7 kisah Rasulullah SAW sebagai seorang suami
1. Rasulullah memanggil isteri Baginda dengan panggilan yang baik. Sebagai contoh, ketika melihat orang-orang Habsyah bermain (pedang) di kawasan masjid, Rasulullah memanggil Aisyah dengan menyebut “Wahai Humaira’ (yg kemerahan). Apakah engkau ingin melihat mereka bermain?” Hadith ini turut mengandungi elemen romantik. Ia menggambarkan bagaimana Aisyah yang meletakkan kepalanya di bahu Rasulullah (فَوَضَعْتُ رَأْسِي عَلَى مَنْكِبِهِ) dan wajahnya rapat dengan pipi Rasulullah (خَدِّي عَلَى خَدِّهِ) ketika menyaksikan peristwa tersebut (HR al-Bukhari dan Muslim dgn lafaz yg berbeza).
2. Rasulullah membantu kerja rumah. al-Aswad pernah bertanya kepada Aisyah berhubung aktiviti Nabi dirumah, Aisyah lalu menjawab (كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ) iaitu beliau melakukan kerja-kerja rumah ahli keluarganya (HR al-Bukhari). Dalam riwayat Imam Ahmad, Rasulullah disifatkan menjahit bajunya sendiri, memperbaiki kasutnya sendiri serta melakukan kerja-kerja rumah (كَانَ يَخِيطُ ثَوْبَهُ، وَيَخْصِفُ نَعْلَهُ، وَيَعْمَلُ مَا يَعْمَلُ الرِّجَالُ فِي بُيُوتِهِمْ)
3. Rasulullah mengutamakan nafkah buat keluarganya. Menurut riwayat Imam Muslim, Baginda menjelaskan bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk ahli keluarganya mengandungi pahala yang sangat besar. (ودينار أنفقته على أهلك أعظمها أجرا الذي أنفقته على أهلك).
4. Amru ibn Umayyah pernah menghadiahkan buat isterinya pakaian. Apabila ditanya oleh sahabat Nabi yang lain, beliau menjawab aku hadiahkan pakaian buat isteriku (Sukhailah) dan ianya adalah sama seperti pahala sedekah. Sahabat yang bertanya seakan terkejut lalu bertanya: Apakah hadiah buat isteri kita juga akan mendapat pahala bersedekah? Perkara ini disampaikan kepada Rasulullah, Baginda membenarkan tindakan Amru (HR Ibn Hibban). Ini menggambarkan sumbangan atau perbelanjaan kita buat keluarga, jika diniatkan dengan tujuan yang betul ia mengandungi pahala yang sangat besar. Bahkan, air yang diberikan suami pada isterinya turut dinilai mengandungi pahala (إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا سَقَى امْرَأَتَهُ مِنْ الْمَاءِ أُجِرَ)
5. Rasulullah melindungi para isterinya. Ketika Safiyyah diejek kerana berketurunan Yahudi, Rasulullah memujuk Safiyyah dengan berkata: Sesunngguhnya engkau adalah anak (anak cucu) kepada Nabi, pakcik mu juga Nabi dan suamimu juga Nabi (HR Ahmad). Pujukan ini diberikan kepada Sofiyyah kerana beliau berketurunan Nabi Harun, dan pakciknya pula adalah Nabi Musa. (إِنَّكِ ابْنَةُ نَبِيٍّ، وَإِنَّ عَمَّكِ لَنَبِيٌّ، وَإِنَّكِ لَتَحْتَ نَبِيٍّ).
6. Rasulullah menyantuni isteri-isteri Baginda. Menurut Anas bin Malik, beliau pernah Nampak Rasulullah menyediakan tempat duduk (lapik tunggangan) buat Sofiyyah supaya beliau dapat duduk dalam keadaan yang selesa. Baginda juga duduk sedikit supaya Sofiyyah boleh memijak lutut (kaki) Baginda untuk dia naik ke atas tunggangannya. (فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَوِّي لَهَا وَرَاءَهُ بِعَبَاءَةٍ، ثُمَّ يَجْلِسُ عِنْدَ بَعِيرِهِ، فَيَضَعُ رُكْبَتَهُ فَتَضَعُ صَفِيَّةُ رِجْلَهَا عَلَى رُكْبَتِهِ حَتَّى تَرْكَبَ).
7. Dalam sebuah perjalanan, Rasulullah pernah membawa Anjashah sebagai jurupandu unta buat isteri-isteri Nabi. Ketika melihat Anjashah membawa unta dengan laju Rasulullah mengarahkan Anjashah supaya memperlahankan unta tersebut kerana khuatir situasi tersebut boleh menyakiti isteri Baginda yang berada di atas tunggangan tersebut. Sabda Nabi (رُوَيْدَكَ يَا أَنْجَشَةُ، سَوْقَكَ بِالْقَوَارِيرِ) maksudnya: Perlahan sedikit wahai Anjashah, sesungguhnya (diatas tunggangan itu seperti) kaca-kaca (yang dimaksudkan adalah para isteri Baginda). (HR al-Bukhari)
Begitulah tingginya akhlak Rasulullah sebagai seorang suami.
Dr Ahmad Sanusi Azmi
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)