KolumnisMalaysiaUmumWanita & Kekeluargaan

Hentikan Normalisasi Wanita Menjadi Pelaris

Kisah 1

Saya masuk ke sebuah kedai sukan. Kemudian terdengar dengan kuat suara staf wanita dengan begitu gemalai suaranya memanggil salah seorang pembeli lelaki di situ. Sangat jelas “abannnng… tunggu kejap ye..” sambil pergi cari barang di stor. Kali kedua, kali ni sampai ada pembeli lain pun pandang staf perempuan tu “abannnggg… takdelah saiz tu”. Diakhiri dengan gelak yang tak berapa lawak tu. Akhirnya, kami keluar kedai. Kuno sangat ke jika gunakan formaliti dengan para pembeli lebih-lebih lagi yang berlainan jenis? Atau barang tak laku nanti jika tiada unsur memujuk atau suara memukau?

Kisah 2

Lalu di TT, sukan permotoran sedang bersedia di litar perlumbaan (lokasi: Malaysia). Saya sampai berkali-kali fikir, serendah itukah maruah wanita yang kerjanya memegang payung untuk setiap pelumba di garisan permulaan. Memang ‘tak boleh’ lelaki ke tukang pegang payung? Akan ada kesan ke kalau lelaki yang jadi tukang pegang payung?

Dari kedua-dua kisah dan mungkin kisah lain yang berlaku dalam realiti kehidupan kita. Interaksi dunia hari ni menjarah dan memaksa wanita sehingga seolah-olah menjadi alat pelaris. Belum lagi sebut tentang hubungan haram sekerja dan lain-lain. Lebih menyedihkan ada kebanyakan wanita sendiri rasa ‘normal’ dengan perkara ni.

Islam datang meletakkan wanita di tempat mulia. Syariat Islam datang dengan batas-batas Wasatiyyah yang menjaga Iffah (kehormatan) dan Izzah (kemuliaan) diri seorang wanita.

Ada garis panduan dalam berinteraksi dengan lawan jenis, ada garis panduan wanita bekerja. Semuanya lengkap.

Perhatikan dalam Surah Al-Ahzab: 32

إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Wanita muslimah perlu meneladani para isteri-isteri Nabi dalam segenap aspek kehidupan kerana merekalah contoh terbaik yang realistik untuk para muslimah dalam kehidupan. Berhentilah menjadikan pempengaruh yang berkiblatkan taghut sebagai contoh.

Wanita ini Allah ciptakan sebagai makhluk yang sangat unik. Macam magnet, jika kita menjadi wanita berakhlak, kita akan jadi seperti bunga yang sedap dipandang, berhati-hati untuk disentuh. Jika kita menjadi wanita yang tidak berakhlak (terpengaruh dengan kebebasan barat), maka banyaklah mata dan hati yang berniat jahat untuk merosakkannya.

Nota penting dari Ayat 32 Surah Al-Ahzab:

1) Contohi para isteri nabi dan sahabiyah secara syumul (telusuri sirah sahabiyyah). Bukan pilih-pilih ikut citarasa dan nafsu.

2) Jika perlu berinteraksi dengan lawan jenis, pilih nada dan perkataan yang formal, sesuai dengan luhur budaya melayu Islam. Tidak perlu kepada melunakkan atau menggunakan bahasa badan. Jelas, padat dan meyakinkan.

3) Tutup ruang fitnah. Tiada istilah ‘hanya sekadar kerja’. Hukum pekerjaan untuk wanita boleh jatuh haram sekiranya membuka ruang fitnah.

4) Hidup sebagai satu ummah. Protes dan rasa jijik dengan perbuatan tidak bermaruah. Jangan sokong. Tunjukkan jalan untuk bertaubat.

5) Lazimi zikir al-Mathurat dan doa pendinding.

Semoga Allah meredhai dan memelihara zuriat keturunan kita dari fitnah akhir zaman.

Mulakan dengan diri kita untuk berubah ke arah lebih baik.

Ustazah Abiidah Fadzlan Shahidi,

Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *