Menyampaikan Sunnah Baginda dengan Bijaksana

Dalam dunia koperasi atau organisasi, kita sering mendengar konsep ‘federation’ dan ‘thoughtful scaling’. Federation bermaksud gabungan beberapa kumpulan atau organisasi kecil yang bersatu di bawah satu payung besar bagaimanapun tetap mengekalkan identiti masing-masing. ‘Thoughtful scaling’ pula bermaksud berkembang dengan berhati hati tanpa menggadaikan identiti asal koperasi atau organisasi.
Begitulah juga sunnah baginda jika hanya dihayati individu, manfaatnya kecil; tetapi bila dikongsi dan diamalkan bersama, kesannya meluas dan mendalam. Maksud skala di sini bukanlah sekadar membesarkan pengaruh, tetapi juga mendalamkan kesannya sehingga ke akar umbi seperti akar pokok yang menjunam ke tanah, menguatkan batang, menumbuhkan daun yang subur, dan menghasilkan buah bermanfaat. Allah berfirman:
“Kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya.” Surah Ibrahim, ayat: 24–25.
Asas kepada semua ini adalah cinta kepada Rasulullah ﷺ. Maulid Nabi mengingatkan kita tentang cinta itu, namun ia bukanlah cinta bermusim. Ia mesti hidup setiap hari, terzahir dalam akhlak, kasih sayang, keadilan, dan ihsan seperti mana yang diajarkan oleh baginda.
Bayangkan akhlak mulia, sifat tolong-menolong, amanah, kasih sayang, dan cinta kepada Nabi Muhammad ﷺ diamalkan secara kolektif, disusun, lalu menjadi budaya masyarakat. Dari satu rumah ke satu kampung, dari satu organisasi ke satu ummah. Ketika itu, ummah akan berubah menjadi ummah fadhilah atau umat pilihan seperti yang kita cita-citakan.
Balik semula kepada konsep ‘federation’ dan ‘thoughtful scaling’ ianya tidak boleh terlaksana melainkan melalui asas keilmuan yang benar merangkumi ilmu dan amal, akal dan wahyu, individu dan kolektif, peribadi dan negara. Sunnah baginda juga perlu dilihat secara kolektif meliputi ilmu dan amal, akal dan wahyu, individu dan kolektif, peribadi dan negara.
Dari situ kita akan sedar bahawa kita juga perlu memelihara keaslian risalah Islam yang dibawa oleh baginda dalam kedua dua spektrum iaitu ilmu dan amal. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya kita mengejar status negara maju tetapi mengabaikan pembinaan identiti individu dan negara Muslim. Konsep kesatuan pula merupakan ciri-ciri umat pilihan yang perlu diuasahakan tanpa mengabaikan latar belakang organisasi yang berbeza.
Walakhir ciri ciri individu yang menghidupkan sunnah baginda tidak akan mengasingkan dirinya dari masyarakat. Bahkan mereka akan memimpin golongan bertaqwa bagi melaksanakan perintah Allah atau mencegah perkara yang mungkar. Allah berfirman dalam Surah Al Furqan ayat: 74.
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”
Perkara ini telah ditegaskan oleh Sheikh Muhammad Ahmad Ar Rashid:
“Ini adalah kerana untuk menyelesaikan permasalahan dunia Islam hari ini, tidak perlu kepada berpindahnya bilangan yang besar dari mereka yang lalai dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam.”
“Tetapi apa yang diperlukan ialah menyedarkan mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan kesungguhan mereka dan memperkenalkan kepada mereka jalan amal dan fiqh da’wah.”
“Masih ramai dari kalangan orang-orang mukmin, bilangan mereka sudah mencukupi untuk menegakkan kebaikan yang kita cita-citakan, tetapi dengan syarat apabila mereka mengenali tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), zuhud terhadap dunia, menjauhkan diri dari fitnah, sabar atas segala mihnah dan memahami seni memimpin ummat.”
Ustaz Khairul Fatihin b Saedal Atas
Penyelidk MUIS