KolumnisUmum

Niat menentukan kesudahan dan pengakhiran, keyakinan adalah anugerah sepanjang perjalanan

1. Kita bermula dengan cita-cita di pengakhiran, dan kita berakhir dengan apa yang kita cita-citakan di permulaan.

2. Perkara utama yang paling asasi dalam hidup adalah di mana kita meletakkan kehendak kita.

3. Di situlah terletaknya penghujung kita.

“Sesungguhnya setiap amalan itu (diukur) berdasarkan dengan niat. Dan setiap manusia akan mendapati apa yang diniatkannya” – HR Muslim

4. Niat perlukan pembuktian. Lalu Tuhan akan datangkan ujian dan cabaran bagi membuktikan adakah niat itu benar, atau sekadar dakwaan.

5. Atas jalan itu wujudnya mujahadah, iaitu suatu medan pertempuran antara jiwa yang murni dengan hawa nafsu, dan syaitan serta tentera-tenteranya.

6. Dalam mengharungi medan jihad, pelbagai persiapan perlu dilakukan, sebagai pelindung, tentera dan benteng bagi mempertahankan ‘niat’ dan ‘kehendak’ yang dipegang dari awal perjalanan.

7. Manusia yang paling mengetahui selok-belok jiwa, akan menjadi manusia yang paling bersedia mengharungi medan mujahadah.

8. Mukmin yang mati mempertahankan kehendak dan niatnya, akan dikira sebagai syuhada’, yakni kematiannya adalah saksi kepada ketulusan dan kejujurannya dalam ‘kehendak’ dan ‘niatnya’ untuk dihadapkan di hadapan Allah SWT.

9. Tingkatan kejujuran dan ketulusan dinilai berdasarkan besarnya ujian dan cabaran yang dilalui. Atas sebab itu manusia yang paling besar ujiannya adalah para anbiya’ AS, kemudian manusia yang seterusnya dan seterusnya (berdasarkan keimanan).

10. Kesemua ujian yang dilalui adalah ibarat ‘syahadah’ (persaksian demi persaksian) yang hanya mengesahkan bahawa ia telah lulus, ia telah disaksikan, ia telah terbukti, bahawa ia kekal dalam niat dan kehendaknya.

11. Apabila ia lulus suatu ujian, Allah SWT akan berikan ia satu anugerah yang tidak diberi kepada orang selain mereka, iaitu anugerah sebuah ‘keyakinan’. Semakin banyak ujian yang dilalui, semakin bertambah ‘keyakinan’ yang diberikan.

12. Orang lain akan pelik bagaimana mereka boleh menempuh ujian dan cabaran yang besar, tetapi mereka tidak memahami hakikat bahawa ia tidak akan mampu dicapai melainkan dengan ‘keyakinan’ yang telah terbina selama ini, sebelum ini, yang terangkum dalam perjalanan kerohanian yang panjang.

13. Manusia hanya perhatikan pencapaian luaran, tetapi tidak ramai yang memerhatikan pencapaian dalaman.

14. Sedalam-dalam manusia adalah keinginannya, dan yang meneguhkannya terhadap pilihannya itu adalah keyakinannya.

15. Manusia hakikatnya melalui fasa-fasa pembuktian ini samada sedar atau tidak.

16. Jika mereka memahami, mereka akan sampai kepada titik permasalahan mereka adalah pada ketulusan kehendak, kemudian pada cukupnya keyakinan.

“Sembahlah Tuhanmu, hingga sampai kepadamu Al-Yaqiin’ – Surah Al-Hijr, ayat 99

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa

Setiausaha Agung

Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *