Hukum menggunakan perkakas bukan islam
SOALAN
Assalamualaikum Ustaz,
Harap dapat jelaskan dengan lebih terperinci tentang hukum memakan makanan yang dibuat oleh orang bukan Islam. Contoh penjelasan ialah dari segi perkakasan yang mereka gunakan, kuali, pisau, sudu untuk menggaul, tangan mereka, mungkin mereka telah menggunakan perkakasan tersebut untuk makanan yang haram –(khinzir).
Adakah benar, selagi kita tidak nampak sendiri mereka menggunakan perkakasan tersebut untuk makanan haram, kita masih boleh makan makanan yang dimasak dari perkakasan tersebut?
Perkara ini amat penting untuk saya, kerana ramai rakan-rakan sejawat tidak mahu memakan makanan yang dijamu oleh rakan sekerja bukan Islam, sedangkan saya begitu yakin ianya boleh dimakan. Perkara ini seperti menimbulkan suatu pertelagahan dalam hati sesama rakan sejawat.
JAWAPAN
Waalaikumussalam WBT.
Pertama, saya mengucapkan tahniah kepada saudara yang begitu prihatin kepada agamanya lalu bertanya bagi mendapatkan kepastian. Moga Allah merahmati saudara.
Hukum asal bagi bekas atau perkakas orang bukan Islam adalah suci selagi tidak ada bukti kukuh bahawa bekas atau perkakas itu digunakan untuk menyediakan makanan yang bersifat najis, seperti arak dan khinzir.
Dalam konteks masyarakat Malaysia, terdapat orang bukan Islam yang merupakan peminum arak atau pemakan daging khinzir, dan ada yang bukan peminum arak dan pemakan khinzir. Jika orang bukan Islam itu tidak diyakini sebagai peminum arak atau pemakan daging khinzir, maka saudara tak perlu mempersoalkan kesucian bekasnya. Hal ini kerana hukum asal bagi bekas mereka adalah suci.
Namun jika orang bukan Islam itu memang dikenali sebagai peminum arak atau pemakan khinzir, maka wajarlah saudara memastikan adakah bekas yang digunakan itu dicemari najis atau tidak. Bertanya dengan sopan dan penuh adab tidaklah menjadikan teman saudara yang bukan Islam itu terasa hati.
Jika bekas itu bernajis, maka kita mempunyai dua pilihan, iaitu:
1. menggunakan bekas lain, atau
2. membasuh bekas yang bernajis itu sebelum digunakan.
Hal ini berdasarkan hadis Rasululah SAW:
Abu Sa’labah meriwayatkan bahawa beliau berkata kepada Rasulullah SAW, “Kami berjiran dengan ahli kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk mereka dan mereka minum arak dalam cawan mereka. Maka apa hukum menggunakan periuk dan cawan itu?” Jawab Rasulullah saw, “Jika kamu mempunyai periuk dan bekas lain, maka makan dan minumlah dengan bekas lain itu. Tetapi jika kamu tiada bekas lain, maka basuhlah bekas yang digunakan untuk najis itu dengan air, kemudian kamu makan dan minumlah menggunakannya.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam Abu Daud.
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW meminta kita menggunakan bekas lain sebagai pilihan pertama. Hal ini menunjukkan bahawa pilihan kedua, iaitu membasuh bekas yang bernajis itu sebagai pilihan yang kurang baik, iaitu makruh. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makruh menggunakan pinggan mangkuk yang telah digunakan untuk najis walaupun selepas dibasuh kerana pinggan mangkuk itu kotor dan biasa digunakan untuk najis. (al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, jil. 13, hlm. 80).
Islam adalah agama yang mudah, dan dalam masa yang sama Islam merupakan agama yang teguh berpegang kepada prinsip. Sifat mudah dan berprinsip ini tidak kontradik. Saudara boleh bertanya dengan penuh sopan jika saudara ragu-ragu akan kesucian bekas orang bukan Islam. Dengan demikian saudara mendapat ketenangan di samping menjaga hubungan baik sesama manusia, ibarat menarik rambut dalam tepung.
USTAZ BILAL JAILANI
Ahli Majlis Ulama ISMA
BA Syariah, MA Pentadbiran Muamalat (Produk Halal)