Baitul MaqdisBeritaDakwahDunia IslamFiqh SemasaKolumnisMalaysiaPolitik IslamUmumUtama

Protes Dengan Hati Selemah-Lemah Iman

Bayangkan… Ada seorang lelaki telah membunuh bapa saudara yang kita sayangi. Tiba-tiba lelaki itu muncul di pintu rumah kita. Adakah kita menyambutnya dengan penuh hangat dan mesra?

Nabi kita, Nabi Muhammad SAW pernah diuji dengan kehilangan bapa saudaranya, penghulu para syuhada’ iaitu Sayyidina Hamzah R.A.

Sayyidina Hamzah R.A. telah dibunuh dengan kejam oleh Wahsyi bin Harb Al-Habasyi dalam peperangan Uhud. Setelah Wahsyi memeluk Islam, Nabi menerimanya sebagai Muslim, namun baginda tetap berkata dengan tegas:

“Adakah engkau Wahsyi? Adakah engkau yang membunuh Hamzah? Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 4072)

Jangan muncul di hadapanku. Aku tidak boleh memandang wajahmu.

Itu pendirian Nabi terhadap seorang pembunuh yang telah membunuh insan yang dicintainya. Walaupun Wahsyi telah bertaubat, luka itu tetap dirasai.

Nabi tidak mampu melihat wajah orang yang menumpahkan darah keluarganya, meskipun dia sudah mengucap syahadah.

Nabi memaafkan tetapi tidak melupakan.

Nabi tidak berdendam. Tetapi Nabi berpegang teguh pada prinsip.

Nabi tidak menormalisasi kejahatan dan tidak meraikan pelaku dosa besar walaupun dia telah bertaubat dan masuk Islam.

Jika begitu sikap Nabi terhadap seorang Muslim yang mempunyai sejarah melakukan pembunuhan, bagaimana pula pendirian kita sebagai umat Islam terhadap orang Kafir yang terus menerus bersekongkol dalam pembantaian dan pertumpahan darah umat Palestin, membiayai penjajahan dan menghina kesucian Masjid al-Aqsa?

Adakah wajar kita bersikap lunak dan mesra dengan pelaku kezaliman?

Akal yang waras pastinya tidak sanggup melihat wajah pembunuh saudara kita. Apatah lagi tersenyum menyambutnya dan beramah mesra.

Atas nama maslahat, kuasa politik dan pengaruh ekonomi, Trump telah dijulang dan disambut meriah dengan tarian.

Malah ada ahli akademik dan cerdik pandai yang ‘try hard’ sungguh membawa segala dalil untuk mengabsahkan sambutan hangat PMX terhadap Trump.

Tak perlu segala kata-kata hikmah yang bertujuan menyedapkan hati atas tindakan itu.

Cukup hati nurani yang hidup, yang terluka dan tidak redha akannya.

Bawalah segala petikan kitab dan hujah maslahat serta kepentingan politik, ia tidak sama sekali dapat memadamkan fakta bahawa tangan Trump telah berlumuran dengan darah umat.

Andai diplomasi itu perlu demi kepentingan negara, cukup sekadar perbincangan di meja rundingan yang bermaruah dan tegas berprinsip, bukan dengan pesta sambutan yang berlebihan.

Sambutan yang penuh keghairahan juga tidak menggambarkan bantahan dan kebencian kita terhadap genosid yang didanainya.

Demi menjaga periuk nasi negara, kita sanggup mengendeng ngendeng, mengipas dan mengampu musuh.

Luntur maruah dan habis segala prinsip ummah.

Betapa lemahnya jiwa kita yang dikaburi materialistik dan dunia.

Lemahnya kita apabila tidak memegang kuasa.

Kita dipegang dan diperkotak-katikkan oleh mereka.

Dalam kelemahan ini, jangan terus hilang iman.

Tetaplah di jiwamu ada rasa resah, marah dan tidak redha.

Nabi SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya; yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim, 49 dan Ahmad, 11514)

Jika ada rasa resah, marah dan tidak redha, ketahuilah imanmu masih ada.

Dalam kelemahan ini juga, tetaplah berjihad dengan segala kudrat. Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah berkata:

“Tahap pertama jihad ialah mengingkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap ini ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam”. (Risalah Taalim)

Jika hati rasa tenteram dan bahagia melihat keramahan dengan musuh Islam ini dan langsung tiada rasa marah dan resah, ukurlah di manakah tahap iman dan jihad kita?

Berhujahlah semahunya untuk menjustifikasikan kemesraan dengan musuh Islam sebagai diplomasi, strategi licik dan sebagainya. Ia tetap tidak dapat memadamkan kemarahan dan sensitiviti umat.

Senyuman diplomasi tidak sama sekali dapat membasuh darah syuhada’ yang telah tumpah membasahi bumi Palestin.

Ingatlah firman Allah:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat Kembali”. (Surah Ali Imran, ayat 28).

Semoga tulisan ini menjadi bukti di hadapan Allah bahawa aku telah melaksanakan protes dengan hati atas apa yang telah aku lihat.

Sesungguhnya aku memohon keampunan dari Allah atas segala kelemahanku.

Ustazah Dr Nur Fatin Halil,

Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *