Fiqh SemasaKolumnisSoal Jawab

Pandangan mengenai doa qunut yang panjang

Secara asasnya doa qunut dalam witr adalah warid dalam hadis-hadis yang sahih.

Secara asasnya juga, setiap perbuatan dalam solat adalah tempohnya hampir berdekatan, ibarat satu irama yang sama. Ertinya jika panjang berdirinya, maka akan panjanglah rukuk dan sujudnya. Ini adalah yang warid daripada sunnah Rasulullah SAW daripada hadis Huzaifah Al-Yamani RA yang menyifatkan qiamullail Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa panjang rukuknya menghampiri berdirinya dan sujudnya juga begitu.

Saya juga mengakui ada banyak ulamak yang memakruhkan pembacaan qunut yang panjang, dan apabila diteliti pandangan-pandangan itu, antara sebabnya adalah ia membebankan makmum yang mengikutinya.

Guru saya juga ada berpendapat bahawa doa Qunut sepatutnya sepanjang surah Al-Fatihah sahaja, agar ‘maqasid’ solat itu tidak bertukar, daripada qiam kepada doa qunut. Maka dia menyifatkan memanjangkan doa qunut itu sebagai satu bentuk bid’ah.

Apabila meneliti pandangan-pandangan dan asas di atas, berikut adalah pandangan saya :

Saya berpandangan bahawa doa qunut yang panjang boleh dilakukan sekiranya :

1. Bacaan dalam solat juga panjang, setara dengan panjangnya doa qunut. Ia agar menyelarikan tempoh gerakan kita dalam solat, bersesuaian dengan sifat qiamullail Rasulullah SAW.

2. Seeloknya ia dibaca dalam solat berseorangan, jika berjemaah maka ia hendaklah tidak membebankan makmum. Jika berjemaah, maka makmum perlu diberitahu mengenai qunut yang akan dibaca adalah panjang, agar mereka benar-benar bersedia, dan tidak perlu duduk kerana penat semata-mata menahan kaki untuk berdoa bersama imam. Ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang melarang Muadz bin Jabal yang membaca surah Al-Baqarah dalam solat zohor kerana membebankan manusia.

3. Tidak menjadikan ia sebagai tabiat kebiasaan yang menjadikan ia dilihat sebagai ‘sebahagian’ daripada ibadah solat witr, hingga boleh dilihat sebagai bid’ah dalam solat. Ini bagi mengelakkan bertukarnya tujuan utama solat, daripada bermunajat kepada Allah dalam bentuk solat yang utama iaitu berdiri, rukuk dan sujud, kepada bentuk ‘doa qunut’ sahaja.

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *