Hukum berkerja di bank yang menjalankan riba
Saya ingin bertanya, apakah hukum seorang itu bekerja di bank konvensional, tetapi bertugas dlm bahagian shariah dan juga konvensional, cthnya bhgn internal audit di mana dia melaksanakan audit utk bahagian konvensional dan juga shariah audit (tetapi shariah audit hanya sekali setahun )-haniza
Jawapan :
Pekerjaan adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk memastikan kelangsungan kehidupan manusia. Di dalam pekerjaan, sudah tentu aspek halal dan haram sumber pendapatan dari pekerjaan tersebut perlu dititikberatkan. Diketahui di dalam institusi perbankan mempunyai Jabatan Audit yang akan membuat penilaian semula semua aktiviti dan operasinya. Di dalam hal ini, saya merujuk kepada jawapan Dr. Monzer Kahf berkenaan huum bekerja di bank konvensional:
“Kita semua tahu yang faedah bank ialah sejenis Riba yang diharamkan oleh Shariah. Shariah juga mengharamkan memberinya, menerimanya atau mengambilnya, menulis kontraknya dan menjadi saksi atasnya. Maka, sebarang kerja yang memerlukan seorang Muslim untuk membuat kontrak Riba, atau menjadi perantara dakam melakukannya seperti berunding dengan pelanggan, mendorong kontrak ditandatangani atau menandatangani bagi pihak bank dan kerja-kerja lain yang berkaitan secara langsung dengan membuat kontrak berasaskan Riba yang berkaitan dengan simpanan atau pembiayaan dalam bank yang berasaskan Riba adalah diharamkan.
Terdapat banyak kerja dalam bank yang tidak berkaitan secara langsung dengan Riba seperti pengawal keselamatan, juruwang, bendahari, penyelidik, penyelia bangunan dan mesin, dan sebagainya.”
Di sini dijelaskan, larangan adalah bagi pekerjaan yang secara terus menerus melibatkan penyediaan kontrak riba, jaminan dan sebagainya. Adapun bagi jabatan-jabatan yang tidak secara terus menerus seperti IT, audit dan sebagainya adalah diharuskan. Namun begitu, masih terdapat perbahasan di kalangan ulama mengenai perkara ini.
Kesimpulannya, bekerja dengan bank berasaskan riba bukanlah pilihan kerja biasa bagi seseorang Muslim. Dibenarkan bekerja dalam bidang itu hanya jika didapati betul-betul sukar untuk mencari kerja yang halal untuk mencari rezeki. Paling baik adalah berusaha untuk meninggalkan pekerjaan ini pada ketika menemui kerja atau tempat kerja yang lebih sesuai dan diyakini. Yakinlah, rezeki adalah dari Allah dan Dia tidak akan menyempitkan rezeki hambaNya dan sentiasa mempermudahkan Jalan bagi kita yang mencari kebaikan.
Wallahu a’lam
Ust Ustaz Ahmad Fikri bin Muhammad Paudzi LL.M (master of law) in Islamic Banking & Finance UIA Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)