JAKIM perlu diberikan ruang dalam meletakkan garis panduan melawat rumah ibadat bukan Islam
MUIS menyeru semua rakyat Malaysia berpegang kepada asas kenegaraan yang menjadikan Islam sebagai agama negara, justeru setiap gerakerja dan dasar mesti menjadikan Islam sebagai aspirasi dan rujukan utama.
MUIS berpandangan hukum bagi seseorang muslim dalam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam tertakluk kepada pertimbangan maslahat dan mudarat.
Ini kerana tempat itu merupakan tempat berlakunya pelbagai bentuk ibadat dan ritual yang melibatkan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan dan laknat Allah SWT. Ia sepatutnya tempat yang dijauhi oleh mana-mana muslim agar tidak terjerumus dalam laknat Allah SWT.
MUIS berpandangan bahawa sewajarnya JAKIM diberikan ruang dan autoriti dalam meletakkan garis panduan dalam melawat rumah ibadat bukan Islam, selaras dengan prinsip siasah syar’iyyah dalam mengurus kepentingan awam.
MUIS melihat bahawa paksi kenegaraan Islam adalah tonggak perpaduan dan kerukunan negara Malaysia selama ini. Tidak timbul sebarang provokasi atau tindakan negatif apabila dasar dan polisi dibina atas asas itu, kerana selama ini Malaysia sejahtera atas asas kenegaraan yang terbina sejak sekian lama.
MUIS menzahirkan kekhuatiran apabila terdapat isyarat tertentu dalam kenyataan rasmi pihak berwajib apabila menyatakan seolah-olah polisi cadangan JAKIM perlu di-lembut-kan dengan persetujuan para jemaah Menteri yang juga terdiri dari kalangan bukan Islam.
MUIS ingin menekankan sewajarnya perihal keagamaan dan amalan umat Islam adalah di bawah tanggungjawab umat Islam sendiri. Justeru, persetujuan dari pihak bukan Islam terhadap elemen keagamaan orang Islam adalah satu perkara yang tidak diperlukan, bahkan ia boleh menjadi ancaman terhadap identiti negara yang selama ini terbina.
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)