Minda PengerusiUtama

Bagaimana berinteraksi dengan kematian non-muslim : antara hukum zahir dan apa yang tersirat di sisi Allah SWT

Semakin ramai sahabat-sahabat yang berkongsi penulisan seorang sahabat berkenaan dengan bolehkah seorang Non-Muslim selamat dari neraka?. Lebih mengejutkan saya lagi, apabila salah seorang daripada rakan menghantar PM dan menyatakan bahawa dapat difahami daripada penulisan tersebut adalah tidak mengapa untuk mendoakan atau mengucapkan RIP, bahkan untuk mengucapkan al-fatihah kepada seorang Non Muslim yang telah mati kafir kerana:

i-Mungkin juga beliau sempat mengucap sebelum beliau mati, atau;

ii-Kita tidak tahu mungkin beliau termasuk di dalam golongan yang sebenarnya tidak sampai (atau tidak sempurna sampainya) dakwah Islam kepada beliau sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Qayyim di dalam Tariq al-Hijratayn. Apatah lagi jika sekiranya beliau seorang yang baik semasa di dunia.

Beliau lalu bertanya, adakah betul cara pemahaman beliau tersebut?

Yang lebih menakutkan saya ialah, mungkin ada di kalangan masyarakat (muslim atau non Muslim) akan merasakan: “Tidak mengapa untuk seorang non Muslim untuk tidak bersegera masuk Islam kerana berkemungkinan belum sampai hujjah Allah yang “sebenarnya” atau “secukupnya” ke atas mereka, walaupun mereka sudah berada di Malaysia. Apatah lagi, jika mereka merupakan seorang yang baik, berprinsip, dan berakhlak mulia. Sudah tentulah Allah akan menilai semua itu, dan kemungkinan masih ada bahawa Allah SWT akan memasukkan mereka semua ke syurga. Bukankah Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dan tidak akan menzalimi HambaNya. Mungkin yang berdosa adalah umat Islam itu sendiri, manakala  non-Muslim mungkin akan diampunkan oleh Allah kerana tidak mendapat hujah dakwah Islam yang sebenar.”

Maka terungkaikan rungkaian akidah Islam yang paling asas, iaitulah “Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah hanya Islam (Ali Imran: 19) dan “Dan sesiapa yang mencari Agama selain Agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi (Ali Imran: 85).

(Nota: Jangan pula sesiapa yang berhujah bahawa saya cuba untuk menafikan bahawa dakwah Islam yang sebenar mestilah diusahakan sebaiknya dan kita wajib untuk berusaha menyampaikannya dengan sebaik mungkin. Ini sudah perkara yang musallam (diterima tanpa sebarang pertikaian), dan ma’lum min al-din bi al-darurah. Namun dalam usaha kita untuk menyampaikan dakwah yang sebenarnya kepada non Muslim secara berhikmah (sila faham maksud sebenar berhikmah, secara al-targhib dan al-tarhib, alkhawf dan al-raja’ dsb), akidah umat Islam yang ada mestilah terus dijaga dan diperkasa,dan sebarang penyelewengan pemahaman mestilah dibenteras. Inilah maqasid syarak yang pertama ‘hifz al-din’)

Melihatkan kepada keperluan untuk merespon perkara ini dan besarnya implikasinya kepada aqidah umat Islam, saya merasakan amat perlu untuk saya menjawab secara ringkas tentang perkara ini Saya memohon maaf kerana tidak dapat menulis dengan lebih panjang lantaran kesuntukan masa. Untuk menunggu sehingga mempunyai masa, saya takut masyarakat Islam akan lebih terkeliru dan saya merasakan memberikan penjelasan pada saat ini, walaupun ringkas adalah wajib disegerakan. Perlu dijelaskan bahawa penulisan ringkas ini bukanlah bermaksud menjawab penulisan yang telah beliau rujuk tersebut, sebaliknya menjelaskan aspek tertentu yang mungkin akan disalahfahamkan oleh mereka yang membaca (seperti rakan saya tadi).

Di dalam syarak, terdapat dua perkara yang perlu kita fahami dengan jelas berkenaan dengan kematian seorang Non Muslim.

1) Hukum secara zahir, yang melibatkan hukum di dunia

2) Hukum di akhirat, iaitulah di sisi Allah SWT.

Kedua-dua ini perlu diberikan haknya yang sepatutnya. Janganlah kita membicarakan perkara kedua sehingga melupakan perkara yang pertama, sedangkan pada hakikatnya perkara yang pertama itulah lebih “real” dan perlu kita hadapi secara hakiki, manakala perkara yang kedua hanyalah agakan dan segala kemungkinan boleh berlaku di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mengetahui yang ghaib.

Berkenaan dengan perkara yang pertama, seorang yang meninggal dunia dengan keadaan tidak beriman, maka menjadi kewajipan kepada kita untuk berhadapan dengan jenazah beliau sebagai seorang kafir. Jenazah tersebut akan diuruskan sebagai seorang yang meninggal kafir, tidak boleh disembahyangkan dsb. Begitu juga adalah tidak dibenarkan untuk kita memohon keampunan kepadanya, termasuklah juga mengucapkan RIP (Sila lihat artikel ringkas saya sebelum ini, berkenaan dengan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan). Ianya disebutkan secara jelas di dalam al-Qur’an (Taubah: 113):

 )ما كان للنبي والذين آمنوا أن يستغفروا للمشركين ولو كانوا أولي قربى من بعد ما تبين لهم أنهم أصحاب الجحيم(

(Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka).

Imam Tabari secara jelas di dalam tafsirnya menyatakan (Jami’ al-Bayan fi Tafsir Ay al-Qur’an, Muassasah al-Risalah, Cetakan Pertama, 1420H -2000M, j. 14, hlm. 509):

(من بعد ما تبين لهم أنهم أصحاب الجحيم ( يقول : من بعد ما ماتوا على شركهم بالله وعبادة الأوثان تبين لهم أنهم من أهل النار, لأن الله قد قضى أن لا يغفر لمشرك فلا ينبغي لهم أن يسألوا ربهم أن يفعل ما قد علموا أنه لا يفعله(.

(Sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka): maksudnya “Iaitulah apabila mereka mati di atas kemusyrikan mereka kepada Allah dan menyembah berhala, maka jelaslah bahawa mereka termasuk di kalangan ahli neraka kerana Allah telah menetapkan bahawa Allah tidak akan mengampunkan kepada seorang musyrik. Maka tidak selayaknya mereka meminta daripada Allah SWT untuk melakukan sesuatu yang mereka sudah tahu bahawa Allah SWT tidak akan melakukannya (mengampunkan orang yang syirik).

Jelas di sini bahawa larangan untuk tidak untuk beristighfar di sini timbul kerana suatu sebab, iaitulah meninggalnya mereka dengan keadaan tidak beriman, dan ‘nyatanya” keyakinan bahawa beliau telah mati secara kafir timbul kerana secara zahirnya, kematiannya tersebut dalam keadaan tidak beriman, tanpa kita perlu membuat andaian bahawa beliau mungkin sempat mengucap sebelum beliau meninggal dunia ataupun tidak. Inilah yang cuba dinyatakan oleh al-Tabari daripada maksud (من بعد ما ماتوا على شركهم بالله وعبادة الأوثان تبين لهم أنهم من أهل النار), kerana secara zahirnya beliau meninggal dengan keadaan agamanya sebelum meninggal.

Di samping itu, suatu kaedah fekah yang masyhur juga memberikan makna yang sama:

الأصل بقاء ما كان علي ما كان

“Secara asalnya, sesuatu itu kekal pada hukum asalnya (melainkan jika terdapat bukti sebaliknya.”

Inilah yang dinamakan oleh para ulama sebagai “istishab al-asl”. Dalam hal ini, oleh kerana beliau hidup sebagai seorang kafir, maka kematian beliau hendaklah mengambil hukum seorang mati kafir, melainkan jika ada bukti sebaliknya.

Perkara yang sama juga dinyatakan di dalam fatwa Islamweb.net (fatwa no. 168803): (lihat:http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=168803):

“وأما المعين ممن لم يسبق له الإسلام فالأصل الحكم بكفره ونتعامل معه في الدنيا على أنه كافر كما هو الحال في مجتمعه، ولكنه إن كان لم يعلم عن الاسلام وإنما قلد مجتمعه الكافر في الكفر ولم يجد من يدعوه الى الله ويقيم عليه الحجة بالابلاغ فنعامله في الدنيا على أنه كافر، وأما في الآخرة فالله أعلم بحاله وبمستوى بلوغ رسالة الله له………”

Adapun (hukum) ke atas seseorang individu secara spesifik, yang sebelumnya (semasa hayatnya) tidak beragama Islam, maka secara hukum asalnya, beliau adalah seorang kafir dan kita akan memperlakukannya di dunia sebagai seorang yang kafir, sepertimana keadaannya di dalam masyarakatnya. Namun jika sekiranya beliau tidak mengetahui Islam dan hanya sekadar mengikut masyarakatnya yang kafir (di dalam kekufuran mereka), dan beliau tidak berjumpa dengan sesiapapun yang mendakwahkan beliau kepada Allah SWT dan mendirikan hujah dakwah ke atasnya, maka kita tetap akan memperlakukannya sebagai seorang kafir di dunia. Adapun di akhirat, maka Allah swt lebih mengetahui tentang hal beliau, dan berkenaan dengan kadar sampainya dakwah Islam kepada beliau……”

Jelas daripada fatwa ini bahawa mereka yang hidup sebagai seorang kafir, maka apabila beliau meninggal dunia, maka kita mestilah memperlakukannya sebagai seorang yang kafir. Ini termasuk juga berkenaan dengan kematiannya. Soal berkemungkinan beliau tidak mendapat hujah dakwah yang sepatutnya di dunia, lalu mungkin mendapat keuzuran di sisi Allah SWT, itu adalah soal di akhirat, yang luar daripada kemampuan kita untuk mengagaknya, apatah lagi untuk menentukannya.

Begitu juga, perlu ditegas, soal sama ada beliau seorang baik di dunia, lalu mungkin akan mendapat rahmat Allah SWT, ini juga tidak termasuk di dalam perhitungan zahir tersebut. Menurut neraca syarak, setiap seorang yang meninggal sebagai seorang kafir, maka interaksi yang sepatutnya ialah mengikut cara seorang yang meninggal sebagai kafir. Soal bagaimana keadaan beliau di sana, itu adalah urusan beliau dengan Allah SWT. Apa yang jelas, apabila seorang itu meninggal dunia dengan keadaan tidak beriman dan telah sampai segala hujah dakwah yang sepatutnya kepada beliau, maka untuk mereka yang seumpama begitu, maka tempatnya adalah neraka, walaupun mereka melakukan banyak kebaikan di dunia , hatta menjadi orang yang amat disayangi Rasulullah SAW sekalipun, seperti Abu Talib. Namun untuk menyatakan secara pasti bahawa fulan bin fulan (secara spesifik) akan masuk neraka, ini bukanlah pandangan ahli sunnah yang sebenar. Namun, di dalam urusan keduniaan, maka kita akan berhukum dengan yag zahir.  Sesiapa yang meninggal dunia seabagi seorang kafir, maka beliau mestilah diselenggarakan sebagai seorang kafir. Begitu juga segala perhubungan kita dengan beliau, seperti doa, istighfar dan sebagainya mestilah berpandukan kepada laras syarak. Janganlah pula kita melakukan perkara-perkara yang luar daripada batas-batas syarak, semata-mata kerana mengikut rasa hati kita.

Perkara ini semakin jelas jika kita merujukkan kepada penulisan Ibn al-Qayyim dalam hal ini. Beliau menyatakan di dalam Tariq al-Hijratayn (kitab asasinya yang menadi rujukan artikel tersebut), selepas beliau berbicara tentang darjat ke 17 daripada darjat-darjat mukallaf di akhirat nanti, iaitulah darjat para muqallid dan orang kafir yang jahil dan para pengikut yang mengikut mereka.

Ibn al-Qayyim berkata (Tariq al-Hijratayn wa Bab al-Sa’adatayn, Dar Ibn al-Qayyim, al-Dammam, cetakan ke-2, 1414h- 1994m, j. 1, hlm. 610)

“والله يقضي بين عباده يوم القيامة بحكمه وعدله ولا يعذب إلا من قامت عليه حجته بالرسل فهبذا مقطوع به في جملة الخلق وأما كون زيد بعينه وعمرو قامت عليه الحجة أم لا فذلك ما لا يمكن الدخول بين الله وبين عباده فيه بل الواجب على العبد أن يعتقد أن كل من دان بدين غير دين الإسلام فهو كافر وأن الله سبحانه وتعالى لا يعذب أحدا إلا بعد قيام الحجة عليه بالرسول هذا في الجملة والتعيين موكول إلى علم الله وحكمه هذا في أحكام الثواب والعقاب وأما في أحكام الدنيا فهي جارية على ظاهر الأمر….”

“Allah swt akan menentukan antara hambaNya pada hari kiamat nanti dengan hukumNya dan keadilanNya. Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan mereka yang telah mendapat hujah dakwah, dengan pengutusan Rasul-rasul. Ini adalah suatu yang pasti ke atas semua makhluk. Adapun sama ada Zaid atau Amru (sekadar cth daripada Ibn al-Qayyim), secara spesifiknya telah mendapat hujah yang sepatutnya atau tidak, maka itu adalah perkara yang berlaku antara Allah SWT dan hamba-hambaNya. Tidak ada sesiapa yang akan tahu. Maka yang menjadi kewajipan iman kepada setiap manusia adalah untuk berakidah bahawa bahawa sesiapa sahaja yang tidak beragama Islam, maka beliau adalah seorang kafir. Dan bahawasanya Allah SWT tidak akan mengazab seseorang melainkan setelah berlaku hujjah dakwah ke atas beliau dengan pengutusan rasul. Ini adalah secara umum. Manakala penentuan seseorang individu secara spesifik, maka itu adalah terserah kepada ilmu Allah SWT dan hukumNya. Ini adalah dalam soal pahala dan azab (di akhirat). Adapun di dalam hukum-hakam dunia maka ianya adalah bergantung kepada apa yang zahir (kepada kita)….”

Jelas daripada penerangan Ibn al-Qayyim ini bahawa, seseorang yang telah meninggal dunia sebagai seorang kafir (secara zahirnya), maka hendaklah kita memperlakukannya sebagai seorang yang telah meninggal kafir. Tiada sebarang takwilan, melainkan apabila kita ada bukti yang menunjukkan bahawa beliau telah sempat beriman sebelum meninggal dunia. Perkara ini bukanlah suatu yang boleh diagak-agak. Atau dibuat andaian. Soal adakah beliau telah mendapat dakwah yang sempurna atau tidak semasa di dunia, itu adalah urusan antara beliau dengan Allah di akhirat, bukannya untuk kita menentukannya di dunia. Jangan ada sesiapa yang bertindak melebihi had sehingga membuat andaian bahawa beliau mungkin tidak cukup hujah dakwah lalu mengambil sikap mendoakan beliau atau beristighfar untuk beliau. Ini adalah bertentangan dengan firman Allah di dalam surah Taubah, ayat 113-114.

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.”

Saya berharap agar penulisan ringkas ini memberikan kefahaman yang sebenar berkenaan dengan bagaimana berhadapan dengan kematian seorang Non Muslim.

Kesimpulannya, kita hendaklah berhukum dengan apa yang zahir dan jelas. Jika tiada sebarang bukti bahawa beliau telah mengucap dua kalimah syahadah, maka beliau telah meninggal sebagai seorang kafir di sisi Allah. Segala hukum seorang yang meninggal kafir hendaklah dikenakan kepada beliau. Adapun bagaimana keadaan beliau kelak, maka itu adalah antara beliau dengan Allah SWT. Semua ilmunya di sisi Allah SWT. Sebagai seorang Muslim, kita adalah terikat untuk memastikan bahawa tindak-tanduk kita adalah selari dengan panduan al-Qur’an dan al-Sunnah di dalam hal ini. Janganlah mentakwil yang tidak sepatutnya, semata-mata untuk menggambarkan kita ini bersifat terbuka, dengan harapan orang yang bukan Islam akan lebih berlembut dengan kita. Sekali lagi saya tegaskan, batas iman dan kufur perlu jelas. Keterbukaan dan moderasi (moderation) mestilah berpandukan kepada ajaran-ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya al-Qur’an dan al-Sunnahlah yang menjadi rujukan kita dalam setiap keadaan.

Doakan untuk saya, agar saya mempunyai masa untuk menjawab perkara yang kedua nanti, iaitulah “berpandukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, menurut perbincangan ulama, sejauh manakah non-Muslim berkemungkinan mendapat keuzuran untuk tidak beriman di dunia dan layak untuk mendapat perhitungan daripada Allah di akhirat kelak. Adakah mereka akan terus selamat daripada api neraka, atau adakah di sana perhitungan-perhitungan tertentu daripada Allah SWT tentang kedudukan mereka, demi menetapkan dimanakah akhiran mereka, sama ada ke Syurga atau Neraka”. Doakan

SemogaAllah SWT merahmati kita semua. Amin.

Wallahu A’lam

 

dr aznan_2
 
 
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *