Fiqh SemasaKolumnisPolitik Islam

Memaknai Patriotisme dalam Kerangka Syariah (1)

Cinta tanah air, lambang ketinggian akhlak !

Semangat patriotisme dan cintakan tanah air merupakan salah satu daripada ketinggian adab yang lahir daripada kecintaan seseorang kepada tanah airnya. Islam menggambarkan kepujian semangat ini dalam hadis Nabi SAW : “Wahai Mekkah, sesungguhnya engkau adalah bumi yang paling aku cintai. Kalaulah bukan kerana pendudukmu mengusirku sudah pasti aku tidak akan meninggalkanmu”.

Orang yang tinggi budi bahasanya akan setia dan menyayangi sesiapa yang pernah berjasa dan memberi ihsan kepadanya, termasuklah dalamnya itu adalah tempat tinggal dan asal usulnya. Imam Asy-Syafie RHM menyebut : “Orang yang merdeka itu adalah siapa yang meraikan kasih sayang walaupun seketika, dan memberikan penghargaan kepada sesiapa yang memberikannya faedah walaupun satu lafaz”.

Islam meraikan fitrah, memandu bahkan menyempurnakannya

Dalam melihat kepada tabiat dan fitrah manusia, Islam datang bagi menetapkan dan memandu agar setiap perkara yang disebut sebagai fitrah manusia itu selari dengan tuntutan agama.

Asas dalam perkara ini adalah kefahaman tauhidik yang menegaskan bahawa Tuhan yang mengutuskan para rasul dan menurunkan syariat, itulah juga Tuhan yang mencipta manusia. Oleh kerana sumbernya satu iaitu Allah SWT, maka sudah pasti ia tidak akan bercanggah antara satu sama lain.

Allah SWT berfirman :

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

«(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui» – Surah Ar-Rum, ayat 30

Allah SWT menegaskan kefahaman bahawa Yang Menciptakan itulah Yang selayaknya Menghukum dalam ayat yang lain ;

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ يُغۡشِي ٱلَّيۡلَ ٱلنَّهَارَ يَطۡلُبُهُۥ حَثِيثٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتِۢ بِأَمۡرِهِۦٓۗ أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَٰلَمِينَ

«Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam» – Surah Al-A’raf, ayat 54

Kedudukannya di sisi Islam sebagai salah satu akhlak mahmudah yang digalakkan

Kecenderungan dan kecintaan kepada bangsa, tanah air, negara adalah fitrah yang tidak boleh ditolak sama seperti cinta kepada harta, wanita, dan nikmat-nikmat dunia yang lain. Ia termasuk dalam perkara-perkara tabie yang telah diciptakan manusia di atasnya.

Atas sebab itu Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran :

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَ‍َٔابِ

«Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)»

Namun Syariah telah memandu manusia agar sentiasa menyalurkan fitrah itu pada tempatnya yang sepatutnya. Atas sebab itu para ulamak bersepakat bahawa Syariah diturunkan oleh Allah SWT untuk memberi kemaslahatan kepada manusia di dunia dan di akhirat.

Ini kerana manusia secara asasnya jahil mengenai hakikat dirinya, apatah lagi mengenai apakah yang terbaik bagi dirinya. Jadi Allah SWT mengutuskan rasul-Nya dan menurunkan wahyu-Nya sebagai pemberi khabar berita mengenai apakah yang terbaik untuk diri mereka.

Dalam Syariah, segala yang sudah pun ada kecenderungannya dan dirasai keperluannya tidak perlu diwajibkan. Atas sebab itu Allah tidak mewajibkan makan dan minum, nikah dan beranak-pinak, berjual beli dan seumpamanya kerana keperluan manusia secara fitrahnya sudah membawanya untuk itu.

Bahkan Syariah datang pula memandu agar keperluan mereka dapat dicapai dalam bentuk yang terbaik. Contohnya dalam mengesahkan nikah, Syariah mewajibkan dua orang saksi, seorang wali dan mahar bagi pengantin perempuan. Ini kerana setiap syarat itu akan memastikan bahawa maslahat pernikahan akan terjamin dan akan terhasil dengan peringkat optimum.

Contoh lain pula, dalam mempertahankan harta, keluarga dan nyawa, Syariah menetapkan bahawa sesiapa yang mati kerana mempertahankan ketiga-tiganya dikira syahid. Ini bukti jelas bahawa Syariah sangat mendorong manusia untuk menjaga fitrahnya dan menyalurkannya dalam saluran Syariah supaya manusia dapat menjalani kehidupannya dengan optimum.

Walaupun begitu, Syariah tetap meletakkan sempadan dan Batasan terhadap perasaan fitrah itu, dengan memastikan bahawa setiap perkara itu mesti selari dengan arahan dan Batasan syariat Allah SWT ;

“يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُوٓاْ ءَابَآءَكُمۡ وَإِخۡوَٰنَكُمۡ أَوۡلِيَآءَ إِنِ ٱسۡتَحَبُّواْ ٱلۡكُفۡرَ عَلَى ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ

«Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)» – Surah At-Taubah, ayat 23-24

Memberi makna kepada patriotisme dari sudut akidah dan Syariah :

Dari sudut akidah :

Kedudukannya dalam akidah Islam : ia sebagai pelengkap kepada kemurnian akidah. Ini kerana akidah membentuk neraca pemikiran dan akhlak, lalu membentuk budaya, undang-undang, masyarakat dan negara. Ia adalah ibarat satu binaan kukuh yang berpaksikan akidah lalu ia membentuk pemikiran, dan prinsip berasaskan akidah tersebut berupa keadilan, nilai-nilai akhlak, kemuliaan dan kebertanggungjawaban.

Masyarakat yang terbina daripada nilai-nilai itu akan menjadi satu benteng kepada akidah tersebut, sekaligus membesarkan saiz terjemahan akidah itu daripada semata-mata satu kefahaman dan pegangan, kepada satu gagasan dan sistem yang bergerak membentuk sebuah ketamadunan.

Inilah ringkasan perjalanan bagaimana akidah ini membesar dan membentuk acuan sesebuah kehidupan manusia. Justeru, mana-mana manusia yang meletakkan dirinya dalam kerangka ini lalu mencintai tanah airnya kerana mempertahankan tanah airnya adalah sebahagian daripada perjuangannya dalam mempertahankan akidahnya.

Perkara ini disimpulkan dengan kata-kata Rab’ie bin Amir apabila bertemu dengan Rustum seorang panglima Parsi ketika peperangan Al-Qadisiyah :

“Allah menghantar kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan hamba kepada penyembahan Tuhan kepada hamba, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada ketempangan agama-agama yang ada kepada keadilan Islam”

Dari sudut Syariah :

Kacamata Syariah bermaksud melihat sesuatu perkara dari sudut hukum hakam syarak, samada berbentuk hukum yang lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram, atau berbentuk gambaran syarak terhadap definisi-definisi sesuatu perkara yang dinamakan takyif syarie iaitu penyelarasan sesuatu perkara dengan kerangka syariah.

Dari sudut hukum hakam syarak, kita boleh mengatakan bahawa semangat mencintai tanah air ini termasuk di dalam makarimul akhlak kerana perasaan ini terkandung padanya sifat-sifat terpuji berupa kesetiaan, kasih sayang, kerjasama dan mempertahankan hak kewujudan.

Akhlak yang mulia termasuk dalam kategori ‘tahsiniyat’, yang merupakan lapisan ketiga selepas lapisan hajiyyat (lapisan kedua), dan selepas lapisan dharuriyyat (lapisan utama). Ketiga-tiga lapisan ini adalah suatu pakej syariah yang agung kerana dengan ketiga-tiganya baharulah syariah dilihat sebagai cantik, murni, suci dan lengkap. (Al-Muwafaqat oleh Asy-Syatibi)

Islam datang kepada manusia untuk memandu kerangka akhlak ini supaya ia lebih maju dan menuju kesempurnaan.

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” – Hadith Riwayat Al-Bukhari

Akhlak mulia yang dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan himpunan kepada segala nilai kebaikan dan perilaku agung yang boleh dicapai oleh sekalian manusia.

Allah SWT berfirman :

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٖ

«Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia» – Surah Al-Qalam, ayat 4

Perakuan Allah SWT terhadap akhlak Nabi SAW memberi bukti bahawa segala yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah petunjuk dan neraca akhlak yang boleh dijadikan kayu ukur sesuatu akhlak itu diterima atau tertolak, berdasarkan ayat ini.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *