ فِي نَهَارِ رَمَضَانَ مَعَ أَنَّا لَا نَتَعَرَّضُ لَهُ إذَا وَجَدْنَاهُ يَأْكُلُ أَوْ يَشْرَبُ
“Dan perihal itu disokong dengan apa yang telah mereka suarakan mengenai keharaman menjual makanan kepada orang kafir pada siang hari Ramadan dalam keadaan kita tidak menentang mereka sekiranya didapati mereka makan dan minum.” (Nihayah al-Muhtaj)
4. Begitulah yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi bahawa seorang non Muslim terikat juga dengan perkara furuk dalam bab syarak. Kata beliau:
والمذهب الصحيح الذي عليه المحققون والأكثرون : أن الكفار مخاطبون بفروع الشرع
“Dan dalam mazhab yang sahih yang dipegang oleh kebanyakkan para muhaqqiqun bahawa seorang kafir itu ditujukan juga kepadanya perihal-perihal cabang (furuk) syarak.”
5. Oleh yang demikian, janganlah kerana terlalu ingin Rahmah menjaga hak non Muslim, kita terlepas dari mengambil kira panduan syarak yang telah dibincangkan oleh para sarjana Islam terdahulu. Kedua pihak perlu saling memahami dalam urusan syariat umat Islam.
Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Timbalan Pengerusi
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)