Fiqh SemasaHadisIlmiahKolumnisMalaysiaUmum

Jangan Bermudah-mudah Di dalam Soal Halal dan Haram



Mengikut pendapat Ibnul Khaldun di dalam kitabnya Al-Muqaddimah, beliau telah menyebut bahawa tabiat dan kelakuan seseorang manusia itu boleh terbentuk berdasarkan apa yang dia selalu makan. Di samping itu juga, para ulama’ kaum Muslimin turut bersetuju tanpa khilaf bahawa seseorang yang makan  makanan yang halal, maka ia akan menghasilkan tabiat dan kelakuan yang baik.

Sebaliknya, jika seseorang itu makan makanan haram, bahkan tidak mempedulikan tentang soal halal haram, maka tidak pelik jika tingkah lakunya dan tutur katanya tidak selari dengan akhlak yang terpuji. Bahkan  pemikirannya turut menjadi keliru untuk membezakan di antara manakah yang halal dan manakah yang haram.

Benarlah sabda Nabi Shallallahu‘alaihiwasallam,

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan”.

Riwayat Muslim (107)

Apabila makanan yang haram dikonsumsi, kita khuatiri ia akan menjerumuskan kita ke dalam dosa dan neraka. Dalam suatu hadith, Rasulullah Shallallahu‘alaihiwasallam pernah menasihati sahabatnya  Sayyidina Ka’ab bin ‘Ujroh,

يَا كَعْبُ بْنَ عُجْرَةَ إِنَّهُ لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلاَّ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

“Wahai Ka’ab bin ‘Ujrah, sesungguhnya tidaklah daging (anggota badan) yang tumbuh berkembang dari sesuatu yang haram kecuali semua itu lebih berhak dibakar dalam api neraka.”


(HR. Tirmidzi, no. 614. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan).

Justeru itu, kita hendaklah berwaspada terhadap setiap yang masuk ke dalam mulut kita dan ahli keluarga kita.

Di dalam agama Islam, soal halal dan haram merupakan suatu urusan yang berada di dalam kategori al-Ma’lum min ad-Din bi Dharurah, yakni bermaksud perkara tersebut tidak boleh seseorang Muslim itu jahil mengenainya, terutama apabila melibatkan hukum halal dan haram. Sekali lagi dalam hal ini, seorang Muslim tidak boleh alpa atau cuai terhadap apa yang disuapkan ke dalam mulutnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman di dalam Al-Quran,

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu.

(Surah al-An’am: 119)

Syari’at Islamiyyah telah menjelaskan dengan terperinci mengenai pantang larang ataupun garis merah dalam isu ini, maka tidak patut seseorang Muslim itu jahil mengenainya.

Kamil ingin menaqalkan sebuah pesanan yang mendalam oleh Syeikh Muhammad Metwalli al-Sha’rawi rahimahullahuta’ala mengenaikan apakah kesan apabila seseorang itu bermudah-mudah dalam isu ini,

من أكل بباطل جاع بحق

Maksudnya, “ Sesiapa yang memakan sesuatu dengan kebatilan, maka dia akan kelaparan daripada (memperoleh) kebenaran.”

Syeikh Muhammad Metwalli al-Sha’rawi menerangkan lagi dalam syarahannya,

“mana-mana manusia yang memakan harta manusia dengan cara yang haram, rasuah, makan makanan yang haram, mengambil riba, atau mencuri, maka kesemua itu adalah termasuk di dalam memakan kebatilan.

Oleh sebab itu, mereka akan kelaparan daripada kebenaran, dengan cara Allah ‘azza wa jal akan mengharamkan segala kebaikan, serta menimpakan penyakit kepada mereka walaupun  mungkin si fulan berkata,- sesungguhnya aku sakit adalah disebabkan makanan sekian dan sekian, padahal Allah telah mengharamkan kebaikan daripada makanan tersebut meskipun asalnya adalah halal-.”

Akhir sekali, sebagai peringatan bersama, janganlah kita bermudah-mudah dalam soal halal dan haram dalam pemakanan. Kita harus bersyukur kerana banyaknya nikmat makanan halal yang dikurniakan Allah kepada kita. Oleh itu, kami tutup tulisan ini dengan sebuah firman Allah taala di dalam Surah ‘Abasa yang memerintahkan kita agar merenungi nikmat-Nya iaitu termasuklah nikmat makanan,

فَلْيَنظُرِ ٱلْإِنسَـٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ

“maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya”.

Surah ‘Abasa, ayat ke 24.

Wallahu’alam.

Ustaz Fitri Adnan

Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *