Soal Jawab

Hukum perempuan baring di hadapan lelaki

wanita
 
Assalamualaikum ustaz,saya ingin bertanya. apakah hukum perempuan baring/tidur di depan lelaki?- Izzati
 

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).” (QS. Ali Imran: 14)

Berdasarkan firman Allah s.w.t di atas jelaslah kepada kita wanita sememangnya dijadikan cantik pada pandangan manusia secara semulajadinya. Apatah lagi dalam keadaan berbaring. Adalah lebih indah sekiranya seorang wanita itu menghiasi dirinya dengan sifat malu dan bersopan santun. Bukankah Allah telah menurunkan ayat hijab untuk menjaga kehormatan wanita?

Dalam hal ini, keseimbangan dalam menjaga pandangan bagi lelaki dan menjaga batasan aurat bagi wanita akan banyak membantu menjauhkan fitnah-fitnah yang bakal berlaku. Kita khuatiri perbuatan baring dihadapan lelaki yang bukan mahram tersebut akan menampakkan bentuk tubuh badan, menaikkan syahwat lelaki dan membawa kepada fitnah yang lebih besar, kemungkinan jenayah rogol dan zina akan terjadi, maka sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan. Inilah yang digunakan dalam keadah usul fiqh Sadd al-Zarai’ yang bermaksud mengeluarkan hukum syarak mengikut kaedah menutup saluran kerosakan, walaupun saluran itu pada asalnya harus.

Maka seharusnya seorang wanita itu menjaga dirinya dari mendatangkan fitnah lagi kepada dirinya kerana wanita itu sendiri adalah fitnah sepertimana yang disebutkan Nabi s.a.w dalam hadith di bawah,

Dari Usamah bin Zaid radhiallahu anhu dari Nabi shallallahu alaihi wasallam bahwa beliau bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فَتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ

“Aku tidak meninggalkan satupun fitnah sepeninggalku yang lebih membahayakan para lelaki kecuali para wanita.” (HR. Al-Bukhari no. 5096 dan Muslim no. 2740)

Tetapi sekiranya perbuatan baring di hadapan lelaki bukan mahram tersebut aman dari fitnah, maka perbuatan tersebut adalah tidak dilarang. Wallahua’lam.

 

mafudzah
 
Ustazah Mahfudzah Zulemly
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *