BeritaIlmiahJenayah IslamKolumnisMalaysiaSoal JawabUmumUtama

JENAYAH LIWAT MENURUT ISLAM: ANCAMAN LAKNAT DAN HUKUMAN BERAT

Ditulis oleh: Ustazah Dr Nur Fatin Halil (Ketua Penyelidikan MUIS)

Sungguh jijik rasanya melihat gambar lelaki-lelaki bertuala yang ditangkap di spa songsang tempoh hari.

Namun, tambah jijik apabila ada segolongan manusia yang menjadi pembela kepada kumpulan terlaknat ini.

Ya, kita memang membenci ‘perlakuan’ terkutuk itu, bukan membenci ‘pelakunya’. Namun pelakunya tetap layak mendapat hukuman kerana telah melakukan larangan Allah.

Bahkan di bawah undang-undang sivil Malaysia, Seksyen 377A Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai “persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii”, yang merujuk “mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.”

Justeru, jelas perbuatan liwat dan homoseksual adalah satu jenayah di negara kita dan boleh dihukum.

Namun, para pembela gejala songsang ini berusaha untuk mengabsahkan perlakuan tidak bermoral dengan memutar belit dan mentafsir semula undang-undang sivil, berhujah atas nama hak asasi manusia, ruang privasi dan sebagainya.

Buatlah apa sahaja untuk memansuhkan bidang kuasa mahkamah Syariah dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan hukuman liwat. Yang pasti, semuanya tidak dapat memadam hakikat bahawa liwat tetap satu jenayah dan menyalahi hukum Syarak.

Seseorang itu mungkin boleh lari daripada peraturan manusia. Tetapi seorang Muslim tidak boleh lari dan sentiasa tertakluk kepada undang-undang Syariah.

Undang-undang Syariah adalah undang-undang dan peraturan Allah. Ia adalah berdasarkan apa yang disuruh dan dilarang oleh Allah. Jika Allah tak bagi buat, itulah undang-undangnya. Siapa yang buat juga, dia telah melakukan jenayah!

Justeru, isu ini tidak bergantung pada wujud atau tidaknya mangsa liwat yang tampil membuat aduan, barulah pelakunya dikenakan tindakan.

Isu ruang privasi juga tidak wujud kerana bumi ini milik Allah. Berlarilah ke mana pun untuk melakukan maksiat, secara tersembunyi atau terbuka, tetaplah dia berpijak di bumi Allah.

Sesuatu larangan dan perintah Allah juga tidak dinilai semata-mata melalui manfaat atau mudaratnya. Seorang Muslim menjauhi perbuatan liwat bukan hanya kerana takutkan penyakit, meskipun menyedari wujudnya kesan buruk daripada perbuatan itu.

Ini bermakna, sekiranya pada suatu hari nanti penyakit yang dikaitkan dengan perbuatan liwat seperti HIV tidak lagi wujud, atau sekalipun pakar perubatan menemui penawarnya, larangan terhadap liwat tetap kekal dan tidak dimansuhkan kerana dalil pengharamannya adalah qat’ie iaitu jelas, putus, pasti dan tidak mengandungi sebarang kemungkinan maksud lain.

Apakah Dalil Pengharaman Liwat?

Antara dalil pengharaman liwat adalah firman Allah SWT:

Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” (Surah al-Syu’ara’: 165-166)

Allah SWT berfirman lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. (Surah al-Naml: 55)

Dalam ayat Allah SWT yang lain:

Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?” (Surah Al-A’raf :80)

Ayat-ayat al-Quran ini menjelaskan bahawa perlakuan hubungan sejenis adalah satu perbuatan keji yang melampaui batas serta mendatangkan akibat yang buruk. Lihatlah bagaimana Allah telah membinasakan kaum Lut kerana melakukan amalan songsang ini. Ini merupakan bukti kukuh bahawa liwat adalah larangan Allah yang mengundang kemurkaan-Nya.

Al-Khattabī dalam Maʿālim al-Sunan menjelaskan bahawa kerasnya hukuman terhadap kaum Nabi Luṭ adalah kerana para ulama merujuk kepada makna yang tersirat di sebalik azab dan hukuman yang Allah timpakan ke atas mereka, iaitu batu yang dihujankan ke atas kaum Luṭ sehingga mereka hancur binasa semuanya.

Azab kedua ialah diterbalikkan bumi tempat duduk mereka iaitu perkampungan Sadum itu. Kini tempat tersebut adalah Laut Mati di persisiran Palestin dan Jordan.

Azab diterbalikkan itu sesuai dengan perbuatan mereka yang terbalik dan songsang. Begitulah biasanya sesuatu balasan itu mengikut jenis amal dan perbuatan.

Dalil larangan liwat daripada hadis pula antaranya sabda Nabi SAW:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا

Maksudnya: “Allah telah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Lut, (baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (Hadis riwayat Ahmad, no. 2913)

Menurut Imam Al-Nawawi, setiap kali perkataan ‘la’ana’ (dilaknat) muncul dalam nas atau teks syarak, ia menunjukkan ‘tahrīm’ iaitu pengharaman terhadap perkara yang dikaitkan dengan laknat itu. Oleh itu, perbuatan kaum Lut atau liwat iaitu perbuatan memasukkan zakar ke dalam dubur seseorang, sama ada lelaki atau perempuan adalah haram dan dilarang.

Liwat juga telah menjadi satu perlakuan yang telah mencapai kesepakatan di kalangan ulama mengenai pengharamannya. Menurut Ibn Qudāmah dalam kitabnya Al-Mughnī, terdapat ijmāʿ iaitu kesepakatan atau konsensus dalam kalangan ulama mengenai pengharaman perbuatan liwat.

Justeru, perbuatan liwat bukanlah satu jenayah yang ringan dan boleh dipandang enteng.

Tambahan lagi, hukuman bagi pelaku liwat teramat berat.

Apakah hukuman syarak bagi pelaku liwat?

Benarkah peliwat boleh dihukum bunuh?

Hukuman Syarak Bagi Pelaku Liwat

Dalam sebuah ḥadis Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

مَن وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Luṭ, maka bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perbuatan itu ke atasnya.” (Sunan Ibn Mājah, Kitāb al-Ḥudūd, no. 2561)

Hadis ini menunjukkan bahawa hukuman bagi perbuatan kaum Nabi Luṭ, atau sesiapa yang melakukan liwaṭ dan perbuatan homoseksual adalah hukuman mati. Namun begitu, Abdul Rahman al-Maliki dalam kitabnya Nizam al-‘Uqubat berpendapat, terdapat khilaf iaitu perbezaan pandangan di kalangan ulama mengenai kaedah pelaksanaan hukuman mati terhadap peliwat.

Ibn al-Qayyim pula berpendapat bahawa liwaṭ merupakan antara dosa yang paling berat di dunia dan di akhirat, serta termasuk dalam kategori dosa yang menerima hukuman paling berat.

Perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai jenis hukuman bagi liwaṭ adalah seperti berikut:

  1. Pandangan Abu Bakr al-Siddiq, Ali ibn Abi Talib, Khalid ibn al-Walid, Abdullah ibn al-Zubayr, Abdullah ibn Abbas, Jabir ibn Zayd, Abdullah ibn Ma’mar, al-Zuhri, Rabi’ah ibn Abi Abd al-Rahman, Malik, Ishaq ibn Rahawayh dan Imam Ahmad ibn Hanbal ialah bahawa hukuman bagi liwāṭ lebih berat daripada hukuman bagi zina, iaitu hukuman mati dalam semua keadaan, sama ada pelaku itu sudah berkahwin ataupun belum.
  • Pandangan ‘Ata ibn Abi Rabah, Hasan al-Basri, Sa‘id ibn al-Musayyib, Ibrahim al-Nakha‘i, Qatadah, al-Awza‘i, Abu Yusuf dan Imam Ahmad (dalam satu riwayat lain) ialah bahawa hukuman bagi liwāṭ adalah sama seperti hukuman bagi zina.
  • Menurut al-Ḥakam dan Imam Abu Ḥanifah, hukuman bagi liwaṭ, selain daripada zina, ialah ta‘zīr. Ta‘zīr ialah hukuman yang ditentukan mengikut budi bicara hakim berdasarkan keadaan dan butiran kes.
  • Ibn Hazm juga mengklasifikasikan hukuman bagi liwāṭ sebagai ta‘zīr. Beliau menganggap homoseksual sebagai satu perbuatan yang boleh dihukum namun tidak mencapai tahap hukuman ḥudud seperti zina.
  • ʿAlī bin Abī Ṭālib RA berkata bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan liwat hendaklah dibakar dengan api.
  • Menurut ʿAbdullāh bin ʿAbbās RA, pelaku liwat hendaklah dijatuhkan dari bangunan yang paling tinggi di kawasan tersebut dengan kepala menghala ke bawah, dan apabila sampai ke tanah, mereka hendaklah direjam.
  • ʿUmar bin al-Khaṭṭāb (semoga Allah meredainya) dan ʿUthmān bin ʿAffān (semoga Allah meredainya) pula dikatakan berpendapat bahawa pelaku liwat hendaklah dihukum bunuh dengan meruntuhkan tembok ke atas mereka sehingga mati.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, liwat telah dikategorikan sebagai perbuatan yang menyerupai zina dan hukumannya adalah seperti hukuman zina. Liwat dianggap seperti persetubuhan tetapi berlaku di dubur, baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan.

Menurut mazhab Syafie, hukuman liwat adalah hukuman zina bagi pihak pelaku sekiranya wujud bukti atau pengakuan. Sekiranya pelaku seorang muhsan (telah berkahwin), dia akan direjam sehingga mati. Sekiranya pelakunya bujang, dia akan disebat sebanyak 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun.

Berdasarkan huraian ini, kita menginsafi bahawa hukuman terhadap perbuatan laknat ini sememangnya termaktub dalam Syariah, namun penguatkuasaannya masih belum dapat dilaksanakan. Masyarakat juga belum benar-benar bersedia menerima dana memahami disebabkan tahap kesedaran yang masih rendah, di samping struktur perundangan negara yang menghadkan pelaksanaan hukuman Syariah dalam bidang kuasa yang sangat terhad.

Pelaksanaan penuh undang-undang Syariah berhubung kesalahan seperti liwaṭ juga masih terbatas kerana bidang kuasa jenayah Syariah terhad kepada negeri-negeri dan hukuman yang dibenarkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Liwat merupakan kesalahan jenayah dalam peruntukan Syariah di Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Kelantan. Walaubagaimanapun, negeri Perak, Terengganu dan Pahang tiada peruntukan bagi kesalahan liwat. Manakala negeri Selangor menggunakan peruntukan kesalahan hubungan jenis antara orang yang sama jantina untuk kesalahan liwat.

Dalam konteks semasa, beberapa peruntukan dalam undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan yang menguatkuasakan hukuman terhadap perbuatan seksual songsang seperti liwat sebenarnya sudah sejajar dengan prinsip umum Syariah yang melarang perilaku tersebut.

Namun demikian, adalah wajar untuk diusulkan agar peruntukan undang-undang sivil di peringkat Persekutuan diperkukuhkan dan digubal hukuman yang lebih berat dan selaras dengan prinsip syariah, agar dapat dilaksanakan Syariat dalam kerangka perlembagaan sedia ada.

Justeru, prinsip dan hukuman Islam terhadap perilaku seksual songsang kekal dapat ditegakkan dalam ruang lingkup perundangan Malaysia yang sah menurut Perlembagaan Persekutuan, selagi mana ia digubal dan dilaksanakan mengikut saluran perundangan yang ditetapkan.

Perjuangan untuk menegakkan undang-undang Syariah perlu diteruskan agar perintah dan kehendak Allah dapat dilaksanakan di atas muka bumi ini. Dengan mematuhi ketetapan Syariah, kita berusaha menghindarkan diri daripada kemurkaan Allah, sekali gus membawa kepada kesejahteraan negara yang berada dalam naungan keredaan-Nya.

Kemungkaran yang berlaku secara terbuka wajib dicegah agar tidak bermaharajalela. Setiap Muslim bertanggungjawab menolak dan memerangi kemungkaran ini, bukannya menganggap remeh apatah lagi membelanya.

Takutlah terhadap azab-Nya yang apabila turun, ia menimpa seluruh masyarakat, bukan hanya golongan yang melakukan larangan tersebut. Jika kita tidak bersama memerangi perbuatan yang dilaknat ini, kita juga turut sama dibinasakan bersama mereka yang dilaknat Allah.

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Anfal: 25)

Buat semua Muslim yang terlibat dalam tangkapan spa songsang ini, ittaqullah! Takutlah kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya sementara masih ada masa dan nyawa.

Rujukan:
Al-Quran Al-Karim

Abd al-Rahman Al-Mālikī. (1995). Niẓām al-ʿUqūbāt. Beirut: Dār al-Ummah.

Al-Khaṭṭābī. (2009). Maʿālim al-Sunan Sharḥ Sunan Abī Dāwūd. Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Al-Khin, Muṣtafā, Muṣṭafā Al-Bughā & cAlī Al-Sharbajī. (2011). Al-Fiqh Al-Manhajī   ʿAla Madhhab al-Imām Al-Shāfiʿī. (1992).  Damyik: Dār al-Qalam.
Al-Nawawī, Abū Zakariyā Maḥyuddīn Yaḥya bin Sharaf. (2010). Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-cArabī.

Al-Sarakhsī, Shams al-Dīn Abī Bakr. (1993). Al-Mabsūṭ. Beirut: Dār al-Macrifah.

Al-Shawkānī, Muḥammad bin ʿAlī. (1987). Al-Darārī al-Muḍiyyah Sharḥ al-Durar al- Bahiyyah fī al-Masā’il al-Fiqhiyyah. Dār al-Āthār.

Ibn al-Qayyim, al-Jawziyyah. (1983). Rawḍat al-muḥibbīn wa nuzhat al-mushtāqīn.   Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.

Ibn al-Qayyim, al-Jawziyyah. (2019). al-Dāʾ wa al-Dawāʾ: al-Jawāb al-Kāfī li-Man  Saʾala ʿan al-Dawāʾ al-Shāfī. Beirut: al-Maktabah al-ʿAṣriyyah.

Ibn Qudāmah, cAbdullāh ibn Aḥmad. (1996). Al-Mughnī. Riyadh: Dār cAlāmul Kutub.

Laws of Malaysia. (2015). Penal code (Act 574). Retrieved from: https://www.rcrc- resilience-southeastasia.org/wp-content/uploads/2017/12/Penal-Code-Act-             574.pdf

Nasohah, Z., Zakaria, Z. I., & Kusrin, Z. M. (2022). Cabaran penyeragaman undang-  undang jenayah syariah di Malaysia. International Journal of Islamic             Thought22, 146-159.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *