Perlu ambil tindakan segera isu penghinaan Agama Islam
IPOH: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap isu berkaitan penghinaan agama khususnya agama Islam bagi mengelakkan rakyat mengambil tindakan sendiri yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, bertepatan prinsip umat Islam dalam mempertahankan agama, dituntut untuk ummah berasa tidak selesa terhadap usaha memperlekeh dan menghina agama khsususnya Islam.
“Bukan ciri orang beriman kalau dia tidak kisah apa yang berlaku kepada agama (termasuk) dihina. Dalam al-Quran pun banyak disebut ayat-ayat larangan iaitu jangan bergaul, berkawan, dan duduk sekali bersama orang-orang yang mempersenda dan mempermainkan agama.
“Pihak berkuasa pun kena ambil tindakan pantas sebelum nanti rakyat hilang pertimbangan dengan membuat tindakan sendiri, yang mana ia akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya menerusi video ringkas berdurasi 1.49 minit yang disiarkan menerusi Facebook (FB) PerakFM, semalam.
Zamri, menerusi video itu ditanyakan persoalan mengenai tindakan sewajarnya yang harus dilakukan untuk mempertahankan agama jika Islam dipersenda dan diperlekehkan.
Beliau turut ditanyakan apa yang harus dilakukan jika berdepan situasi penghinaan terhadap agama Islam, sama ada di media sosial mahupun dalam pergaulan seharian.
Mengulas lanjut, Zamri berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunya satu saluran aduan yang khusus berkaitan penghinaan agama Islam, bahkan aduan juga boleh dibuat terus kepada jabatan agama Islam negeri (JAIN) selain melaporkan hal itu kepada polis.
“Ia supaya perkara ini tidak berleluasa. Jadi itu perkara yang perlu dibuat oleh umat Islam dan (manakala) pihak berkuasa pun kena mengambil tindakan pantas sebelum nanti rakyat hilang pertimbangan,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 261 laporan berhubung isu penghinaan agama Islam dan Hindu di seluruh negara.
Ia membabitkan 150 laporan terhadap seorang pendakwah, kes penyampai radio (73 laporan) dan 38 laporan membabitkan dua individu disyaki menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau menerusi dua video berasingan.
Suntingan daripada Berita Harian.