Kefasikan adalah satu pakej yang tidak terpisah
Heboh baru-baru ini kes penangkapan beberapa pegawai kerajaan dan setiausaha politik kerajaan di sebuah kediaman pada pukul 4 pagi, ketika mengadakan ‘private party’ mereka. Hasil ujian air kencing menunjukkan kesemuanya positif dadah. Termasuk juga penemuan beberapa bungkusan dadah yang ada dalam premis tersebut.
Saya pasti, rata-ratanya semua orang jijik dengan perkara ini. Baik penyokong kerajaan atau bukan.
Yang pernah mengundi kerajaan sebelum ini pasti tidak pernah menyangka sebegitu buruk sekali perangai pegawai-pegawai lantikan dan bahkan yang diundi oleh rakyat pun terlibat sama.
Hakikatnya memang manusia itu banyak perkara yang tidak diketahuinya. Walau seluas mana pun pendedahan dibuat dan pembelajaran dilakukan, ia tidak akan mampu mencapai suatu ‘hakikat’ yang benar dan tepat, selagi ia tidak dipandu dengan cahaya wahyu yang datang dari Tuhan.
Atas sebab itu kita tidak boleh mengambil mudah saranan dan suruhan yang Allah suruh dan larangan yang Allah larang secara jelas dan terang-terangan, dalam Al-Quran.
Segala yang disebut itu adalah sebuah hakikat yang tepat dan benar. Ia tidak boleh ditakwil sesuka hati mengikut kehendak sendiri.
Apabila Allah melarang kita mengambil orang-orang kafir dan fasiq sebagai pemimpin, itu adalah suatu hakikat bahawa mereka memang tidak selayaknya jadi pemimpin bagi orang Islam, walaupun dipropagandakan dengan sejuta propaganda yang menunjukkan mereka ‘kononnya’ amanah, bersih, bebas rasuah dan seumpamanya.
Suruhan Allah itu menyatakan hakikat bahawa semua itu adalah tipu belaka. Ini kerana kefasikan yang wujud dalam susuk tubuh seseorang itu bukan berseorangan, ia wujud bersama satu pakej lengkap.
Susuk tubuh fasiq itu adalah satu pakej. Pada sudut kepimpinan, ada padanya pecah amanah, rasuah, utamakan kepentingan orang kafir, membiarkan umat Islam terkapai-kapai dan hanya mementingkan periuk nasi sendiri. Pada sudut masalah sosialnya, ada padanya perkara-perkara yang jijik itu tadi. Senarai ini berterusan hingga ia meliputi seluruh aspek hidupnya. Itu adalah hakikat perkara-perkara buruk. Ia akan membawa bersama adik-beradiknya.
Manusia yang sebegini hanya boleh dikelilingi oleh kelompok-kelompok yang satu ‘bahasa’ dengan mereka, yang boleh ‘cover line’ mereka, yang boleh ‘kawtim’ sama-sama dan seumpamanya.
Nabi SAW bersabda :
“Roh-roh itu adalah ibarat tentera yang direkrut, sesiapa yang dikenalinya akan bersama, sesiapa yang tidak dikenalinya akan berbeza (terpisah)”
Al-Quran mengajar kita neraca yang tepat dalam melihat satu-satu perkara. Seperti mana kita disuruh untuk khusyuk dalam solat, kita juga disuruh untuk memilih pemimpin yang betul. Tiada dualisme dalam arahan Allah SWT. Pengurusan sistem dunia tidak akan terpisah dengan konteks keagamaan.
Atas sebab itu, antara bid’ah yang besar dilakukan masa kini adalah kefahaman cetek yang bertemakan idea bahawa ‘pemimpin politik bukan imam solat’.
Ia membawa naratif bahawa nak jadi pemimpin tak perlu pandai solat. Dalam erti kata lain, mereka memisahkan keterikatan antara dunia dan akhirat, antara urusan agama dengan urusan kehidupan.
Ini yang menjadikan ada sesetengah orang kita menganggap urusan agama adalah urusan peribadi dan menukar agama juga adalah perkara peribadi. Saya tidak terkejut sekiranya ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa penangkapan terhadap kes dadah itu juga adalah dosa peribadi dan tiada kaitan dengan pengurusan negara, kerana kerangka fikir ini telah membentuk mereka untuk benar-benar memisahkan nilai agama daripada nilai kehidupan.
Justeru, apa yang lebih penting adalah untuk kita kembalikan umat ini kepada neraca wahyu, dan menghormati apa yang disuruh dan dilarang oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Umat perlu diajar untuk mengutamakan nas-nas syarak, dalam menimbang baik buruk sesuatu perkara, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan isu-isu kepentingan awam seperti kepimpinan dan survival umat Islam.
Sekiranya kita masih lagi ingin duduk dalam kerangka yang bukan dikehendaki oleh Allah, dikhuatiri kita akan disajikan lagi dengan kes-kes yang menjijikkan dan menghairankan kita, hanya kerana … kita sendiri yang salah dalam membuat pilihan.
“Acuan Allah, maka acuan manakah lebih baik daripada Allah acuannya ?” – Surah Al-Baqarah
Wallahua’lam bissawaab.
Ust Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)