BeritaFiqh SemasaIlmiahJenayah IslamKolumnisMalaysiaSoal JawabUmumUtamaWanita & Kekeluargaan

Ketaatan Kepada Tuhan Tak Perlu Statistik dan Penjelasan

Dalam Islam, hukum ditentukan oleh wahyu, bukan semata-mata oleh logik akal, statistik perubatan atau dapatan daripada eksperimen sains.

Sebagai contoh, zina dan perlakuan homoseksual adalah dua perbuatan yang dilarang dalam Islam. Kedua-duanya diharamkan secara qat‘ie (pasti), berdasarkan dalil-dalil yang jelas dan terang daripada Al-Quran dan Sunnah, disokong oleh ijmak (konsensus) para ulama.

Pengharaman zina dan homoseksual bukan atas dasar perlakuan ini mendatangkan kesan buruk dari kesihatan semata-mata. Sebagai contoh zina mengundang penyakit sifilis dan pelaku homoseksual menghidap HIV.

Benar, ia haram kerana kemudaratan yang terhasil dan manusia tidak boleh mendedahkan diri kepada kemudaratan. Tambahan lagi perlakuan sumbang ini tidak selari dengan Maqasid Syariah yang memelihara nasab dan maruah.

Namun, perlu ditegaskan bahawa, tanpa ada kesan buruk yang mendatang pun, larangan Allah tetap perlu ditinggalkan tanpa banyak soal.

Seorang Mukmin yang benar tidak menjauhi zina dan homoseksualiti kerana takut sifilis dan HIV. Tetapi Mukmin yang benar meninggalkan segala larangan kerana takut Allah.

Apa yang Allah perintahkan kita taat. Apa yang dilarang kita tinggalkan. Sami’na wa ato’na. Kami dengar dan kami taat.

Firman Allah SWT:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) dalam urusan mereka.” (Surah al-Ahzab: 36)

Semua perintah dan larangan Allah tidak bersyarat kepada wujudnya manfaat dan mudarat. Walaupun sains moden dan kajian perubatan mendapati pelbagai kesan buruk daripada zina dan homoseksualiti, pengharamannya telah ditetapkan Allah sebelum semua itu diketahui manusia. Apatah lagi setelah kita mengetahui mudarat di sebaliknya, ia semakin menambah keyakinan dan meneguhkan keimanan.

Justeru, elemen terpenting dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu sosial terutamanya zina, homoseksualiti dan LGBT yang semakin berleluasa kini adalah menyuburkan rasa bertuhan dalam diri individu bermula dari kecil lagi. Pendekatan agama sebenarnya adalah pendekatan yang paling ampuh dalam mendepani segala permasalahan sosial.

Bukankah kita semua berpegang dengan prinsip mencegah lebih baik daripada merawat? Kita tidak mahu “sudah terhantuk baru terngadah”. Pendidikan awal, kempen kesedaran, abstinen (menahan diri) dan pengurusan nafsu adalah perkara utama yang wajib diperkasakan.

Usaha yang hanya memfokuskan kepada rawatan dan intervensi terhadap pesakit seperti pemberian pil pencegah kehamilan kepada wanita yang aktif berzina dan pemberian PrEP kepada pelaku homoseksual hanyalah satu usaha responsif dan bersifat jangka pendek terhadap gejala ini. Bahkan ia berpotensi meningkatkan lagi risiko dan menggalakkan maksiat ini untuk terus berleluasa.

Bukan itu sahaja, jika kita hanya menegaskan keburukan zina dan homoseksualiti dari sudut kesihatan semata-mata, suatu masa nanti, pastinya ada golongan yang sentiasa mencari jalan untuk menghalalkan perbuatan ini. Kemungkinan terdapat pihak yang berjaya menemui penawar penyakit kelamin dan HIV. Ketika tiada lagi penyakit ini di dunia, adakah zina dan homoseksualiti sudah menjadi halal?

Kesimpulannya, seorang Muslim tidak menunggu bukti kerosakan untuk taat. Ketaatan kita bukan kerana takut mudarat, tetapi kerana yakin bahawa perintah Allah itu benar dan larangan-Nya pasti mengandungi hikmah walau belum difahami.

Inilah didikan dan pendirian yang perlu kita terapkan kepada anak-anak kita. Rawatlah segala permasalahan dari akar umbi iman, bukan rawatan yang sekadar di permukaan.

Hukum syarak yang muktamad juga tidak tunduk kepada perubahan zaman atau hujah golongan liberal yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Ayuh kita nyatakan sokongan kepada Menteri Agama kita yang menyatakan pendirian beliau dalam menolak normalisasi maksiat. Di media-media sosial liberal terutamanya yang berbahasa Inggeris, beliau dihentam teruk atas nama kebebasan melakukan maksiat.

Katakan TIDAK kepada normalisasi maksiat.

Kenyataan YBhg. Dato’ Setia Dr. Naim: https://www.facebook.com/share/p/1BoYacBGWN/

Semoga Allah memelihara kita semua.

#SehariSatuAyat

#MUIS

#IslamWasatiy

Ustazah Dr. Nur Fatin Halil
Ketua Unit Penyelidikan
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *