KolumnisUtama

Berpolitik tanpa panduan Syariat akan bawa kesesatan

Pendirian (pegangan) membentuk politik, politik membentuk pendirian. Itulah kesimpulan mudah untuk saya sebutkan dalam permasalahan pendirian yang kita pilih dalam bicara politik.

Sesebuah pegangan akan membentuk kerangka politik tertentu bagi menjelmakannya dalam alam realiti. Lanskap politik yang terbina itu adalah terjemahan kepada satu pendirian yang berakar umbi dan membawa kepada tujuan yang dikehendaki oleh pegangan/akidah tersebut. Jadi ia bertugas sebagai pelengkap, pelindung, dan pelaksana kepada agenda-agenda pegangan itu, sama ada ia jelas atau tersembunyi.

Demikian juga, lanskap politik yang terhasil, akan membawa manusia secara tabienya kepada sebuah keyakinan dan pegangan. Tiada pemisahan antara keduanya, pada hakikatnya keduanya saling menguatkan.

Jika dilihat sejarah Islam, terbentuknya pegangan Khawarij dan Syiah, ia bermula daripada perbezaan pandangan secara politik, namun ia dikembangkan (tanpa menafikan campur tangan pihak luar) hingga menjadi sebuah “mazhab akidah” yang membezakan pegangan secara dasarnya.

Para penyokong Ali RA dan Muawiyah RA pada ketika itu pasti tidak menyangka peristiwa “tahkim” itu yang pada asalnya adalah perbezaan politik, boleh membawa kepada sebuah perbezaan yang mendasar dalam aspek pegangan dan kepercayaan.

Atas sebab itu saya suka untuk sebutkan, berhati-hatilah dalam berpolitik, atau memilih pandangan dalam politik. Jangan terlalu ghairah memilih pihak tertentu, dengan lanskap politik tertentu, hingga tanpa kita sedar kita sedang menuju kepada satu keyakinan dan pegangan yang bercanggahan dengan apa yang Allah SWT dan Rasul SAW tunjukkan.

Lanskap politik Islam sudah dibahaskan dengan jelas, ayat-ayat Al-Quran yang nas dan muhkam yang tidak boleh ditakwil cukup banyak, hadis-hadis Nabi SAW serta istiqraa’ (sintesis) terhadap syariat sudah pun jelas menerangkan kepada kita bagaimana cara kita dalam memilih untuk berpolitik, siapa kawan dan siapa lawan, serta apakah syarat-syarat melantik pemimpin dan petugas, dan sewaktu dengannya.

Itu pun kalau kita masih nak rujuk perkara itulah, kalau rujukan kita adalah para ahli politik yang kita sokong sahaja, saya ucapkan ; “Kita adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kita akan kembali”

Wallahua’lam bissowaab.

Ust Ahmad Syamil Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *