Mengumpul niat puasa wajib dengan puasa sunat
Assalamualaikum ustaz,
Bolehkah sekalikan niat puasa ganti dan puasa sunat sekali?
Jawapan:
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي رسول الله , وبعد
Persoalan ini termasuk dalam perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Ada ulama yang berpendapat tidak harus mengumpul niat puasa wajib (ganti) dengan niat puasa sunat dan ada ulama yang mengharuskannya.
Mengikut Dr Abd Rahman al-Birr, Professor di Kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar bahawa tidak harus mengumpul niat puasa qadha’ (wajib) dengan puasa sunat untuk satu puasa. Antara hujahnya ialah mengenai seorang lelaki bertanya Rasulullah saw
mengenai hasratnya untuk mengerjakan haji untuk orang lain. Lalu Rasulullah saw bersabda: "Tunaikan haji untuk dirimu terlebih dahulu." Dalam hadis yang lain Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menerima yang sunat
sehinggalah kamu menunaikan yang wajib”.
Antara ulama yang mengharuskan mengumpul niat puasa qadha’ dengan puasa sunat ialah Syeikh A’tiyyah Saqr (bekas ketua majlis Fatwa al-Azhar). Perkara ini disebut oleh beliau ketika membincang hukum mengenai mengumpul niat puasa qadha’
dengan niat puasa sunat enam hari daripada bulan Syawal. Beliau menyebut perkara ini di dalam kitabnya أحسن الكلام في الفتوي والأحكام . Antara hujah yang digunakan adalah hadis mengenai setiap amalan adalah dengan niat.
Walaubagaimana pun adalah afdhal (lebih baik) mengasingkan puasa qadha’ dengan puasa sunat.
Sebagai kesimpulan, permasalahan ini berlaku khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Setiap pihak mempunyai hujah masing-masing. Untuk mencari yang afdhal adalah elok memisahkan antara puasa qadha’ dengan puasa sunat.
Sekian والله أعلم بالصواب
Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiauasaha MUIS