KolumnisMalaysiaMunasabat IslamUtamaWanita & Kekeluargaan

Peranan Wanita Dalam Memaknai Erti Kemerdekaan

Bulan Ogos sinonim dengan bulan kemerdekaan kerana rakyat malaysia akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun. Kita sedia maklum bahawa kemerdekaan tanah air adalah hasil jihad dan pengorbanan pahlawan-pahlawan negara terdahulu yang bersungguh-sungguh dan bermatian untuk mempertahankan agama Islam dan kedaulatan tanah air dari cengkaman penjajah.

Kini kita dapat menikmati kehidupan yang tenang dan harmoni tanpa perlu menghadapi peperangan fizikal bersenjata seperti yang berlaku di negara Palestin, Iraq dan lain-lain, tetapi serangan dari pihak musuh Islam terus berjalan di negara yang kita cintai ini sama ada dalam keadaan kita sedar atau pun tidak. Antara bentuk serangan yang mereka jalankan terhadap umat Islam adalah berbentuk serangan pemikiran yang bersifat halus dan tidak melibatkan serangan berbentuk fizikal dan ketenteraan. Mereka ingin menghapuskan mazahir (sisi-sisi) kehidupan Islam dan melemahkan pegangan umat Islam daripada syariat Islam dan aqidah yang sebenar.

Allah swt berfirman:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka

[Surah Al-Baqarah ayat 120)]

Allah swt telah mensyariatkan jihad dan menentukan jihad berlaku sehingga hari kiamat. Pensyariatan ini tertakluk bukan sahaja kepada kaum lelaki tetapi kepada wanita juga. Wanita boleh berperanan bersesuaian dengan kudrat dan kefungsian yang Allah swt kurniakan kepada mereka. Sebagaimana termaktub di dalam kitab sirah, Ummu Umarah, Nasibah binti Kaab yang turut berjuang bersama suami dan anak lelakinya mempertahankan Rasulullah di medan Uhud dan juga Rufaidah Al-Aslamiyah yang menjadi perawat para mujahid yang cedera di medan Badar, Uhud, Khandak dan Khaibar yang turut dibantu oleh sahabiyah yang lain seperti Aminah binti Qays, Ummu Aiman, Safiyah, Ummu Sulaim dan Hindun.

Di dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Ummul Mukminin Aisyah RA telah bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, adakah wanita juga difardhukan untuk berjihad?” Rasulullah berkata: “Ya difardhukan kepada mereka jihad yang tidak ada peperangan di dalamnya iaitu Haji dan Umrah”.

(HR Ahmad)

Berdasarkan kisah sirah dan hadis di atas, kita dapat melihat bahawa jihad itu luas cakupan bidangnya dan ada dalam pelbagai bentuk yang membolehkan wanita memperolehi ganjaran pahala jihad melalui usaha yang bersesuaian dengan tabiat dan kefungisan mereka.

Mengambil semangat hari kebangsaan, wanita boleh menyemarakkan semula semangat jihad dengan melakukan jihad yang berikut:

  1. Jihad menahan hawa nafsu dan sentiasa istiqamah melakukan ketaatan kepada Allah swt serta menjauhi maksiat. Memastikan sentiasa berpakaian sopan dan menutup aurat di hadapan ajnabi dan juga menjaga pergaulan dan batas syariat apabila berhubung dengan lelaki ajnabi. Perkara ini merupakan suatu jihad untuk menjaga ‘iffah iaitu kehormatan diri dan menjadi qudwah muslimah kepada anak-anak dan masyarakat.

2. Jihad dengan hujah dan keterangan, iaitu jihad melawan musuh Islam dengan menyampaikan hujah dan keterangan yang benar lagi jelas kepada mereka dengan berani. Perkara ini boleh dilakukan samada melalui perbualan, perdebatan mahupun penulisan.

Allah swt berfirman:


فَلَا تُطِعِ الْكٰفِرِيْنَ وَجَاهِدْهُمْ بِهٖ جِهَادًا كَبِيْرًا

Maksudnya:

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Qur’an dengan jihad yang besar.”

[Surah Al-Furqan ayat 52]

3. Jihad dengan menyampaikan dakwah menyeru manusia kepada Allah swt dan ajaran Islam yang sebenar.

Wanita sesuai dengan tabiat semulajadi yang Allah SWT kurniakan kepadanya dengan kesabaran dan kelembutan serta sifat empati dan belas kasihan yang tinggi amatlah sesuai untuk menggalas amanah dan tanggungjawab mendidik generasi dengan didikan Islam yang sebenar. Mendidik mereka dengan adab-adab Islam, memperkenalkan tokoh-tokoh Islam yang harus mereka jadikan idola menggantikan idola-idola ciptaan barat dan negara matahari terbit yang tidak soleh.


Mendidik anak-anak dan membangunkan generasi mengikut acuan Islam yang sebenar merupakan jihad yang terbesar dalam jihad mempertahankan agama Islam di muka bumi. Kerana didikan terhadap generasi hari ini akan menentukan pembentukan negara pada masa akan datang. Baiknya didikan terhadap mereka, maka baik jugalah hasilnya kepada negara. Manakala jika rosaknya didikan terhadap mereka, maka natijanhnya akan rosak jugalah negara pada masa akan datang.


Didik mereka untuk melakukan amalan kebaikan dan menghalang mereka untuk melakukan kemungkaran. Allah swt berfirman:


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

[Surah At-taubah ayat 71]

4. Jihad dengan harta, antaranya menunaikan haji dan umrah yang merupakan jihad bagi wanita sebagaimana yang diriwayatkan di dalam hadis yang disebutkan di awal tadi. Apa-apa harta yang digunakan dan dibelanjakan di jalan Allah untuk pembangunan umat Islam dan juga usaha menyebarkan dan  mengembangkan Islam di muka bumi juga dikira sebagai Jihad harta yang tiada kurangnya pahala dengan pahala Jihad yang dijanjikan oleh Allah swt.

Allah swt berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”

[Surah Al-Hujurat ayat 15]

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang menafkahkan harta di jalan Allah, maka dicatat baginya (pahala) sebanyak 700 kali ganda”

[HR. Tirmidzi]

Allah swt maha pengasih dan pemurah memberikan ganjaran yang besar buat hamba-hambanya yang berjihad tanpa membezakan ganjaran antara lelaki dan wanita dan juga bentuk-bentuk jihad yang dilakukan. Maka ayuhlah para wanita, kita suburkan kembali semangat jihad mengembalikan Islam yang sebenar di dalam keluarga dan negara kita mengambil semangat bersempena dengan bulan kemerdekaan ini. Moga dikurniakan dengan ketinggian Islam dan juga ganjaran dari sisi-Nya.

Ustazah Hasanah Binti Khairuddin

Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *