Pelajar Maut Dalam Kemalangan Mendapat Syahid Akhirat

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi, boleh dikategorikan sebagai syahid akhirat.
Namun, kesimpulan ini berdasarkan pandangan ulama, adalah berhubung kematian bukan berpunca daripada kecuaian sendiri. Para ulama memberikan pelbagai pandangan mengenai orang yang terbunuh akibat kemalangan jalan raya dan secara dasarnya ia bergantung kepada sebab berlaku kejadian itu sama ada akibat kecuaian sendiri atau menjadi mangsa kecuaian orang lain.
Dalam hal ini, terdapat ulama berpendapat kematian seorang penuntut ilmu dalam perjalanan akibat kemalangan yang bukan berpunca daripada kecuaiannya sendiri dan mempunyai tujuan menuntut ilmu, boleh dikiaskan sebagai kematian syahid akhirat, sebagaimana mati akibat ditimpa bangunan atau lemas.
Merujuk kes tragedi kemalangan UPSI ini, pelajar terkorban termasuk dalam kematian bukan kecuaian sendiri.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA berkaitan kematian syahid akhirat,
عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
“الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”
Katanya, sabda Rasulullah itu bermaksud ‘orang yang mati syahid lima golongan iaitu mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah. (Riwayat al-Bukhari, 653).
Pandangan Para Ulama’
Shaikh Abd al-Rahman al-‘Asimi turut menyatakan antara golongan yang mendapat syahid akhirat ialah orang yang mati ketika sedang menuntut ilmu, sama ada melalui penulisan, pengajaran atau menghadiri majlis ilmu.
Imam al-Suyuti dan Imam al-Ajhuri pula menyatakan bilangannya sehingga 30 golongan dan di antaranya juga ialah orang yang keluar mencari nafkah untuk orang di bawah tanggungannya,
قال الإمام الأجهوري في «حاشية الروض المربع» (٣/٥٥):
“وَقِيلَ: أَنْوَاعُ الشَّهَادَةِ تَزِيدُ عَلَى ثَلَاثِينَ نَوْعًا، مِنْهَا: الْغَرِيقُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْمَهْدُومُ، وَالْمَطْعُونُ، وَالْمُدَافِعُ عَنْ دِينِهِ أَوْ نَفْسِهِ أَوْ مَالِهِ، وَالْمُرَابِطُ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِوَجَعِ النِّفَاسِ، وَالْمُحْتَسَبُ الْخَارِجُ لِطَلَبِ الْمَعِيشَةِ لِعِيَالِهِ، وَالْمَقْتُولُ دُونَ جَارِهِ، وَغَيْرُ ذَلِكَ.”
Dikatakan: Jenis-jenis kesyahidan itu melebihi tiga puluh jenis, antaranya: orang yang mati lemas, mati kerana penyakit perut, mati tertimbus, mati kerana wabak, orang yang mempertahankan agama, diri atau hartanya, orang yang bermurabit (berjaga di sempadan jihad), wanita yang meninggal kerana nifas, orang yang keluar mencari rezeki untuk keluarga secara ikhlas, orang yang dibunuh kerana mempertahankan jiran, dan selainnya.
-Kitab Hasyiyah al-Raudh al-Murabba’, 3/55.
Dalam Muwatta’ Imam Malik, juga dibawakan hadith yang menerangkan tentang hal ini,
عنْ جَابِرِ بْنِ عَاتِكٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
“الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللهِ: الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَةٌ، وَالْمُحْتَرِقُ شَهِيدٌ.”
📚 [الموطأ، كتاب الجهاد، باب ما جاء في الشهادة، رقم الحديث: 987]
Nabi SAW bersabda ‘orang yang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh iaitu korban wabak taun, mati kerana tenggelam, penderita penyakit radang paru-paru, mati kerana sakit perut, mati akibat tertimpa runtuhan, seorang wanita mati kerana melahirkan anak dan orang mati kebakaran (Riwayat Malik)
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, mereka termasuk di dalam katogeri golongan yang mendapat kematian syahid akhirat. Marilah kita mendoakan mereka agar mendapat tempat yang tertinggi di dalam syurga, serta mendoakan ahli keluarga mereka agar diberikan kekuatan dan kesabaran tatkala menghadapi ujian sebegini.
Wallahu’alam
Dato’ Haji Zamri bin Hashim
Pengerusi
Muafakat Ilmuan Islam