KolumnisUtama

Maksiat yang menghalang amalan kebaikan

Ketika membelek pandangan Imam Malik berkenaan mendirikan solat fardhu tanpa iqamat, beliau meletakkan galakan untuk beristighfar selepas solat kerana meninggalkan perkara sunat yang besar, iaitu iqamat.

Dalam bab ini, ia termasuk dalam ilmu Usul Fiqh iaitu perkara sunat itu jika dibuat mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak pula mendapat dosa.

Bagaimana seseorang yang meninggalkan iqamat diminta untuk istighfar atas kerana meninggalkan perkara sunat sedangkan ia tidak pula berdosa ?

Merungkai persoalan ini, Imam Al-Qarafi menjawab dengan pandangan yang tajam, menggabung kefahaman nas dan tadabbur terhadap ayat-ayat Al-Quran, jiwa syariat yang diselangi dengan jiwa kesufian dan zuhud, beliau menyebut (saya ringkaskan) ;

“Kebiasaannya Allah akan mengharamkan seseorang hamba daripada amalan kebaikan kerana ia adalah hukuman terhadap maksiat yang dilakukan.

Antara kelebihan sesuatu kebaikan adalah kebaikan selepasnya. Dan keburukan kejahatan adalah kejahatan selepasnya.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Allah SWT menyebut : Sesiapa yang bermujahadah kerana Kami, akan Kami berikan petunjuk jalan-jalan Kami.

(Al-Ankabut: 69)

Allah SWT menyebut lagi:

فَأَمَّا مَنۡ أَعۡطَىٰ وَٱتَّقَىٰ (٥) وَصَدَّقَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (٦) فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡيُسۡرَىٰ (٧) وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسۡتَغۡنَىٰ (٨) وَكَذَّبَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (٩) فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡعُسۡرَىٰ (١٠)

Adapun orang yang bersedekah dan bertaqwa, dan membenarkan al-husna (hari akhirat), maka Kami akan memudahkannya untuk perkara kebaikan. Adapun orang bakhil dan sombong, serta menafikan hari akhirat, maka akan Kami mudahkan untuknya jalan keburukan. (Surah Al-Lail: 5-10)

Dipetik daripada kitab Adz-Zakhirah, Imam Al-Qarafi (684 H)

Demikianlah huraian seorang yang rabbani dan tajam pemikirannya, memahami rahsia setiap ungkapan imamnya (Imam Malik RHM) yang meneliti hukum bukan sekadar atas dasar garis halal dan haram, tetapi atas asas kepatuhan dan ketundukan kepada Allah SWT agar manusia tetap di atas landasan yang selamat, dan jauh daripada kecelakaan.

Taufiq untuk diberikan hidayah, disucikan hati, melazimi masjid dan tilawah Al-Quran, dan perkara-perkara baik yang lain, ia memerlukan medium yang suci untuk ia bertapak.

“Dan negeri yang baik (tanahnya subur) itu akan keluarlah tumbuhannya dengan izin Tuhannya, adapun tanah yang gersang, ia tidak akan tumbuh melainkan dengan keadaan terbantut” – Surah Al-An’am

Kembalilah kepada Tuhan, dalam apa sekalipun keadaan.

Merasakan diri tidak berdosa itu sendiri adalah satu dosa.

Sejak bila kita yang menentukan kita ini siapa ?

 

Ust Ahmad Syamil Mohd Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *