Umum

“Ketiadaan” Yang Begitu Dirasai… semoga bersama Amilin, Solihin, Muttaqin & Siddiqin..

Saya tidak menyangka bahawa jari-jari ini harus menukilkan ungkapan kata-kata tentang sesuatu yang sukar digambarkan. Berita itu datang menerpa secara mendadak, membuatkan saya tersentap seketika, bagaikan tidak percaya. Sedangkan tiga hari sebelumnya, saya masih berkomunikasi dengan insan mulia tersebut.

Akhirnya kebimbangan itu terjawab dan saya perlukan sedikit masa untuk menyerap hakikat yang tidak bisa dihindari lagi. Bahawa detik “pemutus” itu bakal tiba, tanpa terlajak atau tersekat walau sesaat. Ia akan menimpa setiap insan yang bernyawa sebagai satu pembuktian bahawa dunia ini begitu sementara dan bahawa perjalanan dan pengembaran ke dunia yang abadi adalah satu kemestian.

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Hasbunallahi wa ni’mal wakil.

Saya lebih selesa menyapanya sebagai Ustaz Sobri, yang saya mula kenal sejak bulan Disember tahun 2012. Ketika itu saya menyertai Misi Solidariti Rakyat Malaysia Bersama Palestin, yang dianjurkan oleh pertubuhan Aman Palestin. Dan saya memang tidak tahu langsung akan latarbelakang Al Marhum sebelum itu. Dari situlah, ikatan persaudaraan dan persahabatan kami mulai terbina.

Saya amat maklum, sudah banyak yang diperkatakan dan ditulis mengenai sosok tubuh Al Marhum, oleh kenalan dan rakan, anak-anak murid dan Netizen yang berkesempatan berhubung, bertemu dan berinteraksi dengan Al Marhum. Membaca coretan-coretan mereka, saya dapat memahami tentang kehebatan dan kewibawaan Al Marhum sebagai seorang alim yang jujur dengan ilmu pengetahuan, yang sangat komited dengan dunia akademik, yang berwawasan luas dalam bidang Syari’ah dan disiplin ilmu yang menjadi bidang pengkhususannya.

Saya percaya lembaran-lembaran hidupnya akan sentiasa terisi dengan kebaikan, yang ditulis oleh hati-hati yang tulus dan sangat mengasihinya.

Adapun saya, saya tidak berpeluang berdampingan erat atau diberi kesempatan untuk menekuni kuliah-kuliah, taujihat, tazkirah dan pengisian-pengisian Al Marhum. Bagaimanapun, tempoh persahabatan kami yang singkat ini (hampir 12 tahun) bolehlah saya sifatkan sebagai sangat “mengenyangkan”.

Semakin lama kami saling berkomunikasi, kami semakin “klik” dan “ngam” antara satu sama lain. Saya tidak tahu mengapa tapi salah satu faktornya mungkin kerana umur kami hampir sebaya. Saya juga tidak tahu kenapa, setiap kali kami berkesempatan berjumpa dalam majlis-majlis tertentu sebagai hadirin, tempat duduk kami akan berdekatan dan ada kalanya duduk bersebelahan. Barangkali ini peluang untuk kami berbisik dan bertukar-tukar nota tentang topik yang dibicarakan.

Setiap kali kami berhubung melalui telefon, ia akan bermula dengan gurau senda dan bercanda terlebih dahulu. Perbualan kami lazimnya memakan masa yang panjang dan tidak mengira masa. Kecuali kalau terdapat perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, setiap panggilan akan sentiasa dijawab dengan segera.

Kami sering bertukar pandangan dan komen tentang banyak perkara – khususnya politik dan sejarah. Meskipun kami mempunyai pendekatan yang berbeza dalam topik-topik yang dibualkan, namun lazimnya perbualan tersebut akan sentiasa sampai kepada satu titik persamaan dan pertemuan. Mungkin kerana latarbelakang kami di dalam Syariah banyak membantu dan menghidupkan perbincangan kami. Yang menjadi pengikat setiap perbualan kami tentulah gurau senda yang bersulam di dalamnya.

Saya rasa persahabatan kami lebih terbina melalui gurau senda dan curhatan (curahan hati dan perasaan). Seakan-akan sudah menjadi “trademark” yang terbawa-bawa di dalam perjumpaan secara fizikal di dunia nyata. Barangkali ini cara kami keluar dari rutin kerja profesional masing-masing yang serius dan bersifat sekata (monotonous).

Sisi yang lebih menonjol di dalam persahabatan kami ialah Al Marhum gemar bergurau dengan saya dan begitulah sebaliknya, meskipun kami jarang bertemu muka. Al Marhum sekeluarga pernah datang menziarahi saya di rumah dan saya hanya menjamu cucur udang sahaja sebab kebetulan isteri saya tiada di rumah. Saya merasa ralat kerana tidak dapat melayan dan menjamu Al Marhum sekeluarga dengan lebih baik lagi.

Berbeza dengan ramai kenalan lain yang mungkin lebih rapat dengan Al Marhum, saya tidak mempunyai banyak pengalaman bersama beliau untuk dikongsikan. Bagaimanapun, perbualan-perbualan telefon inilah yag menjadi pengganti dan “pelepas rindu” antara satu sama lain. Bahasa persahabatan itu tidak ada hukum nahu dan tatabahasa kerana ia adalah gubahan perasaan dari kalbu dan jiwa.

Jadi, hati ini begitu terasa sekali “kehilangan” momen-momen indah ini. Akan sunyilah telefon saya dari panggilan dan deringan telefon Al Marhum. Suara ketawa dan senda gurau Al Marhum, nada keseriusannya mendasari pandangan-pandangannya dan luahan prihatinnya yang begitu mendalam terhadap realiti umat yang semakin pincang … kini cuma tinggal kenangan sahaja.

Barangkali persahabatan dan ikatan ukhuwwah kami telah ditakdirkan untuk tamat di sini. Saya merasa bimbang, risau dan berdosa kerana mungkin tidak menjalankan tanggungjawab meraikan persahabatan dan persaudaraan terhadap beliau selama saya megenalinya. Semoga Allah mengampuni saya di atas kecuaian ini.

“Ketiadaan” Al Marhum sudah tentu akan ditangisi dan dirasai oleh ahli keluarga, rakan taulan, sahabat handai dan semua yang mengenalinya sama ada dari jauh atau dekat, sebentar atau lama. Namun, “pemergiannya” perlu diterima dengan penuh reda, tawakkal dan pasrah. Biarlah airmata yang bergenang itu tumpah dan mengalir basah tapi hati dan jiwa perlu dipujuk untuk kembali berhubung dengan Allah, Pencipta alam semesta.

Al Marhum Ustaz Sobri telah melaksanakan tugas dan kewajipan seorang hamba Allah ketika hidup di dunia dan kembali kepadaNya ketika sedang membimbing dan menyedarkan umat. Di tengah-tengah hiruk pikuk dunia yang didiami sebahagian manusia yang gila kedudukan dan kuasa dan yang menghabiskan seluruh hidup mereka dalam keghairahan mengumpul harta, menindas, menzalimi dan memperhambakan manusia lain, peribadi kebanggaan umat ini memilih untuk bersama para jamaah Subuh dalam menekuni firman-firman Allah.

Nikmat apakah lagi yang ingin kita dustakan?

Kebahagiaan manakah lagi yang kita harapkan?

Pengakhiran bagaimanakah lagi yang kita cita-citakan?

Ustaz Sobri, sahabatku … Ustaz telah memulai perjalanan di alam baru, yang kami semua akan menyusul kelak tanpa kecuali tanpa keuzuran. Meninggalkan segala-galanya yang bersangkut dengan urusan dunia, sebagaimana yang kami akan hadapi juga satu hari ini. Dunia yang menjadi titik persinggahan sementara, yang bagi sebahagian manusia tidak ada alam atau dunia selain mukabumi ini, akan musnah bersama dengan segala isinya, untuk dikembalikan kepada Sang Pemilik Tunggal.

Sekiranya persahabatan dan hubungan yang singkat antara kita mempunyai nilai dan timbangan di sisi Allah dan dapat menjadi salah satu syafaat di Hari Kiamat nanti, maka saya berdo’a agar ia menjadi sebab kepada diampuni dosa-dosa saya di atas kecuaian saya terhadap Ustaz ketika di dunia.

Semoga “keberadaan” Ustaz dalam baru ini dikelilingi cahaya, keluasan dan kelapangan serta ditemani oleh ilmu yang dengannya Ustaz membimbing manusia ketika di dunia.

Semoga Ustaz tenang berbahagia bersama para Amilin, Solihin, Muttaqin dan Siddiqin.

Semoga kita bertemu kembali dalam suasana alam yang penuh kedamaian, saling bercanda, bergurau senda dan membahagiakan serta bebas dari azab yang tidak tertanggung keperitannya.

“Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepadaNya jua kita semua akan dikembalikan”

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi iPeguam

Sumber : Mohd Luttfi – “Ketiadaan” Yang Begitu Dirasai … Saya tidak… | Facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *