BeritaDakwahFiqh SemasaIlmiahKolumnisMalaysiaSoal JawabUmumUtama

Drama Islamik Disulami Kelucahan?

  1. Heboh baru-baru ini mengenai drama berunsur Islamik yang disulami dengan elemen kelucahan. Ketika ditanya mengenai isu ini, pengarahnya memberikan jawapan bahawa filem itu ingin sekadar membawa mesej agama.
  2. Pada hakikatnya, dalam membawa mesej Islam, unsur kelucahan sama sekali tidak diperlukan malah ia jelas bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri. Mesej Islam akan tetap sampai tanpa elemen kelucahan. Begitu juga Matlamat yang baik tidak menghalalkan cara.
  3. Mungkin juga babak ini merupakan elemen kontroversi terancang bagi bertujuan menarik penonton melalui konsep β€œbad marketing.” Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam. Rasulullah mengecam pengusaha sebegini yang menggunakan elemen kejelekan dalam produksi mereka. Sabda Rasulullah:

    Ψ₯ΩΩ†ΩŽΩ‘ Ψ§Ω„ΨͺΩΨ¬ΩŽΩ‘Ψ§Ψ±ΩŽ ΩŠΩΨ¨ΨΉΩŽΨ«ΩΩˆΩ†ΩŽ ΩŠΩŽΩˆΩ…ΩŽ Ψ§Ω„Ω‚ΩΩŠΩŽΨ§Ω…ΩŽΨ©Ω ΩΩΨ¬ΩŽΩ‘Ψ§Ψ±Ω‹Ψ§ ، Ψ₯ΩΩ„ΩŽΩ‘Ψ§ Ω…ΩŽΩ† Ψ§ΨͺΩŽΩ‘Ω‚ΩŽΩ‰ Ψ§Ω„Ω„ΩŽΩ‘Ω‡ΩŽ ΩˆΩŽΨ¨ΩŽΨ±ΩŽΩ‘ ΩˆΩŽΨ΅ΩŽΨ―ΩŽΩ‚ΩŽ

β€œSesungguhnya para pengusaha (peniaga) akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan β€œfujjar” (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.” (HR al-Tirmizi)

  1. Malah Rasulullah turut mengecam pengusaha yang menggunakan elemen lagha (sia-sia) dalam produk mereka apatah lagi mereka yang menggunakan unsur-unsur kelucahan yang menjengkelkan. Sabda Rasulullah:

يَا Ω…ΩŽΨΉΩ’Ψ΄ΩŽΨ±ΩŽ Ψ§Ω„ΨͺΩ‘ΩΨ¬Ω‘ΩŽΨ§Ψ±ΩΨŒ Ψ₯ΩΩ†Ω‘ΩŽ Ω‡ΩŽΨ°ΩŽΨ§ Ψ§Ω„Ω’Ψ¨ΩŽΩŠΩ’ΨΉΩŽ ΩŠΩŽΨ­Ω’ΨΆΩΨ±ΩΩ‡Ω Ψ§Ω„Ω„Ω‘ΩŽΨΊΩ’ΩˆΩΨŒ ΩˆΩŽΨ§Ω„Ω’Ψ­ΩŽΩ„ΩΩΩΨŒ ΩΩŽΨ΄ΩΩˆΨ¨ΩΩˆΩ‡Ω Ψ¨ΩΨ§Ω„Ψ΅Ω‘ΩŽΨ―ΩŽΩ‚ΩŽΨ©Ω

β€œWahai para peniaga, sesungguhnya perusahaan ini akan disertai dengan unsur lagha (sia-sia dan dosa) dan sumpah (bagi tujuan melariskan). Maka hapuskanlah ia dengan sedekah.” (HR Ahmad)

  1. Namun sekiranya elemen ini dimuatkan secara sengaja, adakah kita ingin mencari sumber pendapatan melalui jalan yang dicegah oleh Allah? Adakah makanan yang bakal menjadi darah daging kita ini, kita kaut hasilnya melalui elemen yang jelas dibenci oleh Rasulullah. Sumber yang haram akan pasti mengganggu ibadah dan doa kita. Sabda Rasulullah:

Ψ«ΩΩ…Ω‘ΩŽ Ψ°ΩŽΩƒΩŽΨ±ΩŽ Ψ§Ω„Ψ±Ω‘ΩŽΨ¬ΩΩ„ΩŽ ΩŠΩΨ·ΩΩŠΩ„Ω Ψ§Ω„Ψ³Ω‘ΩŽΩΩŽΨ±ΩŽ Ψ£ΩŽΨ΄Ω’ΨΉΩŽΨ«ΩŽ Ψ£ΩŽΨΊΩ’Ψ¨ΩŽΨ±ΩŽΨŒ ΩŠΩŽΩ…ΩΨ―Ω‘Ω ΩŠΩŽΨ―ΩŽΩŠΩ’Ω‡Ω Ψ₯ΩΩ„ΩŽΩ‰ Ψ§Ω„Ψ³Ω‘ΩŽΩ…ΩŽΨ§Ψ‘ΩΨŒ يَا Ψ±ΩŽΨ¨Ω‘ΩΨŒ يَا Ψ±ΩŽΨ¨Ω‘ΩΨŒ ΩˆΩŽΩ…ΩŽΨ·Ω’ΨΉΩŽΩ…ΩΩ‡Ω Ψ­ΩŽΨ±ΩŽΨ§Ω…ΩŒΨŒ ΩˆΩŽΩ…ΩŽΨ΄Ω’Ψ±ΩŽΨ¨ΩΩ‡Ω Ψ­ΩŽΨ±ΩŽΨ§Ω…ΩŒΨŒ ΩˆΩŽΩ…ΩŽΩ„Ω’Ψ¨ΩŽΨ³ΩΩ‡Ω Ψ­ΩŽΨ±ΩŽΨ§Ω…ΩŒΨŒ وَغُذِيَ Ψ¨ΩΨ§Ω„Ω’Ψ­ΩŽΨ±ΩŽΨ§Ω…ΩΨŒ ΩΩŽΨ£ΩŽΩ†Ω‘ΩŽΩ‰ ΩŠΩΨ³Ω’Ψͺَجَابُ Ω„ΩΨ°ΩŽΩ„ΩΩƒΩŽΨŸ

β€œKemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dipenuhi dengan sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan diterima? (HR Muslim).

Semoga Allah membimbing kita.

Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Timbalan Pengerusi
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *