Krisis Kemanusiaan:Mengapa Pembunuhan Semakin Berleluasa?

Krisis Kemanusiaan:Mengapa Pembunuhan Semakin Berleluasa?
Akhir-akhir ini, berita tentang pembunuhan seolah-olah menjadi sesuatu yang kerap kita dengar. Kes pembunuhan di bandar atau kawasan luar bandar, kini semakin sering muncul di tajuk utama berita akhbar tempatan juga media massa.Apa yang kita semua perasan bahawa sekarang ini pembunuhan bukan lagi isu yang mengejutkan, tetapi sesuatu yang semakin menjadi kebiasaan.Menunjukkan kepada kita bahawa masyarakat hari ini berada dalam masalah kemerosotan moral dan sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Firman Allah SWT di dalam Al Quran ,Surah Al Baqarah, ayat 191,
وَٱلْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۚ
Yang bermaksud, “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…”
Berdasarkan ayat di atas jelas bahawa fitnah atau huru-hara masyarakat sering menjadi punca kepada keganasan termasuk pembunuhan, Sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam,
عن أبي هريرة، قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم : والذي نفسي بيده ليأتينَّ على الناس زمانٌ لا يدري القاتلُ في أيِّ شيء قَتَل، ولا يدري المقتولُ على أيِّ شيء قُتِل.
Maksudnya, “Akan datang suatu zaman di mana orang yang membunuh tidak tahu mengapa dia membunuh.dan orang yang dibunuh tidak tahu mengapa dia dibunuh.Maka fitnah (kekacauan)akan tersebar luas dan setiap pembunuhan terjadi tanpa sebab yang jelas.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Petanda akhir zaman dimana pembunuhan berleluasa tanpa sebab yang jelas dan orang ramai hilang arah serta moral dalam kehidupan.
Ini menimbulkan persoalan penting: Mengapa fenomena ini semakin berleluasa?
Adakah punca utama pembunuhan ini adalah kemiskinan dan juga ketidakstabilan ekonomi?
Seperti yang kita maklum sekarang ini, ramai individu berada dalam tekanan yang amat berat akibat kesempitan hidup. Antara permasalahan yang dihadapi mereka adalah kekurangan dalam keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pendidikan. Untuk mengatasi masalah kekurangan keperluan semua itu, ada juga mereka yang tersalah memilih jalan, semata-mata ingin melepaskan diri daripada bebanan tersebut. Dalam beberapa kes, tekanan ekonomi ini menjadikan mereka mudah terlibat dalam jenayah, termasuk pembunuhan. Walaupun kemiskinan bukan satu-satunya faktor, ia sering mencetuskan keadaan yang memungkinkan seseorang melakukan tindakan yang melampau disebabkan tekanan emosi.
Selain kemiskinan, kegagalan sistem keadilan juga merupakan faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar pembunuhan. Apabila jenayah tidak dihukum dengan sewajarnya atau siasatan terhadap kes-kes jenayah berjalan lambat, pesalah mungkin merasakan bahawa mereka boleh terlepas dari hukuman. Ini bukan sahaja memberikan ruang kepada pelaku jenayah untuk mengulangi kesalahan mereka, tetapi juga mencipta rasa ketidakadilan dalam kalangan masyarakat. Rasa tidak puas hati terhadap sistem undang-undang yang ada, terkadang membawa kepada tindakan membalas dendam atau penyelesaian konflik dengan cara yang ganas.
Selain dua faktor di atas, pengaruh media juga tidak boleh diabaikan. Dalam era digital ini, kita sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk media—daripada filem hingga permainan video—yang sering memaparkan keganasan sebagai jalan penyelesaian kepada masalah. Pendedahan berulang kepada keganasan yang digambarkan dalam media boleh menyebabkan individu tertentu melihat keganasan sebagai sesuatu yang normal atau wajar. Apa yang terjadi hari ini sangat membimbangkan kerana dengan adanya platform media sosial, yang mana banyak berita mengenai keganasan tersebar dengan pantas, sekali gus mencetuskan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, masalah kesihatan mental yang tidak diurus dengan baik juga merupakan salah satu faktor penyebab keganasan. Kemurungan, gangguan personaliti, serta trauma akibat tidak mendapat sokongan dan bantuan sepatutnya. Hal ini boleh menyebabkan individu tersebut bertindak secara ganas, termasuk melakukan pembunuhan. Sokongan kesihatan mental yang kurang dan stigma terhadap isu-isu mental hanya memburukkan lagi keadaan ini.
Kesan dari gelombang pembunuhan ini sangat besar dan meluas. Kita boleh bahagikan kepada dua sudut.
Pertama adalah dari sudut psikologi. Trauma yang dialami oleh keluarga mangsa dan masyarakat sekitar sangat mendalam. Setiap hari makin rasa tidak selamat bila keluar, dan kepercayaan terhadap keselamatan awam semakin terhakis. Orang ramai mula hidup dalam ketakutan, mempersoalkan sama ada mereka atau orang yang mereka sayangi akan menjadi mangsa seterusnya.
Dan yang kedua adalah dari sudut ekonomi. Jenayah keganasan seperti pembunuhan akan menyebabkan perbelanjaan kos yang tinggi, baik dari segi perbelanjaan penguatkuasaan undang-undang, mahupun kos perubatan untuk mereka yang terselamat.
Berikt adalah cadangan bagi langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah ini,
Pertama, memperkuatkan sistem keadilan. Ini adalah salah satu langkah yang sangat penting. Undang-undang mesti dikuatkuasakan dengan tegas, dan pesalah jenayah mesti dihukum dengan sewajarnya.
Kedua, mempromosikan pendidikan tentang penyelesaian konflik secara aman, terutamanya di kalangan golongan muda.
Ketiga, memberikan akses kepada masyarakat supaya sokongan kesihatan mental yang mencukupi, untuk membantu mereka yang berisiko terlibat dalam keganasan.
Keempat dan akhir sekali, memfokuskan sikap damai dan kasih sayang daripada pihak media dalam menyebarkan mesej kepada masyarakat, dan bukannya menormalisasikan keganasan.
Secara keseluruhannya, semua peringkat perlu bertanggungjawab dan perlu berusaha untuk memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah pembunuhan ini. Ia memerlukan tindakan kolektif daripada pelbagai pihak samada kerajaan, masyarakat, mahupun individu, untuk menangani akar umbi permasalahan ini. Seterusnya, mestilah menegakkan keadilan, menyebarkan kesedaran, dan membina masyarakat yang menghormati nyawa dan hak setiap individu. Hanya dengan usaha bersama, kita dapat mewujudkan dunia yang lebih selamat, di mana setiap nyawa dihargai dan dilindungi.
Ustazah Hayati Zari
Penyelidik MUIS