KolumnisUmum

Refleksi Bulan Muharram: Kenapa Al-Quran Belum Mengubah Kita?

Semoga tahun baru ini menginspirasikan kita keazaman untuk menjadi hamba Allah swt yang lebih baik dengan berpandukan al-Quran juga hadis Baginda SAW.

al-Quran kekal sebagai kitab petunjuk dan cahaya yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Esa untuk mengubah kehidupan manusia dan mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya.

Namun kita sering mendengar persoalan:

Mengapa al-Quran tidak mengubah kita seperti yang sepatutnya?

Mengapa kita tidak nampak kesannya dengan jelas dalam tingkah laku dan akhlak kita?

Ayuh kita muhasabah beberapa sebab serta cadangan penyelesaian praktikal untuk menghidupkan semula pengaruh al-Quran dalam hati dan kehidupan kita.

1. Membataskan bacaan Al Quran kepada tajwid tanpa tadabbur atau tindakan.

Membaca al-Quran dengan tajwid, makhraj dan sifat huruf, itmam harakah adalah satu perkara yang dituntut Tetapi membatasi diri dengannya tanpa diiringi tadabbur atau aplikasi menjadikan kita seperti orang yang membaca perkataan tanpa roh.

Allah Taala berfirman:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” [Muhammad: 24].

Al-Quran diturunkan untuk direnung dan diamalkan, bukan untuk dibaca semata-mata.

2. Kesibukan dengan urusan seharian.

Hari-hari kita dipenuhi dengan tanggungjawab, kerjaya dan tidak kurang juga peranti pintar. Sehingga kita lupa bahawa Al-Quran adalah sumber ketenangan dan perubahan sebenar.

Kita cuba letakkan keazaman untuk memperuntukkan masa tetap setiap hari, 10-20 minit untuk membaca dan tadabbur mana-mana ayat. Mungkin boleh pilih sebelum tidur seiring dengan muhasabah harian kita.

Mulakan dengan 1 ayat sehari sahaja sudah memadai. Pilih ayat, baca dan rujuk tafsirannya daripada sumber yang boleh dipercayai seperti “Tafsir al-Sa’di” atau “Tafsir al-Muyassar.”

Ia adalah sebagai penggalak dan penolak kepada diri kita untuk terus menghidupkan ma’ani al-Quran dalam diri. Justeru, kita hendaklah terus bertindak.

Ya, kita hendaklah beramal selari dengan ayat yang kita telah faham dan tadabbur. Kerana itulah yang telah dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW sehingga mereka muncul sebagai generasi agung yang tiada tandingannya dalam lipatan sejarah.

Dan jangan lupa, jangan segan, kongsikan apa yang kita telah fahami itu dengan kenalan-kenalan, rakan-rakan ataupun ahli keluarga kita. Walaupun ringkas.

Kerana perkongsian akan memantapkan kefahaman dan amal kita.

Semoga kita menjadi mukmin yang hebat yang merasai bagaimana al-Quran mengubah hati dan kehidupan kita kearah yang lebih baik, yang lebih bertakwa dan dekat dengan Allah SWT.

“اللهم اجعل القرآن ربيع قلوبنا ونور صدورنا وجلاء أحزاننا وذهاب همومنا.”

“Ya Allah, jadikanlah Al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya dada kami, penghapus kesedihan kami, dan penghapus kegelisahan kami.”

#SehariSatuAyat

#MUIS

#IslamWasatiy

Ustazah Elyah binti Ali

Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *