Mimpi yang perlu diletakkan pada kedudukannya yang sepatutnya

Antara kelebihan Islam adalah ia menjadikan sumber wahyu sebagai salah satu sumber yang muktamad, digandingkan dengan khabar yang sahih dan dapatan akal yang sejahtera.
Mimpi yang benar (ru’ya salihah) adalah sebahagian daripada saki baki Nubuwwah, seperti hadis Nabi SAW bahawa ia adalah 1/46 Nubuwwah.
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Apabila Kiamat semakin hampir, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak dusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian…”
(Riwayat al-Bukhari (7017))
Dalam hadith yang lain juga, daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا
Maksudnya: “Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya.”
(Riwayat Muslim (6042))
Kedudukan mimpi bagi para anbiya’ adalah wahyu yang benar, memberinya satu bentuk pengarahan dan di sisi mereka adalah dalil yang absah untuk diikuti.
Adapun bagi selain anbiya’, mimpi terdedah kepada pelbagai tafsiran, bergantung kepada kesolehan yang bermimpi, dan apa yang dilaluinya. Ia bertujuan memberi isyarat tertentu samada berita gembira, persediaan atau ancaman tertentu.
Walaupun mimpi mempunyai keistimewaan yang tertentu, kedudukannya tetap tidak mampu mencapai tahap dalil yang membawa kepada satu arahan bersifat wahyu yang tertakluk pada umat secara keseluruhannya.
Dalam masa yang sama, mimpi manusia terbahagi kepada permainan jiwa (hadith nafs), atau permainan syaitan, atau mimpi yang benar daripada Allah, yang menjadikannya tidak konsisten pada sesuatu masa berbanding masa yang lain.
Kedudukannya sebagai mubasyirat, dan berbentuk isyarat menjadikannya lemah dan tidak dapat menandingi dalil syarak yang lain yang menjadi hujjah pemutus ke atas semua manusia.
Oleh itu, mimpi orang soleh memerlukan penafsiran daripada ahli yang mempunyai kepakaran dalam ta’bir mimpi, lalu diletakkan pada tempat yang sesuai untuk tindakan yang tertentu, yang semestinya melibatkan pihak yang bermimpi itu secara langsung.
Walaupun demikian, sebarang tindakan yang terhasil dari sesebuah mimpi, tetap perlu ditapis dan dilandasi prinsip-prinsip syariah yang jelas, di samping mendapat pandangan para ulamak dalam menentukan keselariannya dengan tuntutan syarak semasa.
Umat Islam pada hari ini seharusnya dididik untuk berpegang pada perkara yang muhkamat (perkara yang tidak perlu ditafsirkan) dan musallamat (perkara yang tidak dipertikaikan) yang tiada sebarang pertikaian dan perspektif lain, berbanding didedahkan dengan perkara seumpama mimpi, ilham dan seumpamanya.
Wasatiyah Islam menuntut untuk kita membesarkan perkara yang besar, dan meletakkan perkara yang kecil pada kedudukannya, agar kita tidak meletakkan sesuatu melebihi kadarnya, atau mengurangkan sesuatu daripda kadar yang sepatutnya.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung
Muafakat Ilmuan Islam