Aidiladha 1438H: Pengorbanan dalam mencapai kemerdekaan hakiki
لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك
Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengucapkan selamat menyambut Aidiladha dan selamat meyambut hari kemerdekaan negara Malaysia yang ke-60 kepada seluruh umat Islam diseluruh dunia.
Ma’ani pengorbanan yang ada dalam ibadah Qurban pada Aidiladha serta maani kemerdekaan yang wujud dalam Sambutan Kemerdekaan adalah dua perkara yang saling berkait antara satu sama lain. Kemerdekaan yang kita fahami adalah apabila bebasnya diri, keluarga, masyarakat serta negara kita daripada sebarang kerterikatan hawa nafsu. Merdeka adalah dengan kita menjadi hamba-Nya semata-mata dan bebas daripada penghambaan sesama manusia.
Maka hakikatnya kita tidak akan dapat menikmati erti kemerdekaan yang sebenar melainkan kita berusaha (mujahadah) sehingga kita melakukan pengorbanan demi mengecapi nikmat ini. Keinginan untuk mendapat kemerdekaan tanpa adanya pengorbanan sebenarnya hanyalah angan-angan semata-mata serta cita-cita yang tidak mungkin dicapai.
Inilah yang diajar oleh Allah swt pada kita dalam kisah agung Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Pergorbanan yang menyeluruh iaitu dengan menuruti segala perintah-Nya sehingga menuruti perintahNya menyembelih anaknya itulah jalan menuju kemerdekaan yang sebenar. Allah swt juga menyebut dalam Al-Quran yang dimahukan pada ibadah qurban itu bukanlah darah yang mengalir daripada binatang sembelihan tersebut, tetapi ianya adalah satu pengorbanan demi mengecapi kemuncak kemerdekaan dalam jiwa iaitulah Taqwa.
Nikmat kemerdekaan yang kita kecapi di tanah air kita yang tercinta pada hari ini juga sebenarnya adalah hasil pengorbanan masa, harta bahkan darah itu sendiri oleh mereka yang terdahulu daripada kita. Jadi ketika mana kita berdoa untuk mereka janganlah kita pernah lupa untuk mengambil semangat, kesungguhan dan pengorbanan mereka untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita.
Kemerdekaan itu bukanlah sekadar dengan laungan “merdeka”, begitulah juga Aidiladha itu bukanlah sekadar dengan alunan “takbir”. Tetapi yang lebih utama adalah bagaimana kita dapat menghayati kedua perkara ini lalu diterjemahkan ke dalam jiwa dan kehidupan seharian kita.
Moga Aidiladha serta Hari Kemerdekaan yang kita sambut saban tahun sentiasa memberi ma’ani yang mendalam terhadap diri, keluarga serta masyarakat kita sendiri agar dengan kedua perkara ini akan kembali mengangkat keizzahan serta kemulian umat ini.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Salam Ukhuwwah, Salam Mahabbah.
والسلام عليكم ورحمة الله و بركاته
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)