IlmiahUsuluddin

Wacana Sebagai Salah Satu Jalan Menyemarak Arus Wasatiyah

Selesai menonton serba sedikit, debat yang dianjurkan oleh pihak KUIPS yang menampilkan Ust Salman Ali dan Ust Noor Derus yang berbincang mengenai hadis jariah, hingga membawa kepada perbincangan kalam dan akidah.

Saya kira ini satu usaha yang baik, serta kurang ‘intense’ dan lebih mencapai tujuan, berbanding debat yang dianjurkan sebelum-sebelum ini.

Komentar saya adalah seperti berikut :

  1. Umat Islam perlu dijelaskan mana perkara yang usul yang tiada siapa berbeza padanya, dan manakah pula perkara furuk yang wujud di sana perbezaan yang muktabar, seterusnya perlu dijelaskan apakah pula garis merah yang tidak boleh dilangkaui dalam bidang itu.
  2. Perbezaan hanabilah (atau sesetengah menggelarnya ahli hadis) dan asya’irah adalah pada metodologi mereka dalam berinteraksi dengan dalil-dalil yang wujud. Kedua-dua pihak sedang berusaha sebaik mungkin untuk mensucikan Allah SWT daripada sebarang kekurangan, dengan cara dan metodologi masing-masing.

Apabila berbeza metodologi, maka berbezalah hasilnya, walaupun mereka sedang menanggapi satu tujuan dan objektif yang sama. Justeru perbezaan metodologi perlu dikemukakan daripada awal supaya perbincangan tidak membawa kepada perbalahan.

  1. Debat yang dilakukan oleh ilmuwan Islam terdahulu mempunyai disiplin tersendiri, yang lebih murni jika dibandingkan dengan format debat yang ‘mainstream’ pada hari ini. Jika kita teliti ulama dahulu bermunazarah mereka mempunyai format yang sangat terpandu dan objektif. Ini kerana ia bukan setakat nukilan atau penerangan semata-mata, tetapi ia mempunyai langkah yang cukup jelas untuk sampai kepada tertegaknya sesuatu dakwaan.
  2. Arus kesederhanaan atau wasatiyah perlu dizahirkan dalam agama, dan arus tatarruf iaitu ekstrem perlu ditentang. Antara cabaran para ilmuwan hari ini adalah mengenalpasti apakah dia titik-titik wasatiyah yang perlu disepakati dan dipegang bersama, agar kesatuan mereka dapat menyemarak kesatuan ummah.

Ilmuwan perlu merungkai apakah dia hakikat bid’ah yang tercela, apakah kemungkaran yang wajib ditegah, adakah warisan tadayyun dan keberagamaan yang wujud dalam tanah air ini berdiri atas landasan yang sahih atau sebaliknya, dan seumpamanya.

Dari atas asas wacana itu, baru para ilmuwan pelbagai pihak boleh menyeru masyarakat untuk maju ke hadapan, bukan hanya berbincang mengenai perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat.

  1. Perbincangan ayat-ayat mutasyabihat dan sifat-sifat Allah SWT secara mendalam adalah suatu perbincangan yang khusus untuk ahli yang khusus. Penyebarannya kepada masyarakat awam yang tidak pun mampu berbahasa Arab, dikhuatiri menjadi satu fitnah buat mereka.

Oleh itu saya melihat sejauhmana ia perlu diwujudkan dan diarus perdanakan, ia bergantung kepada kadar mana syubhat itu wujud dalam masyarakat. Rata-rata masyarakat – wallahua’lam – tidak pun berpegang kepada bid’ah-bid’ah akidah yang memerlukan suatu penentangan yang jelas dan perbincangan yang mendalam terhadapnya.

Justeru, arus pembudayaan wacana dalam hal-hal demikian mungkin perlu ditimbang semula agar masyarakat kita dapat dihidupkan dengan perkara yang lebih membina institusi masyarakat itu sendiri.

Perbincangan wacana akidah perlu dilandasi dengan satu agenda ‘tauhid amali’ yang membuahkan kesatuan, kekuatan ummah, dan menyemarakkan roh jihad, agar pemikiran ummah terpandu dan disalurkan pada saluran yang lebih besar prioritinya.

Wallahua’lam Bissawab

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *