AqidahDakwahIbadahIlmiahKolumnis

Kefahaman umum sekitar isu syariat, hakikat dan makrifat

1. Dalam Islam, peningkatan darjat rohani dan spiritual seseorang hakikatnya meningkatkan darjat kekuatan luaran, bukan yang sepatutnya berlaku sebaliknya seperti tidak bersambungnya hubungan spiritual dan material.

2. Elemen keseragaman dan kombinasi antara darjat-darjat yang ada adalah satu elemen yang tidak dapat dipisahkan. Sesiapa yang mendakwa telah mencapai satu darjat hingga tidak perlu untuk tertakluk dengan hukum darjat sebelumnya, maka dia boleh dikatakan sesat.
Kata Imam Malik bin Anas RA : “Sesiapa yang bertasawwuf tetapi tidak belajar fiqh maka dia sesat (zindiq), sesiapa yang belajar fiqh tetapi tidak bertasawwuf maka dia (cenderung kepada) fasiq, dan barangsiapa yang belajar fiqh dan bertasawwuf maka dia telah mencapai hakikat yang sebenarnya”

3. Syariat, hakikat, tariqat dan makrifat hanyalah istilah yang digunakan oleh para ahli sufi dalam menyatakan martabat dan darjat perjalanan kerohanian seseorang. Diambil daripada kefahaman hadis Jibril di mana beliau bertanya kepada baginda SAW mengenai Islam, Iman dan Ihsan.
Maka dikatakan bahawa Islam itu adalah syariat, yakni pengamalan secara zahir, Iman itu adalah hakikat, yakni sebuah keyakinan dan iktikad dalaman serta memahami rahsia-rahsia di sebalik syariat. Manakala makrifat pula adalah menyaksikan kewujudan dan mengenali Allah SWT serta apa yang terkait dengan-Nya dari sudut sifat dan perbuatan-Nya.

Adapun tarikat pula adalah jalan-jalan kerohanian bagi mencapai martabat tersebut, dengan penyucian hati dan diri daripada hawa nafsu dan keterikatan dengan dunia. Bermula daripada Islam, membawa kepada Iman dan mencapai martabat Ihsan yang merupakan martabat tertinggi.

4. Islam mengiktiraf wujudnya darjat dan tingkatan bagi orang yang beriman, selaras dengan hadis Nabi SAW yang mengatakan manusia yang paling banyak menerima ujian adalah para Anbiya’ kemudian sesiapa yang paling kuat imannya setelah itu, yang memberi makna bahawa tingkatan iman paling tinggi adalah para anbiya’ kemudian orang-orang selepas mereka, berkadaran dengan kadar kekuatan imannya.

5. Walaupun wujudnya tingkatan darjat kerohanian dan keimanan seseorang, ia tidak mengubah hukum taklif bagi setiap manusia. Ini kerana taklif itu asasnya adalah akal yang wujud bagi setiap manusia, ia tidak berubah apabila mereka meningkat ke satu tahap (contohnya) ke tahap yang lain.

6. Bahkan setiap peningkatan kadar rohani seseorang menuntut suatu taklif dan amalan zahir yang lebih berat kerana mereka memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas dan terperinci.

Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda ; Aku adalah orang yang paling mengenal Allah, dan aku lah yang paling takut kepada-Nya. Di sisi baginda Qiyamullail adalah wajib, sedangkan tidak wajib kepada umatnya, baginda SAW juga diriwayatkan sering beribadah waktu malam hingga bengkak-bengkak kakinya, hanya kerana mahu dikira menjadi hamba yang bersyukur.

Rasulullah SAW telah mencapai darjat makrifat (di sisi istilah ulama sufi) yang tertinggi, namun ia tidak menjadikan baginda SAW terlepas dari ikatan syariat dan amalan-amalan zahir.

7. Demikianlah ajaran Islam, ia tidak memisahkan elemen kerohanian yang bersifat batin dan elemen luaran yang zahir.

“Kalaulah ia (Al-Quran) bukan daripada Allah sudah pasti akan banyaknya wujud percanggahan” – Surah An-Nisa’, ayat 82

8. Kefahaman yang terpisah-pisah ini hanya akan menjerumuskan seseorang ke lembah zindiq (kesesatan) yang nyata, yang pada hakikatnya ia adalah langkah-langkah syaitan dalam menyesatkan manusia.

“Wahai orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah mengikuti langkah-langkah syaitan” – Surah Al-Baqarah, ayat 208

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *