Istilah ‘Hak Asasi Manusia’ sebagai alat penjajahan baru
Asal usul istilah hak asasi manusia yang dijadikan asas dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia yang disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak bermula pada tahun 1948. Ia adalah manifestasi falsafah pemikiran yang berpunca daripada sejarah panjang konflik masyarakat barat dengan institusi gereja.
Konflik ini bermula seawal Zaman Pencerahan Eropah (1650-1800) apabila pihak gereja memerintah masyarakat barat secara kuku besi. Mereka melakukan penangkapan dan siksaan terhadap sesiapa yang menyatakan pandangan yang bertentangan dengan pandangan gereja. Sekadar hanya menyatakan beberapa contoh, pihak gereja bertindak membakar saintis Itali, Giordano Bruno yang percaya bahawa bumi ini berbentuk sfera, Galileo Galilei juga dijatuhkan hukuman tahana dalam rumah kerana tidak bersetuju dengan teori bahawa bumi sebagai pusat orbit alam semesta dan pelbagai jenis penindasan dilakukan oleh pihak gereja atas nama agama.
Suasana penindasan yang teruk oleh pihak gereja akhirnya melahirkan kelompok pemikir seperti John Lock, Voltoire, Montesquieu, David Ricardo, Jeremy Bentham, Rousseau yang telah menghasilkan falsafah pemikiran baru bagi membebaskan masyarakat daripada segala bentuk cengkaman dan pengaruh gereja. Usaha mereka dinamakan sebagai Gerakan Pencerahan yang mahu menjatuhkan sistem gereja dan sistem beraja di Eropah dan seterusnya memisahkan pengaruh agama daripada kehidupan harian masyarakat.
Daripada pertembungan dengan institusi gereja ini muncul pelbagai slogan dan falsafah pemikiran baru terhadap definisi pandangan semesta (world view), bentuk hubungan individu dengan negara, dan istilah-istilah popular seperti hak asasi manusia, hak kesamarataan, hak individu, kebebasan peribadi, pemisahan kuasa, undang-undang sivil. Istilah-istilah ini bertujuan untuk memastikan undang-undang negara mestilah berdasarkan kepada apa sahaja amalan kebiasaan yang diterima baik oleh masyarakat. Masyarakat itu mestilah bebas daripada sebarang pengaruh agama dan kepercayaan. Apa sahaja undang-undang yang bertentangan dengan amalan yang telah diterima oleh masyarakat dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia.
Secara umum, falsafah hak asasi manusia barat mengandungi tiga kompenan utama:
- Hak asasi manusia wujud lebih awal sebelum wujudnya negara. Oleh itu, negara hendaklah menghormati hak individu dan kebebasan peribadi.
- Asas pembentukan negara adalah untuk melindungi hak kebebasan individu.
- Kebebasan peribadi adalah punca kuasa bagi sesebuah negara dan negara tiada bidang kuasa untuk melakukan apa-apa tindakan yang boleh mengganggu kebebasan peribadi.
Falsafah pemikiran barat melihat manusia secara mutlak tanpa mengambil kira aspek agama, bangsa dan budaya. Pada pandangan barat, manusia mempunyai hak-hak yang mesti dipelihara daripada sebarang bentuk paksaan dan undang-undang. Bertitik tolak daripada intipati pemikiran hak asasi manusia barat inilah mereka menolak semua jenis undang-undang yang berdasarkan wahyu yang dianggap sebagai suatu bentuk campur tangan dan kongkongan ke atas kebebasan peribadi dan mengancam hak asasi manusia.
Falsafah hak asasi manusia yang dipelopori oleh barat menjadikan hak manusia sebagai asas perundangan. Ini bermaksud apa sahaja yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat dan dianggap baik oleh mereka perlu dilindungi oleh undang-undang negara. Oleh itu, hak wanita yang dilaungkan oleh barat adalah bersifat mutlak tanpa ikatan agama.
Begitu juga dalam aspek kebebasan individu, manusia diberikan kebebasan mutlak untuk melakukan orientasi seks samada dengan ikatan yang sah atau tidak. Manusia juga bebas untuk melakukan seks songsang dan menukar jantina dan sebarang undang-undang yang menghalang perkara ini adalah bertentangan dengan hak asasi manusia.
Asas kepada falsafah hak asasi barat adalah memisahkan agama daripada kehidupan masyarakat. Bagi mereka agama hanya terbatas kepada hubungan manusia dengan tuhan. Agama tidak memberi sumbangan signifikan dalam pembentukan masyarakat dan negara.
Mereka melaungkan kebebasan beragama dengan tujuan untuk memisahkan secara penuh pengaruh Islam daripada kehidupan manusia samada dalam aspek pemerintahan negara, pendidikan, kebudayaan, ekonomi dan lain-lain bagi memastikan umat Islam tidak ada kekuatan untuk bangkit semula sebagai sebuah tamadun yang hebat.
Usaha jahat ini tidak terhenti hanya sekadar sebuah gerakan falsafah pemikiran, tetapi gerakan hak asasi manusia barat mula berubah mengambil pendekatan politik secara agresif untuk merealisasikan falsafah pemikiran tersebut. Maka, bermulalah siri-siri revolusi oleh gerakan hak asasi manusia barat untuk merealisasikan idea ini dalam pembentukan masyarakat dan negara seperti Revolusi Amerika Syarikat (1776), Revolusi Perancis (1789) dan kemuncak usaha ini sampai ke peringkat antarabangsa dengan penubuhan PBB oleh negara-negara kuasa besar dunia selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua untuk menjaga kepentingan kuasa politik mereka.
Negara-negara penjajah ini mahu menghilangkan jati diri negara-negara Islam dan meniru gaya hidup barat dalam semua aspek kehidupan sehingga umat Islam merasakan bahawa satu-satunya jalan untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan adalah dengan mengikut sepenuhnya cara hidup barat. Mereka menggunakan PBB sebagai platform bagi penjajahan baru untuk memaksa falsafah hak asasi manusia ke atas negara-negara Islam.
Pelbagai perjanjian antara negara dan persidangan antarabangsa dibuat untuk mengukuhkan penerimaan falsafah pemikiran barat dalam isu hak asasi oleh negara-negara Islam.
Perisytiharan hak asasi manusia barat digunakan sebagai senjata politik untuk menyerang pemikiran umat Islam sebagai jaminan untuk terus menjajah negara – negara Islam secara politik dan ekonomi. Ia juga sering digunakan sebagai alat diplomasi bagi memberi tekanan politik dan ketenteraan ke atas negara-negara umat Islam sekiranya tidak mengikut kehendak barat dalam aspek hak asasi manusia.
Negara –negara kuasa besar barat hanya berpura-pura melaungkan hak asasi manusia kerana dalam masa yang sama mereka tidak mengiktiraf nilai kemuliaan terhadap individu dan kedaulatan sesebuah negara. Mereka mengamalkan diskriminasi terhadap rakyatnya sendiri atas faktor perbezaan warna kulit, agama dan kepercayaan.
Mereka sesuka hati mencipta pelbagai undang-undang antarabangsa bagi menindas negara-negara kecil terutamanya negara-negara Islam dengan pelbagai alasan yang diada-adakan oleh mereka. Hak asasi manusia barat juga dijadikan sandaran bagi mengabsahkan sebarang campur tangan secara politik mahupun ketenteraan terhadap kedaulatan sesebuah negara. Negara-negara kuasa besar barat bebas untuk menyerang mana-mana negara Islam dengan alasan pelanggaran hak asasi manusia.
Sebagai contoh, Amerika Syarikat menyerang dan menghancurkan Iraq atas alasan kerajaan Iraq menindas golongan Syiah dan memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Sebaliknya negara haram Israel boleh membunuh ribuan umat Islam Palestin dengan alasan hak untuk mempertahankan diri daripada serangan pengganas. Umat Islam di Bosnia Herzegovina, Kashmir, Selatan Thailand, Myanmar turut menjadi saksi sikap pilih kasih negara-negara kuasa besar dalam seruan hak asasi manusia.
Sejarah panjang perhambaan kaum kulit hitam di Afrika juga adalah bukti penindasan kuasa besar terhadap hak asasi manusia. Benarlah, istilah hak asasi manusia adalah seruan palsu oleh negara-negara kuasa besar barat untuk mereka terus menjajah negara-negara Islam.
Umat Islam perlu sedar bahawa rahsia kebangkitan adalah dengan kembali berpegang teguh kepada Islam. Apa sahaja permasalahan semasa perlu dirujuk kepada panduan Al-Quran dan Sunnah yang pasti memiliki jawapan yang mujarab dan kata putus bagi setiap perselisihan. Jangan terpedaya dengan istilah-istilah baru ciptaan barat yang kelihatan hebat tetapi hanya khayalan. Falsafah pemikiran barat adalah hasil rekaan manusia yang kufur kepada Allah SWT dan menolak agama dalam kehidupan sedangkan falsafah pemikiran Islam bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
Sesudah itu, patutkah mereka mahu lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah. (Al-Maaidah:50)
Ust Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)