BeritaFiqh SemasaIlmiahKolumnisMalaysiaSoal JawabUmumUtama

Mengapa Mati Lemas Dianggap Syahid?

Salam takziah buat keluarga mangsa tragedi kemalangan menyayat hati yang mengorbankan enam sekeluarga di Sungai Korok, Jitra baru-baru ini.

Semoga Allah memberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran khususnya kepada anak sulung keluarga ini yang tidak terlibat dalam kemalangan untuk menghadapi saat-saat getir.

Mudah-mudahan mereka yang terkorban dikurniakan ganjaran syahid oleh Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Orang yang mati syahid itu ada lima: orang yang mati kerana taun, sakit perut, tenggelam, orang yang tertimpa runtuhan atau jatuh bangunan dan yang gugur di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa terdapat golongan tertentu yang dikira sebagai syahid akhirat. Antaranya orang yang mati akibat wabak (al-mat’ʿun), mati kerana penyakit perut (al-mabtun) dan termasuk juga yang mati tenggelam atau lemas (al-ghariq).

Mereka ini mendapat ganjaran syahid akhirat, iaitu diberi pahala syahid tetapi masih diurus seperti jenazah biasa (dimandikan, dikafankan dan disolatkan).

Ini berbeza dengan syahid kubra (syahid sebenar dunia akhirat) iaitu mereka yang mati berperang di jalan Allah dengan niat yang Ikhlas. Mereka bukan sahaja diberi pahala syahid di sisi Allah, malah jenazahnya tidak perlu dimandikan dan dikafankan.

Mengapa Kematian Lemas atau Tenggelam Dianggap Syahid?

Barangkali timbul persoalan: Jika mati tenggelam diberi ganjaran syahid, mengapa terdapat doa Nabi SAW yang menyebut agar kita berlindung daripada mati tenggelam?

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ، وَالْحَرَقِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kematian akibat runtuhan, terjatuh dari tempat tinggi, tenggelam, terbakar dan mati kerana gigitan (binatang berbisa).”(Riwayat Abu Daud & al-Nasa’ie)

Menurut al-Munawi dalam Fayd al-Qadir, Nabi SAW memohon perlindungan daripada kematian-kematian yang menyayat hati ini kerana:

• Ia menyakitkan dan mencemaskan, hingga seseorang mungkin tidak mampu mengekalkan keimanan pada saat-saat akhir.

• Ia berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Kemungkinan tinggi seseorang tidak sempat bertaubat, menulis wasiat, menyelesaikan hutang atau mengucap syahadah.

• Boleh jadi kematian ini menjadi laluan syaitan menghasut dan menyesatkan seseorang dalam detik sakaratul maut yang genting.

Dari sudut sains, kematian akibat lemas berlaku kerana kegagalan sistem pernafasan mendapatkan oksigen, satu keadaan dikenali sebagai hipoksia iaitu kekurangan oksigen pada tisu badan, khususnya otak dan jantung.

Mangsa yang tenggelam menahan nafas apabila terperangkap dalam air. Apabila tidak tahan, dia terpaksa menarik nafas, lalu air masuk ke saluran pernafasan. Ini menghalang oksigen daripada sampai ke paru-paru dan dalam beberapa minit, mangsa akan hilang kesedaran dan akhirnya mengalami kematian otak.

Kematian ini amat menyeksakan secara fizikal dan psikologi. Dada terasa sesak, otak seperti “terbakar” dan timbul rasa panik yang melampau. Disebabkan faktor inilah yang membuatkan Rasulullah memohon perlindungan daripadanya dan Allah menjanjikan pahala syahid kepada sesiapa yang diuji dengan kematian yang sangat berat seperti ini.

Kesimpulannya, Islam tidak menyuruh kita mencari maut secara sengaja semata-mata untuk memperoleh gelaran syahid. Bahkan, mendedahkan diri kepada bahaya adalah berdosa.

Kita tidak berdoa agar mati lemas supaya mendapat pahala syahid, namun, jika seseorang mendapat musibah tanpa disengajakan seperti lemas dalam kemalangan, maka Allah dengan rahmat-Nya mengurniakan pahala syahid akhirat sebagai balasan atas beratnya ujian itu.

Syahid adalah impian setiap mukmin sejati. Kita tidak dianjur untuk berdoa agar mati dengan cara tertentu, namun kita berdoa agar kematian dalam keadaan husnul khatimah.

Justeru, Rasululllah SAW mengajar kita untuk sentiasa berniat dan berdoa agar mati dalam keadaan syahid, bukan meminta mati mengejut, tetapi mengharapkan kesudahan yang terbaik di sisi-Nya.

Semoga Allah menerima mereka yang terkorban dalam tragedi Sungai Korok sebagai golongan yang syahid di sisi-Nya dan menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran besar buat kita yang masih hidup.

#SehariSatuAyat

#MUIS

#IslamWasatiy

Ustazah Dr. Nur Fatin Halil
Ketua Unit Penyelidikan
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *