Wakil MUIS Ditemu Bual NHK Japan Berhubung Isu Bon Odori

Hari Selasa, 15 Julai 2025 bersamaan dengan 19 Muharram 1447H, Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) terus melakar pencapaian bermakna apabila salah seorang penyelidiknya diberi peluang untuk menyampaikan pandangan hukum berkaitan penyertaan umat Islam dalam sambutan Bon Odori kepada stesen televisyen antarabangsa terkemuka NHK Japan
Temu bual eksklusif ini merupakan sebahagian daripada dokumentari khas NHK yang membincangkan pandangan rakyat Malaysia terhadap perayaan Bon Odori, sebuah acara kebudayaan Jepun yang kini semakin mendapat perhatian di negara ini. Turut ditemu bual dalam dokumentari tersebut ialah YAB Menteri Besar Selangor, menjadikan liputan ini lebih menyeluruh dan berwibawa.
Menariknya, pihak NHK telah menemui artikel yang ditulis oleh wakil MUIS pada tahun lalu berkaitan isu ini (rujuk artikel penuh di sini: https://muis.org.my/…/bon-odori-2024-toleransi-muslim…/), dan seterusnya menghubungi pihak MUIS untuk mengadakan sesi temu bual lanjut.
Dalam sesi tersebut, wakil MUIS menjelaskan bahawa meskipun terdapat perbezaan pandangan ulama dalam isu hukum menyertai Bon Odori antara yang mengharuskan dan yang mengharamkan , umat Islam perlu bertindak dengan kesedaran dan kejelasan prinsip. Walaupun ada dakwaan bahawa unsur pemujaan roh nenek moyang tidak lagi menjadi sebahagian daripada sambutan moden Bon Odori, asas dan falsafah asal sambutan itu tetap perlu diambil kira.
Ujarnya lagi, penyertaan umat Islam dalam acara silang budaya seperti Bon Odori hanya boleh dipertimbangkan jika tiada unsur syirik, percampuran bebas lelaki dan wanita, makanan dan minuman haram, atau hiburan melalaikan. Namun, memandangkan sukar untuk mencapai suasana ideal tersebut, beliau lebih cenderung kepada pandangan agar umat Islam menjauhi perayaan ini sebagai langkah ihtiyat bagi menjaga akidah dan identiti Muslim.
Beliau turut menegaskan bahawa seorang Muslim sejati seharusnya memiliki jati diri dan identiti yang jelas, dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur luar yang boleh melemahkan nilai keislaman.
MUIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NHK Japan atas ruang dialog yang diberikan, serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada wakil penyelidik atas usaha menyampaikan kefahaman Islam dengan hujah dan pendekatan wasatiyyah.
“Setiap pandangan dan tulisan kita, walaupun ringkas, boleh memberi impak yang jauh lebih besar daripada yang disangka,” ujar beliau.
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)