BeritaJenayah IslamKolumnisMalaysiaSoal JawabUmumWanita & Kekeluargaan

Mendidik Akhlak Remaja Tanggungjawab Siapa?

Remaja adalah pelapis masa hadapan negara. Namun, mereka kini hanyut dengan arus hedonisme, liberalisme dan kebebasan palsu yang menjerat akal dan jiwa. Budaya Barat mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup sehingga menghakis identiti Islam remaja.

Kita berhadapan dengan generasi yang celik teknologi tetapi gagal mengawal nafsu. Di sinilah bermulanya krisis kepincangan fitrah dan akhlak.

Mendidik remaja bukanlah tugas individu, tetapi tanggungjawab kolektif: keluarga, guru, masyarakat dan negara. Namun, apabila setiap pihak disibukkan dengan “tugas teknikal”, pendidikan berunsurkan rohani dan kasih sayang kian hilang.

Apabila mendidik para sahabat, Rasulullah memberikan fokus, perhatian dan menitikberatkan keadaan para sahabat agar mereka tidak merasa jemu. Baginda juga matang, bijaksana dan kreatif ketika berhadapan dengan murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah perbezaan aras kognitif.

Asas syariat seperti pendidikan solat, menjaga adab pergaulan dan menjaga pandangan perlu diperkenalkan sejak usia kecil melalui pendekatan berhikmah. Pendidikan solat yang digariskan Islam menunjukkan nasihat berulang kali, bimbingan kasih sayang dan penegasan disiplin perlu selari dalam Pendidikan anak. Islam telah memberikan panduan kepada ibu bapa bukan sahaja mengenai tatacara mengisi jiwa anak, malah pada tatacara mengisi masa lapang anak agar membentuk khalifah yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Tugas guru bukan sekadar penyampaikan ilmu, malah membimbing jiwa. Namun sistem pendidikan moden sering membataskan masa guru untuk berinteraksi dengan murid. Silibus pendidikan perlu ditambahbaik ke arah kesepaduan agama dan psikologi perkembangan remaja agar lebih dekat dengan realiti remaja. Kesedaran tentang Pendidikan seksualiti diintegrasikan dengan pengurusan nafsu amat sesuai diberi kepada murid sekolah atas faktor peningkatan gejala sosial masa kini.

Penggunaan media massa mesti dikawal dengan berhikmah. Jadual penggunaan gajet, dan penapisan kandungan media berunsur pornografi menjadi keperluan mendesak.Tanggungjawab ini perlu digalas oleh ibu bapa, guru, kerajaan, penggubal polisi dan masyarakat.

Membina kembali akhlak remaja bukan kerja sehari dan bukan tugas satu pihak. Ia tanggungjawab ummah dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.



Ustazah Dr Nasyitah Farhanah
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *