Baitul MaqdisIlmiahKolumnisUmum

MENYEKAT BANTUAN KETIKA DARURAT ADALAH ZALIM

1. Umat Islam diwajibkan berlaku adil dalam semua perkara dan terhadap seluruh manusia itu sendiri, termasuklah juga terhadap kalangan yang dimusuhi. Hal ini sebagaimana firman Allah S.W.T,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَئَانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Allah S.W.T melarang manusia daripada berlaku zalim walaupun terhadap mereka yang dimusuhi. Apatah lagi jika seseorang itu berlaku zalim terhadap saudara se Islamnya sendiri, maka Allah S.W.T lebih murka dengan kezaliman tersebut.

2. Perbuatan menghalang apa-apa bentuk bantuan kebaikan daripada sampai kepada mereka yang memerlukan terutama ketika situasi darurat adalah termasuk di dalam larangan Allah S.W.T,

وَتَعَاوَنُوْا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوٰىۖ وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۖوَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya [al-Maidah 5:2]

Tidakkah kita sedar, bahawa saudara -saudara kita di P.4lestin sedang berada dalam keadaan darurat? Mereka sedang menghadapi bermacam-macam tribulasi  samada kelaparan, kesejukkan, kehilangan tempat tinggal dan paling menyedihkan adalah kehilangan nyawa.

Adakah kita sedar bahawa perbuatan menghalang bantuan  daripada sampai kepada mereka yang teraniaya adalah seumpama tolong-menolong di dalam perkara kemungkaran?

3.Sebuah hadith menceritakan bahawa seorang wanita diazab kerana dia sengaja menyakiti seekor kucing yang tidak terdaya,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خِشَاشِ الأَرْضِ

Daripada Ibn ‘Umar r.a, Nabi S.A.W bersabda, “Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang dikurungnya. Dia tidak memberi kucing itu makan dan tidak pula melepaskannya agar dapat makan serangga di tanah. [Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’i al-Khalqi, hadis no: Bab Khams min ad-Dawaab, hadis no: 3318]

Hadith ini menjelaskan tentang akibat dan hukuman bagi seorang wanita yang sengaja menzalimi makhluk walaupun yang dizalimi itu bukan seorang manusia, tetapi seekor kucing. Namun perbuatan zalim tersebut  sudah cukup untuk Allah mengazabnya.

Bayangkan jika yang dizalimi itu adalah seorang insan yang tidak terdaya, memerlukan bantuan tatkala keperluan asasinnya disekat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Adakah mereka yang menzalimi akan terlepas daripada ancaman hadith ini?

4. Rasulullah SAW memberikan suatu pesanan kepada sahabatnya, Mu‘az bin Jabal RA sewaktu beliau ditugaskan ke negeri Yaman:

‌اتَّقِ ‌دَعْوَةَ ‌الْمَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.

“Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi. Maka, sesungguhnya tiada hijab (halangan dan sekatan) antaranya dengan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Mazalim wa al-Ghasb, No. 2448 dan Muslim, Kitab al-Iman, No. 19)

5. Di dunia, seseorang yang menzalimi seseorang, hendaklah memohon maaf kepada orang yang dizalimi selagi mana mereka masih hidup. Jika mereka tidak menyelesaikan permohonan maaf tersebut semasa hayat di dunia, maka dosa kezaliman tersebut hanyalah dapat diselesaikan pada hari akhirat kelak.

Rasulullah Saw bersabda: “Siapa yang pernah berbuat aniaya (zhalim) terhadap kehormatan saudaranya atau sesuatu apapun hendaklah dia meminta kehalalannya (maaf) pada hari ini (di dunia) sebelum datang hari yang ketika itu tidak bermanfaat dinar dan dirham” (HR. Al-Bukhari).

Janganlah kerana disebabkan fitnah yang tidak berasas ,telah menyebabkan bantuan kepada rakyat Pa. lestin sepatutnya sampai kepada mereka tetapi telah gagal sampai. Perbuatan zalim tersebut menjadi penyebab kepada seseorang itu tergolong di dalam ancaman hadith tersebut.

Ustaz Fitri Adnan

Penyelidik Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *