Pejuang Islam patut mengambil iktibar dari kisah Samiri
Masuknya tahun baru hijrah adalah antara saat yang terbaik untuk kita semua termasuklah yang mengaku sebagai pejuang Islam atau gerakan Islam untuk kembali muhasabah perjalanan kita selama ini.
Adakah perjalanan kita selama ini semakin membawa manusia disekeliling kita semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya? Adakah kita masih lagi berada di atas landasan saat kita mula-mula dulu berjanji untuk menegakkan Islam di atas muka bumi ini dengan seluruh keringat kita atau sudah berubah matlamatnya?
Kata-kata sinis Nabi Musa a.s saat melihat kaumnya yang kembali kepada kekufuran dengan menyembah lembu Samiri setelah nikmat iman adalah satu teguran yang kita sentiasa perlu jadikan sebagai pedoman. Allah swt merakamkan kata-kata tersebut di dalam Al-Quran:
فَرَجَعَ مُوسَىٰٓ إِلَىٰ قَوۡمِهِۦ غَضۡبَـٰنَ أَسِفً۬اۚ قَالَ يَـٰقَوۡمِ أَلَمۡ يَعِدۡكُمۡ رَبُّكُمۡ وَعۡدًا حَسَنًاۚ أَفَطَالَ عَلَيۡڪُمُ ٱلۡعَهۡدُ أَمۡ أَرَدتُّمۡ أَن يَحِلَّ عَلَيۡكُمۡ غَضَبٌ۬ مِّن رَّبِّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُم مَّوۡعِدِى
Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; dia berkata: Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Apakah terlalu lama masa perjanjian itu bagimu atau kamu menghendaki kemurkaan Allah menimpamu, mengapa kamu melanggar penjanjian denganku? (Surah Taha: 86)
Nabi Musa mengajar kita bahawa hakikatnya pejuang Islam itu tahu pengakhiran yang baik bagi sebuah perjuangan Islam namun yang merubah mereka dari tujuan asal yang suci itu adalah diantara dua perkara. Boleh jadi kerana tidak sabar dengan janji kemenangan yang tidak kunjung tiba atau mereka dengan sengaja ingin mencari murka Allah swt. Moga Allah terus memelihara kita daripada kedua fitnah ini.
Ingatlah bahawa Samiri tersebut hanyalah satu bentuk berhala yang wujud pada zaman tersebut. Tidak dinafikan Samiri itu boleh wujud pada hari ini dengan bentuk atau rupa yang berbeza pada zaman yang berbeza. Boleh jadi ianya adalah satu falsafah seperti liberalisme, pluralisme, humanisme yang disembah seperti bani Israel menyembah lembu samiri suatu ketika dulu.
Hayatilah sambutan tahun baru seperti mana sahabat Nabi saw yang terus setia memperingati dan memilih peristiwa hijrah ke kota Madinah sabagai satu simbolik tarikh tahun baru Islam walaupun saat itu sudah berlalu puluhan tahun dan empayar Islam sudah berkembang jauh merentasi pelbagai benua.
Sejauh mana mereka berkembang pun, sebanyak mana harta mereka kumpul pun, mereka tetap tidak pernah lupa janji setia mereka bersama Nabi untuk menegakkan Syariat Allah di atas muka bumi ini.
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)