Memohon kesejahteraan urusan dunia dan akhirat
Rasulullah SAW merupakan Qudwah yang teragung kepada kita yang memandu kita dalam urusan agama dan kehidupan kita. Segalanya telah diajar oleh baginda SAW termasuklah bagaimana berdoa dan meminta kepada Allah SWT dengan permintaan yang terbaik. Rasulullah SAW berdoa dalam satu Hadis :
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي، وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي، وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ، وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Ya Allah, Islah (perbaikilah) untukku agamaku yang merupakan intipati segala urusanku, dan Islah untukku kehidupan duniaku ini yang padanya aku hidup, dan Islah untukku akhiratku yang padanya aku akan kembali, dan jadikanlah kehidupanku untuk menambahnya amal kebaikan, dan kematianku merupakan kerehatan bagi segala keburukan. (Hadis Riwayat Imam Bukhari & Muslim)
1. Islah untukku agamaku yang merupakan intipati segala urusanku.
Urusan Islam merupakan urusan yang paling penting dan intipati hidup seorang mukmin sebelum segala perkara yang lain. Oleh itu, memohon kepada Allah SWT supaya memperelokkan urusan agama yakni memohon supaya Allah SWT memandu kehidupan kita supaya bertepatan dengan syariat Allah SWT berpandu kepada al-Quran dan Sunnah dan perbuatan salafussoleh.
2. Islah untukku kehidupan duniaku ini yang padanya aku hidup.
Memohon kepada Allah untuk Islah kehidupan kerana pada dunia inilah tempat kita bercucuk tanam ke akhirat. Islah dunia yang dimaksudkan
ialah memberi alkafaf (kecukupan) dalam urusan dan taufik kepada kita untuk mencari rezeki yang halal, isteri yang solehah yang membantu urusan kehidupan harian kita, tempat tinggal yang selamat, anak-anak yang soleh, sahabat yang mulia, kebahagiaan hidup dan ketenangan dan lain-lain.
Allah SWT berfirman:
(مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ).
Surah An-Nahl : 97.
Ertinya: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.
Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya : (maka
sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik) Tafsirannya : memikili sifat Qana’ah (berasa cukup), dan kerehatan minda, rezeki yang halal, taufiq kepada amalan yang soleh, maka kehidupan yang baik bererti segala kebaikan dari apa cara sekalipun. (Tafsir Ibnu Kathir)
3. Islah untukku akhiratku yang padanya aku akan kembali.
Memohon kepada Allah supaya memberikan taufik untuk melakukan amal soleh yang Allah SWT redhai dengan sebabnya kita mendapat keredhaan Allah dan memasuki syurga Allah SWT. Dan begitu juga memberikan taufik supaya mendapat husnulkhatimah.
4. Jadikan kehidupanku untuk menambahnya amal kebaikan.
Memohon supaya Allah SWT panjangkan hidup kita atas muka bumi ini untuk menambah amal soleh dan mencari keredhaan Allah.
Dalam sepotong Hadis:
عن أبي صفوان عبد الله بن بشر الأسلمي رضي الله عنه – قال :سُئل النبي صلى الله عليه وسلم مَن خير الناس؟ فقال: مَنْ طَالَ عُمْرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ
Daripada Abu Safwan Abdullah bin Bisyr al-Aslami RA: Rasulullah ditanya, siapakah manusia yang paling baik. Baginda menjawab: baransiapa yang panjang umurnya dan baik amalannya. Hadis Shahih Riwayat Imam Ahmad, Tarmizi, Darimi, Ibnu Abi Syaibah, Mustadrak al-Hakim.
4. Jadikan kematianku merupakan kerehatan dari segala keburukan.
Dan jika Allah SWT mengambil nyawa kita, jadikanlah ianya sebagai rehat bagi kita daripada segala fitnah, bala, dosa yang mungkin ditimpa kita jika kita masih hidup.
Dalam Satu Hadis :
فعن أبي قتادة بن رِبْعيٍّ الأنصاري رضي الله
عنه: أنه كان يحدِّث: أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم مُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ فَقَالَ: ((مُسْتَرِيحٌ، وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ))، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا المُسْتَرِ يحُ وَالمُسْتَرَاحُ مِنْهُ؟ قَالَ: ((الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللهِ، وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلَادُ، وَالشَّجَرُ، وَالدَّوَابُّ)).رواه البخاري ومسلم
Daripada Abu Qatadah bin Ribi’e al-Ansari RA menceritakan
bahawasanya : telah lalu di hadapan Rasulullah SAW jenazah, Maka baginda bersabda: dia Mustarih (berehat) dan Mustarah minhu (berehat darinya). Sahabat bertanya. Apakah itu Mustarih dan Mustarah Minhu? Baginda bersabda: seorang hamba yang mukmin berehat daripada kepenatan dunia dan
keburukannya pergi ke rahmat Allah SWT. Orang yang fajir (jahat, zalim) berehat darinya manusia-manusia yang lain, negara, pokok dan haiwan. Hadis Shahih Riwayat Bukhari dan Muslim.
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengamalkan doa Rasulullah SAW dalam kehidupan kita kerana doa ini doa yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Selain itu juga ia telah doa yang terbaik dari Rasulullah menghimpunkan permohonan daripada Allah untuk menjaga urusan dunia dan akhirat kita.
Ameen ya rabbal alamin.
Ustaz Muhammad Ikram bin Abu Hassan
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)