Adakah Sahabat R.A Tidak Pandai Jaga Akidah?
- Ketika berjaya menguasai Mekah, Rasulullahﷺ mengarahkan para sahabat supaya meruntuhkan semua berhala. Menurut al-Bukhari terdapat hampir 360 buah berhala dan Rasulullahﷺ sendiri yang memukulnya dengan tongkat Baginda. Apakah Rasulullahﷺ tidak menghormati hak Quraysh untuk beragama? Apakah Rasulullah tidak menjaga agama lain?
- Malah Rasulullahﷺ memerintahkan para sahabat untuk meruntuhkan berhala disekitar Mekah. Khalid al-Walid meruntuhkan berhala terbesar iaitu al-Uzza yang terletak di Nakhlah (HR al-Nasai’i & al-Bayhaqi). Saidina Amru al-As pula menghancurkan berhala Suwa’ (Ibn Sa’d, al-Tabaqat), manakala Sa’d ibn Zaid pula menghapuskan berhala Manah.
- Mengapa Rasulullahﷺ mengarahkan sahabat untuk menghancurkan berhala sembahan Qurasyh? Apakah Bagindaﷺ tidak menghormati dan memberi hak beragama Quraysh? Atau apakah iman para sahabat senipis kulit bawang? Takkan tengok berhala sahaja boleh menyebabkan mereka ingin kembali kepada kekufuran?
- Dari satu aspek, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa arahan Rasulullahﷺ ini adalah bagi memelihara Muslim itu sendiri dari terpedaya atau terpesona untuk kembali kepada kekufuran. Lihatlah bagaimana sahabat yang mempunyai keimanan yang tinggi tersebut masih boleh terdedah kepada fitnah akidah ini. Sekalipun Bagindaﷺ ada di sisi mereka, Bagindaﷺ memastikan agama seorang Muslim itu terpelihara dahulu.
- Dengan sebab itu ketika mana Saidina Umar membawa Taurat dan dibaca di sisi Rasulullahﷺ, Baginda menjadi marah dan berkata: Apakah engkau terpesona dengannya wahai Ibn al-Khattab? (HR Ahmad & al-Nasai’i). Menurut al-Qurtubi, larangan Rasulullahﷺ ini bagi mengelakkan mereka yang tidak mahir dengan agama lain daripada terpengaruh sehingga meninggalkan Islam. (al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran).
- Lihatlah bagaimana Bagindaﷺ mengutamakan memelihara agama dan akidah Muslim itu sendiri dengan tindakan yang sangat tegas. Bukan kerana iman sahabat Nabi itu senipis bawang, tetapi kerana langkah pemeliharaan akidah itu sangat utama. Begitulah tugas pemimpin.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Timbalan Pengerusi MUIS