Indeks Syariah Malaysia: Jujurlah dalam mendaulatkan Islam di Malaysia
Idea Indeks Maqasid Syariah Malaysia yang dibuat oleh kerajaan Malaysia pada asasnya adalah satu idea yang baik. Secara umumnya, idea tersebut meletakkan bagaimana ingin memastikan segala polisi atau pendirian negara kita ini terus berjalan diatas landasan Maqasid Syariah yang merupakan tunjang kepada agama Islam ini. Namun yang menjadi persoalan utama yang saya terfikir sejak awal idea ini dibentangkan pada tahun 2015 bagaimanakah perkara ini boleh berjalan dengan sebenar-benarnya.
Baru-baru ini saya berpeluang menghadiri pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 di Putrajaya. Mendengar ucapan YAB Perdana Menteri serta pembentangan berkenaan tahap Indeks Syariah Malaysia adalah sangat mengecewakan. Penilaian “islamik” itu yang hanya melihat kepada pembinaan insfrastruktur, pemberian jutaan ringgit serta perkara kebajikan semata-mata yang pada hakikatnya tidaklah memenuhi tuntutan sebenar Maqasid Syariah terhadap sebuah negara Islam.
Lebih mengecewakan apabila kita sebut ingin melihat pada perspektif Maqasid Syariah tapi apa yang dipuja dan dibanggakan dalam ucapannya ialah bagaimana penilaian “islamik” oleh barat terhadap negara Malaysia. Disebut-sebut barat memandang tinggi dan mengiktiraf Malaysia salah sebuah negara Islam sedangkan perkara paling asas dalam Syariat itu sendiri barat tidak menerimanya iaitulah keimanan. Jadi penilaian siapa yang kita kejar sebenarnya?
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (٦) إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ (٧) ٱلَّتِى لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِى ٱلۡبِلَـٰدِ (٨) وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ (٩) وَفِرۡعَوۡنَ ذِى ٱلۡأَوۡتَادِ (١٠
Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka) (6) Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya) (7) Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? (8) Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? (9) Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Surah al-Fajr ayat 6-10)
Kalaulah Islamik itu sekadar melihat kehebatan infrastruktur atau kebajikan semata-mata, maka sudah tentu tidak akan diutuskan rasul kepada kaum ‘Aad, Tsamud serta Firaus kerana mereka sudah mampu mencapai tahap pembinaan sebuah negara yang cukup hebat. Kalaulah Islam sekadar melihat peranan pemerintah sekadar kebahagian dan memenuhi kehendak rakyat maka sudah tentu tidak akan diutuskan Nabi Syuaib as kepada kaum Madyan kerana mereka sudah bahagia dengan budaya jual beli mereka.
Tetapi apa yang syariat ajar pada kita ialah maqasid bagi sebuah negara Islam adalah lebih daripada itu. Ia melihat kepada isi kandungan serta ma’ani yang diterap kedalam jiwa setiap rakyat yang berada dalam negara tersebut. Islamnya itu bukan pada bangunan, tetapi pada jiwa pemerintah dan masyarakat yang sedar akan tanggungjawab mereka mengangkat kedaulatan Islam kearah yang lebih tinggi. Lalu kesedaran tersebut membawa kepada menolak sebarang anasir yang boleh menggugat asas Islam itu serta mengumpulkan segala anasir yang boleh membawa kearah tujuan tersebut.
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (Surah al-Hajj : 41)
Tiada gunanya kita berbangga dengan angka 76 peratus keislaman negara untuk tahun 2017 ini sedangkan rakyat Islam di Malaysia yang menjaga tiang asas agama iaitulah solat boleh jadi hanya beberapa peratus sahaja. Belum lagi dibicarakan soal-soal lain seperti hendonisme yang melampau sehingga merosakkan sebahagian besar anak muda kita. Juga perlu dilihat bagaimana berleluasanya belia-belia kita yang hanyut dengan falsafah feminisme, liberalisme serta ekstrimisme sehingga merosakkan tasawwur mereka terhadap Islam yang sebenarnya.
Bahkan dalam memelihara kedaulatan negara Islam kita ini pada sudut manakah dalam Maqasid Syariah yang membenarkan untuk kita menggadaikan negara kita demi survival kuasa pemerintahan? Ditantangani TPPA, dibinanya hubungan projek-projek besar ekonomi dengan China dan pelbagai perkara lagi yang secara jelas kesemua perkara ini bakal mengancam kedaulatan negara kita.
Bukanlah dalam tulisan ini saya menolak idea Indeks Syariah Malaysia ini, tetapi apa yang saya harapkan ialah bagaimana idea ini dapat diaplikasikan dengan sebenar-benarnya dengan tujuan yang betul-betul jujur iaitulah keinginan untuk kembali melihat kedaulatan Islam di atas tanah air tercinta ini. Yang saya risaukan ialah idea ini hanya menjadi sekadar gula-gula politik untuk menarik sokongan orang Islam demi kepentingan tertentu atau lebih menakutkan ianya membakal memberi fitnah (tanggapan yang salah) kepada orang ramai terhadap ketinggian agama ini.
Moga kata-kata Imam Tajuddin Al-Subki ini menjadi satu renungan untuk kita dalam memahami peranan pemerintah dalam sebuah negera Islam:
“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan seorang pemimpin keatas orang muslimin untuk menjadi pemimpin yang hanya makan, minum dan berehat. Tetapi Allah jadikan seorang pemimpin itu supaya dia membantu agama Allah dan mengangkat namaNya”
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)