BeritaMalaysia

Campur tangan bukan Islam dalam garis panduan umat Islam mampu mengundang ketegangan kaum

BANGI, 18 SYAABAN — Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) bimbang campur tangan bukan Islam dalam garis panduan kepada umat Islam mampu mengundang ketegangan kaum. 

Setiausaha Agungnya, Ahmad Syamil Mohd Esa berkata umat Islam yang berasa tercabar dikhuatiri mengambil tindakan sendiri menentang golongan tertentu.  

“Kalau mereka cuba masuk campur dalam hal ini, saya risau kekacauan mungkin berlaku kerana agama kita seolah-olah dicabar.

“Garis panduan ini bukan ijtihad mana-mana pihak. Ia adalah hukum-hakam jelas yang disenaraikan supaya mudah diikuti. Semuanya ada dalil yang merupakan arahan agama. 

“Kalau bukan Islam cuba kritik atau kecam, ia sudah melanggar tata cara kenegaraan kita yang menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya kepada TV Pertiwi. 

Datuk Mohd Na’im Mokhtar awal bulan ini memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilarang menetapkan dasar untuk umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata JAKIM bagaimanapun dibenar memberikan nasihat kepada umat Islam.

Ahmad Syamil berkata bukan Islam sepatutnya tidak campur tangan urusan umat Islam yang mahu memelihara akidah daripada ritual tertentu.

Katanya, umat Islam berhak menetapkan garis panduan mereka sendiri berpandukan firman Allah dan hadis Nabi Muhammad SAW.  

“Hak agama Islam itu patutnya tidak boleh dipertikai. Bila kita kata garis panduan, ini hak umat Islam. Janganlah bangkit dasar pelbagai kaum dan sebagainya.

“Kita menghormati mereka tetapi kita tidak boleh menyertai aktiviti agama mereka. Kita tidak boleh turut serta menjadi seperti mereka. Ini dilarang dalam agama. 

“Sama seperti larangan meminum arak atau menyalakan colok dan sebagainya. Kita ada garis panduan halal dan haram. Kamu ada garis panduan agama kamu,” katanya.  

Oleh Wartawan TV PertiwI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *