Tahun Baru Cina, perayaan kebudayaan yang mempunyai saki-baki kepercayaan
Tahun Baru Cina, perayaan kebudayaan yang mempunyai saki-baki kepercayaan
- Ada beberapa persoalan yang timbul baru-baru ini berkenaan perayaan Tahun Baru Cina. Saya kira wajar untuk diteliti semula pandangan syarak dalam isu perayaan.
- Secara jelas dan sareh, seorang muslim tidak boleh menyambut perayaan berasaskan keagamaan selain Islam, kerana ia ibarat mengakui keabsahan agama itu.
- Namun jika ia adalah semata-mata budaya, adakah ia boleh ?
- Adakah seseorang muslim boleh menyambut perayaan yang berunsurkan kebudayaan ?
- Bagi memberi respons kepada jawapan ini, suka untuk saya menyatakan bahawa mana-mana perayaan pasti ada sejarah dan asal usulnya.
- Jika sejarah itu adalah memperingati peristiwa tertentu, maka ia tidak syak lagi bahawa ia adalah harus, seperti ulangtahun baru, perayaan maulid, hari kemerdekaan dan seumpamanya. Sambutan itu dilakukan bagi menzahirkan kegembiraan bagi mana-mana masyarakat.
- Jika dilihat kepada sejarah Tahun Baru Cina, terdapat sumber yang menyatakan ia berkaitan dengan pemujaan dewa-dewa tertentu, juga tuah dan malang, yang dipercayai pada hari-hari awal tahun baru cina.
- Atas sebab itu, walaupun pada hari ini kita melihat ia dalam kerangka kebudayaan orang Cina semata-mata, namun ia tetap tidak terpisah dengan beberapa kepercayaan dan ritual-ritual tertentu yang hanya berlaku ketika sambutan tahun baru cina.
- Untuk menyatakan ia bersih daripada sebarang kepercayaan yang rosak, adalah amat sukar.
- Jadi, hukum menyambutnya boleh berubah daripada ‘harus’ kepada ‘tidak harus’. Namun pastinya ada tahapan adakah ketidakharusan itu secara satu darjat, atau banyak tahapannya.
- Saya berpandangan jika seseorang itu tiada apa-apa kepentingan keluarga, saudara-mara, sahabat handai, jiran atau kapasiti sebarang seorang pemimpin kepada semua kaum, atau yang seumpamanya, maka baginya, menyambut perayaan ini boleh dianggap ‘tidak wajar’.
- Jika ia punyai kaitan saudara-mara, jiran, sahabat dan seumpamanya, maka menyambutnya hanya pada kadarnya sahaja. Tidak sampai kepada membayar sejumlah wang untuk upah tarian singa, memberi angpau secara berlebihan, atau menghadiri sebarang upacara-upacara perayaan atau aktivitinya dengan lengkap dan bersungguh.
- Sambutan perayaan ini pula hanya lebih kepada menjaga hati dan berlaku ihsan sahaja, bukanlah benar-benar meraikan kegembiraan atas kehadiran tahun baru cina yang dilatari pelbagai kepercayaan yang bercanggahan dengan akidah Islam.
- Jika ada seorang muslim yang bersuka hati mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru Cina’, tanpa sebab-sebab di atas, maka saya kira ia telah melakukan sesuatu yang tidak wajar, dan ia telah memasuki satu perkara yang tidak kena mengena dengannya.
- “Di antara kesempurnaan keislaman seseorang itu adalah, ia meninggalkan apa yang tidak berkaitan dengannya” – Hadis Nabi SAW
Wallahua’lam Bissawab
Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)