SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-66 : PERTAHANKAN ISLAM DI MALAYSIA
Islam menjadikan cinta dan setia kepada tanah air sebahagian daripada aqidah serta mempertahankannya termasuk dalam kewajipan yang dituntut oleh syariat.
Lahirnya kita di dalam agama Islam merupakan suatu nikmat terbesar dan perlu disyukuri sebaiknya. Lebih menguntungkan apabila kita dilahirkan di dalam negara Malaysia, yang meletakkan agama Islam pada kedudukan istimewa iaitu sebagai agama persekutuan negara.
Oleh itu, sebagai sebahagian tanda kesyukuran menjadi anak watan Malaysia ini, menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan negara daripada segala ancaman yang mencabar kedaulatan dan menggugat pelaksanaan agama Islam.
Memelihara Identiti Malaysia Negara Islam
Sebagai sebuah negara Islam, identiti negara ini perlu dipertahankan. Dakwaan bahawa Malaysia adalah negara Sekular atau negara bagi semua agama adalah tidak berasas dan berniat jahat. Hal ini kerana agama Islam adalah satu-satunya agama yang disebutkan dalam perlembagaan. Tiada agama lain disenaraikan dalam perlembagaan, jauh sekali perkataan Sekular.
Bukan itu sahaja, bahkan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri, serta Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam jelas menunjukkan bahawa kepimpinan tertinggi negara ini adalah berteraskan kepada Islam.
Walaupun hidup bersama dengan masyarakat berbilang kaum, status Islam sebagai agama persekutuan perlu dihormati oleh semua pihak. Agama lain boleh diamalkan dalam ruang lingkup yang terhad, namun sebarang usaha penyebaran tidak boleh berlaku secara terbuka kerana bertentangan dengan apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan negara.
Mempertahankan Negara daripada Ideologi Songsang
Usaha puak liberal untuk menormalisasikan ideologi-ideologi songsang mereka di dalam negara kita telah menyebabkan umat Islam semakin hilang sensitiviti untuk memelihara agama sendiri, apatah lagi untuk meletakkan Islam itu sebagai agama yang terbaik, tertinggi dan menjadi rujukan seluruh alam. Hakikatnya, cara hidup yang dipromosi oleh puak liberal ini tidak akan diterima dan membawa kepada kerugian di hari Akhirat kelak. Hayatilah Firman Allah SWT Surah Āli-ʿImrān ayat 85;
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
Dewasa ini, kefahaman Pluralisme yang mendakwa bahawa semua agama adalah sama (dalam membawa kebenaran) dan semua penganut berhak untuk menyebarkan agama mereka telah cuba disuburkan dalam mentaliti umat. Sedangkan perkara ini sangat jauh dari kebenaran Islam. Firman Allah SWT dalam Surah Āli-ʿImrān ayat 19 :
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.“
Selain itu, gerakan LGBT di Malaysia juga sudah semakin berani mempromosi gaya hidup songsang mereka tanpa sedikit pun perasaan malu. Lantang dalam memperjuangkan keinginan songsang mereka dengan bertopengkan kepada hak asasi manusia. Lebih parah apabila pengamal budaya songsang ini telah berevolusi menjadi satu gerakan terancang dengan dokongan daripada kuasa barat dalam usaha menormalisasikan budaya serta nilai tersebut ke dalam masyarakat di seluruh dunia.
Kita perlu sedar bahawa perkara ini akan memberi ancaman daripada pelbagai aspek kehidupan (kesihatan, keluarga dll.) kepada semua umat manusia tanpa mengira agama. Oleh yang demikian, agenda jahat ini harus ditentang sepenuhnya dan tidak boleh dibiarkan untuk terus berkembang khususnya di Malaysia.
Menyekat Budaya Hedonisme Melampau
Budaya hedonisme yang makin membarah dalam umat perlu dirawat dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan kadar segera. Semua pihak harus bersatu dalam membanteras dan menyekat budaya ini daripada terus diimport masuk ke Malaysia. Dalam tempoh 8 bulan ini sahaja, kita telah disajikan dengan pelbagai konsert yang melanggar batas syara’.
Sangat mendukacitakan apabila kumpulan penyanyi seperti The 1975 dan seangkatan dengannya (melakukan aksi lucah songsang semasa melakukan persembahan serta terang-terang menyokong gerakan LGBT) telah diberikan pentas atas nama hiburan.
Ingatlah pesan Nabi Muhammad s.a.w di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :
سَمَعِتُ رَسُوْلَ اللّٰهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللّٰهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَرُ وَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ
“Maksudnya: “Aku pernah mendengar RasuIullah SAW bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.” Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak berseronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpunkan harta sebanyak mungkin, (4) tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut-menghasut sehingga jadi zalim-menzalim.” (HR Hakim)
Memelihara Hak Umat Islam
Saban hari, asakan untuk menghapuskan hak umat Islam di Malaysia semakin kuat dirasai. Seolah-olah ada satu langkah terancang untuk melemahkan kuasa umat Islam di negara kita.
Sebagai contoh, berlaku siri demi siri usaha mencabar keabsahan sistem perundangan syariah seperti yang berlaku dalam kes Iki Putra dan Nik Ellin (yang telah mencabar 20 enakmen jenayah syariah di negeri Kelantan).
Peranan Islam cuba dikecilkan dalam ruang lingkup peribadi dan amalan ritual sahaja tanpa menjadi Al-Din (cara hidup) yang meliputi semua aspek kehidupan manusia.
Kita juga telah dikejutkan dengan penarikan semula rayuan oleh pihak kerajaan dalam isu penggunaan kalimah Allah yang amat merugikan usaha mempertahankannya selama ini.
Dalam isu kepimpinan dan politik pula, usaha menormalisasi budaya mengangkat pemimpin bukan Islam dalam memimpin umat Islam sedang giat dilaksanakan atas nama kesamarataan dan semangat nasionalisma sedangkan ia amat bertentangan dengan hukum Islam.
Sedarlah Wahai Umat..
Umat Islam di Malaysia perlu sedar bahawa segala kelebihan yang dimiliki pada hari ini boleh lenyap dan terlepas daripada genggaman sekiranya tiada usaha memelihara dan mempertahankan Islam secara serius dan terancang.
Umat Islam perlu berasa mulia dengan cara hidup ini dan berusaha menegakkan syiar Islam di negara Malaysia. Sabagaiaman hadis Rasulullah s.a.w. :
“Islam itu tertinggi dan tiada yang lebih tinggi selainnya.”
Ketahuilah bahawa disana terdapat sekelompok manusia yang tidak akan pernah redha dengan agama ini dan akan terus berusaha memalingkan kita daripada kebenaran dan mengikuti jejak langkah mereka. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al- Baqarah ayat 120 :
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”
Moga Allah s.w.t memberikan taufik dan inayah kepada umat Islam di negara ini dalam mempertahankan kedaulatan Islam. Hasbunallahu wani’mal wakil, ni’mal maula wani’ma al-nasir
Ustazah Hanees Faatimah Binti Mohd Kamal
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)